Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Ini Sejarah Kita: Bahagian 2: Tidak Munasabah!

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Setelah beberapa lama berfikir tentang apa yang ditulis tentang program Ini Sejarah Kita, penulis mendapati bahawa ianya adalah tidak munasabah untuk program tersebut untuk dibuat oleh orang-orang yang tidak mengetahui sejarah secara mendalam. Mereka pastinya mengetahui lebih banyak tentang sejarah daripada penulis sendiri, tetapi modul yang mereka keluarkan itu terdapat beberapa kelemahan yang pada pendapat penulis boleh diperbaiki. Komen-komen yang diberikan oleh rakan-rakan dari Majlis Syura Muslimun, terutamanya Abang Hadrami dan Adam Tan, dan juga pembaca-pembaca blog ini banyak membantu penulis dalam memperbetulkan kecelaruan yang ada berkenaan beberapa perkara. Jazakumullahu khairan kathira kepada kalian semua. Penulis masih menantikan jemputan ke program Syahadatul Haq seperti yang kita bincangkan pada hari pertemuan kita.

Terima kasih Tuhan...

:)

Apa-apa pun, ingin sekali penulis memberikan sedikit cadangan untuk penambah baikan untuk program tersebut untuk kebaikan bersama. Namun sebelum itu, ingin ditegaskan disini bahawa idea yang dipersembahkan disini bukanlah pandangan dan hasil pemikiran penulis semata-mata (pandangan peribadi penulis tentang bagaimana ianya sepatutnya dilakukan tidak praktikal dalam jangka waktu pendek yang diberikan untuk program ISK) tetapi merupakan amalgamasi beberapa idea yang (harapnya) praktikal untuk program tersebut.

Cadangan-cadangan:

1. 'Disclaimer'

Pada pandangan penulis, adalah tidak adil untuk sesiapa pun untuk melalui program sedemikian tanpa diberitahu bahawa sejarah yang dihidangkan kepada mereka bukanlah sejarah yang objektif. Pengalaman peribadi penulis, tujuan program itu dan juga graf itu juga tidak diterangkan dengan jelas kepada pada peserta. Dan kerana ianya bukan sejarah yang objektif, fakta-fakta yang diberikan dalam program tersebut acapkali tidak diterangkan dalam konteks yang sepatutnya.

Program ISK di Southampton

Penulis diberitahu bahawa ini semua tidak menjejaskan hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah, tetapi penulis kurang bersetuju dalam hal ini. Ini kerana cara penceritaan apa-apa kisah akan mempengaruhi pengajaran apa yang diambil dan dibawa pulang oleh peserta. Contohnya, adakah kerana menurut
graf ISK tamadun di Baghdad lebih tinggi daripada tamadun Turki Uthmaniyah, tamadun di Baghdad sungguh lebih hebat daripada tamadun di Turki? Tanpa mengambil kira kesan episod-episod sejarah seperti kedatangan Christopher Colombus ke benua America yang membawa bersamanya kekayaan dalam bentuk emas yang kemudiannya membantu mengangkat Eropah keluar dari zaman Pertengahan, bagaimanakah kita boleh membuat perbandingan ini? Maka, pada pandangan penulis, haruslah ditekankan kepada peserta bahawa program itu bukanlah satu program untuk mengajar atau berkongsi ilmu tentang sejarah Islam secara objektif, tetapi mempunyai tujuan yang lain daripada itu.

2. Terlalu lokal dan sempit

Sejarah yang diceritakan dalam ISK juga terlalu lokal dan terlalu tertumpu di sekitar laut Mediterranean. Kurang diceritakan bagaimana interaksi masyarakat Islam dari Timur Tengah dengan masyarakat dunia lain mengubah landskap masyarakat dan budaya tersebut. Contohnya, tiada penceritaan tentang kesan Islam terhadap masyarakat di China, India, kepulauan Melayu dan sebagainya pada zaman pertengahan. Penceritaan sejarah ini tidak menjadi penceritaan sejarah Islam, tetapi menjadi penceritaan sejarah empayar Islam di kawasan berhampiran dengan laut Mediterranean. Sejarah, cerita mengenai manusia, itu sendiri hilang dinamisma dan kesan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam kurang ditekankan.

Mare Nostrum

Oleh itu, penulis mencadangakan supaya dimasukkan elemen kemanusiaan dan dikembalikan dinamisma dalam sejarah yang dipersembahkan. Ini akan membolehkan kita melihat tamadun manusia pada masa lampau dengan pandangan yang lebih luas dan membolehkan kita melihat kesinambungan dan perkaitan antara sejarah dan manusia serta membolehkan kita belajar dari sejarah. Ini juga boleh memperjelaskan beberapa perkara seperti kedatangan Zaid ibn Ziyad ke Sepanyol kerana dijemput oleh pemerintah di situ dan bukannya untuk merampas tanah dan takhta. Antara lain, ini merupakan hujah bahawasanya Islam tidak disebarkan melalui mata petang. Ini juga boleh menjelaskan mengapa terdapat umat Islam di India, dan membolehkan kita mendapat sedikit kefahaman tentang latarbelakang konflik India-Pakistan. Poin ini juga berkaitan dengan poin seterusnya kerana ISK membayangkan seolah-olah tiada kesinambungan kepada pemerintahan Islam selepas kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah.

Penulis merasakan ini penting kerana umat Islam itu merupakan satu ummah, dan andai tidak difahami mengapa dan bagaimana perkara itu terjadi, maka kita tidak boleh memahami bagaimana untuk memperbaiki keadaan tersebut.

3. Tiada kesinambungan

Sejarah yang dipersembahkan di ISK juga membayangkan ketiadaan kesinambungan selepas kejatuhan khilafah. Sebab yang diberikan kepada penulis ialah ISK hanyalah sebagai pencetus, dan kemudiannya akan disambung dengan program-program seperti Syahadatul Haq dan sebagainya. Namun begitu, pendekatan begini, apabila dicampur dengan graf ISK, boleh memberi gambaran yang salah kepada peserta yang sedang mendengar.
Selepas khilafah? Sifar?

Kejatuhan khilafah sudah tentunya merupakan perkara yang sangat besar yang traumatik kepada umat Islam, tetapi ia tidak bermakna yang tiada penerusan usaha-usaha untuk memperjuangkan Islam di dunia ini. Graf itu tidak dapat menangkap gerakan-gerakan sebegini, terutamanya dalam konteks dunia 'moden' yang baru muncul pada zaman kejatuhan khilafah. Malah, graf itu turun kepada sifar dan ini, pada pendapat penulis, tidak tepat.

Oleh itu, cadangan penulis ialah seharusnya diceritakan sedikit mengenai gerakan-gerakan revivalisme selain gerakan-gerakan subversif yang dilakukan oleh nasionalis yang berlaku pada masa itu. Ini akan memberi peserta idea tentang apa yang terjadi kepada umat Islam selepas itu dan apa usaha-usaha awal yang dilakukan untuk mengembalikan khilafah. Ini juga sebahagian daripada sejarah 'kita', dan penulis agak pelik kerana ianya tidak dimasukkan sekali.

4. Paksi-Y yang tidak jelas

Paksi Y yang digunakan dalam graf ISK itu juga kurang jelas. Perkara ini telah dibangkitkan oleh ramai orang tetapi definisi paksi Y itu sangat penting untuk memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan garisan 'tamadun'. Dalam keadaan kesamaran definisi, interpretasi graf itu boleh dibuat untuk menyesuaikan graf dengan apa sahaja keadaan, dan untuk apa-apa tujuan sahaja. Ia juga kurang jujur dengan keadaan sejarah, pada penulis.

Sejarah bukanlah hitam putih; hal ini diketahui oleh semua orang. Tetapi interpretasi-interpretasi sejarah bukanlah relatif dan sama taraf. Maka, dengan memberikan graf garisan yang hanya mempunyai satu garisan dengan paksi Y yang kurang jelas, ada bahaya yang interpretasi yang kurang tepat diguna pakai. Ketepatan interpretasi selalunya dihakimi dengan bukti yang wujud pada ketika itu. Oleh itu, interpretasi yang digunakan perlulah setepat yang mungkin dan bukannya untuk menyesuaikan interpretasi dengan mana-mana graf.

Definisi paksi Y haruslah jelas

Ini ialah masalah terbesar dengan graf ISK, kerana ia boleh disesuaikan dengan apa-apa sahaja. Ini boleh difahami dari 2 sudut. Pertamanya, kerana adanya modul ISK yang sedemikian, penceramah terpaksa mempersembahkan perkara-perkara yang hanya bersesuaian dengan graf tersebut. Ini tidak dapat tidak memusnahkan objektiviti dalam mempelakari sejarah. Keduanya, dengan ketiadaan paksi Y yang jelas, ia membolehkan pembentang untuk menukar makna garisan yang seharusnya melambangkan tamadun dari satu kerajaan kepada kerajaan yang lain, kerana definisi garisan itu sendiri tidak jelas.

Maka, pada pendapat penulis, jika tidak dijelaskan paksi-Y dalam graf itu, seharusnya diberi 'disclaimer' yang sangat jelas pada permulaan, pengakhiran, dan tiap-tiap kali graf itu dilukis. Namun begitu, pada pendapat penulis, impak yang paling besar daripada graf itu ialah ia dapat memberi gambaran secara visual tentang kebangkitan dan kejatuhan Islam. Masalah dengan graf ini ialah ia memberi gambaran terlalu simplistik terhadap sejarah. Namun, tidak dinafikan bahawa graf itu mempunyai kesan terhadap hati. Tetapi seharusnya kita berhati-hati dengan apa yang kita lakukan dan cuba memperbaiki apa yang kita ada.

5. Diluar konteks sejarah

Kadang kala terdapat beberapa perkara yang dipersembahkan tanpa dipersembahkan dahulu konteks yang perkara itu terjadi. Contoh yang penulis rasakan amat sesuai ialah dinamika empayar Rom Timur, Parsi, dan empayar Islam di Timur Tengah. Seperti yang penulis telah katakan sebelum ini;
"ia seolah-olah membayangkan bahawa Islam muncul didalam vakum, di mana Empayar Rom dan Parsi kedua-duanya telah jatuh dari kegemilangan masing-masing. Realitinya, Empayar Rom Timur melalui fasa-fasa kejatuhan dan pemulihan kuasa sehinggalah tentera Perang Salib ke-4 menguasai kota Constantinople dan kemudiaannya merompak empayar Rom Timur. Semua ini dipengaruhi oleh keadaan politik yang sangat kompleks di Constantinople yang melibatkan jeneral-jeneral tentera, golongan bangsawan, wanita-wanita berpengaruh hatta pelumba-pelumba di Hydrophone sendiri. Interaksi antara kedua tamadun ini langsung tidak diceritakan, dan seolah-olah tidak signifikan kepada sejarah Islam yang mereka bawa. "
Oleh itu, pada pandangan penulis, dengan wujudnya graf yang sedemikan, konteks dimana sejarah ini berlaku hendaklah diterangkan supaya penerima memahami latar belakang sejarah secara lebih lengkap. Namun begitu, perkara ini sangat sukar untuk dibuat dalam sesi yang singkat. Oleh itu, penulis mencadangkan supaya episod-episod sejarah yang terpilih sahaja yang di'highlight' supaya penceritaan itu menjadi lebih fokus dan boleh diterangkan secara panjang lebar. Ini bukan sahaja akan memberi lebih fleksibiliti kepada penceramah, ia juga boleh memberi gambaran kepada peserta yang sejarah itu ialah sejarah manusia dan bukan mekanikal. Kemanusiaan dalam sejarah itu boleh dikembalikan dengan cara ini, pada pendapat penulis.

Penulis merasakan bahawa apa yang penting dalam Ini Sejarah Kita ialah mengembalikan kemanusiaan dalam sejarah, dan perkara ini sangat mudah boleh dibuat. Dan pada pendapat penulis, material dalam laman web Ini Sejarah Kita harus digunakan semaksimum mungkin. Perlu juga ada, pada pandangan penulis, sedikit analisis objektif tentang kebangkitan dan kejatuhan tamadun itu sendiri. Analisis ini penting untuk kita belajar dan mengambil iktibar dari sejarah. Kehebatan tamadun Islam itu tidak dapat dinafikan, tetapi terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan kejatuhan satu-satu kerajaan juga perlu dilihat. Kerana sejarah kita ini ialah sejarah manusia. Dan sebagai manusia, kita juga boleh melakukan kesilapan-kesilapan yang sama seperti mereka.

...Pembaharuan...

Akhir kata, penulis ingin meminta maaf andai apa yang penulis bentangkan dalam blog ini menyakiti hati sesiapa. Bukanlah niat penulis untuk menyakitkan hati sesiapa, dan sebagai manusia, penulis juga melakukan kesilapan. Andai terdapat apa-apa bantahan terhadap apa yang dituliskan disini, bolehlah tuliskan komen dan insyaALLAH akan dibalas. Sekali lagi, penulis meminta maaf atas semua salah dan silap dalam penulisan ini.

Wallahua'lam
 

Ini Sejarah Kita : Bahagian 1 - Permasalahan

Category: , , , By imakubex
Disclaimer: Tejuk diubah kerana dirasakan tidak sesuai

Bismillahirrahmanirrahim,

Setelah lama mendiamkan diri, akhirnya penulis mengangkat pena sekali lagi untuk menyebut tentang sesuatu yang telah lama difikirkan, cuma tidak pernah ditulis. Penulisan ini lebih kepada luahan rasa kecewa penulis yang merasa diri tertipu oleh kawan-kawan penulis.

Gambar hiasan

Seringkali penulis mendengar ungkapan-ungkapan seperti "niat dia baik" atau "mereka tidak berniat jahat" diperkatakan oleh orang kebanyakan dalam melihat tindakan seseorang atau sesuatu kumpulan, terutamanya mereka yang membuat perkara-perkara Islam. Walaupun kadangkala tindakan-tindakan ini memberi hasil yang kurang baik ataupun menggunakan cara yang kurang sesuai, kita selalu melihat golongan ini sebagai tidak bersalah dan seharusnya diberi peluang. Namun begitu, seringkali penulis terfikir, apakah tindakan seperti in boleh dijustifikasi? Andai kita mengatakan bahawa para orientalis tidak adil kepada sejarah Islam kerana mengambil bahagian-bahagian yang buruk tentang Islam, mengapa kita tidak katakan yang ianya juga tidak adil apabila kita mengambil bahagian-bahagian yang menepati dengan agenda kita sahaja? Adakah dengan niat kita yang baik sahaja kita boleh berbuat demikian?

Apa yang penulis maksudkan ialah program seperti program Ini Sejarah Kita (ISK) yang dianjurkan, antara lain, oleh Majlis Syura Muslimum di UK. Penulis diberitahu bahawa terdapat jemaah-jemaah lain di Malaysia yang menggunakan modul yang sama sebagai medium da'wah, dan penulis sendiri pernah menghadiri program ini sebanyak 2 kali, sekali di Southampton dan kemudiannya di London. Selepas setahun berfikir dan membaca, penulis mendapati bahawa walaupun niat penganjur program adalah baik, program itu memutarbelit sejarah dan memberi gambaran yang salah terhadap sejarah Islam. Contohnya, dalam graf ISK itu ada dinyatakan tentang kehebatan dan kegemilangan Khilafah Abbasiyah yang jatuh selepas kejatuhan Baghdad ke tangan Monggol, tetapi tidak mengambil kira keadaan Khilafah Abbasiyah yang hanya mempunyai kuasa pada nama, dan bagaimana pada ketika itu telah mula muncul kerajaan-kerajaan kecil yang mempunyai autonomi dan hanya memberi "lip service" kepada Khalifah di Baghdad. Ia juga tidak mengambil kira ketamadunan Islam di Sepanyol yang mempunyai struktur politik yang kompleks, dan bagaimana interaksi antara tamadun Islam dan tamadun Eropah memperkayakan kedua-dua tamadun ini.

Graph ISK

Apa yang paling mengecewakan ialah ia seolah-olah membayangkan bahawa Islam muncul didalam vakum, di mana Empayar Rom dan Parsi kedua-duanya telah jatuh dari kegemilangan masing-masing. Realitinya, Empayar Rom Timur melalui fasa-fasa kejatuhan dan pemulihan kuasa sehinggalah tentera Perang Salib ke-4 menguasai kota Constantinople dan kemudiaannya merompak empayar Rom Timur. Semua ini dipengaruhi oleh keadaan politik yang sangat kompleks di Constantinople yang melibatkan jeneral-jeneral tentera, golongan bangsawan, wanita-wanita berpengaruh hatta pelumba-pelumba di Hydrophone sendiri. Interaksi antara kedua tamadun ini langsung tidak diceritakan, dan seolah-olah tidak signifikan kepada sejarah Islam yang mereka bawa. Politik dalaman dalam kerajaan Islam juga tidak diceritakan, bagaimana hubungan simbiosis pemerintah dan golongan ulama' menyebabkan ramai ulama' diseksa kerana menentang status quo. Tidak juga disebut mengenai gerakan-gerakan dalam Islam yang melihat diri mereka sebagai pembaharu kepada Islam itu sendiri yang mahu membawa apa yang mereka lihat sebagai Islam yang sebenar melalui jalan peperangan (baca: Almoravid). Tiada langsung sifat kemanusiaan dalam sejarah itu, hanya satu graf yang naik, kemudiannya menurun selepas kejatuhan Baghdad. Semuanya mekanikal.

Old Baghdad : Gambar hiasan

Peserta kemudiannya ditarik kepada persoalan apa yang mereka harus lakukan untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan mengembalikan khilafah. Niat yang mulia, tetapi persoalannya, dengan melakukan begitu dengan berlatarbelakangkan sejarah yang hitam putih tanpa kemanusiaan, adakah ia adil? Adilkah kita untuk menarik peserta berfikir tentang Islam setelah memberi gambaran sejarah yang dimanipulasi? Perlu diingat bahawa khilafah itu merupakan entiti politik, maka, andai kita mahu mengembalikan khilafah, perlukah kita terjun kedalam politik? Ataupun kita harus memberontak terhadap kerajaan yang menggunakan undang-undang "sekular" ini?

Jawapan mereka sudah tentulah tidak. Kita harus fokus kepada tarbiyah dahulu. Model yang dibentangkan ialah kita memperbaiki diri, kemudian keluarga, kemudian masyarakat, kemudian negara dan akhirnya dunia. Persoalannya, adakah ianya sebegitu mudah? Dengan berlatarbelakangkan sejarah yang hitam putih, bolehkah kita berbuat demikian? Adakah tarbiyah diri itu bermakna memencilkan diri dari politik? Apakah dengan tarbiyah tandanya kita mendekatkan diri kepada ALLAH semata-mata? Adakah belajar itu bukan sebahagian daripada tarbiyah? Jika ya, maka ilmu apakah yang tergolong dalam tarbiyah ini dan mengapa? Bagaimana kita mengukur yang kita cukup tarbiyah? Sekali lagi, dengan memberi latar belakang sejarah yang hitam putih, bolehkan kita menggarap kompleksiti apa yang cuba dicapai? Adakah adil semua ini diperkatakan dengan cara sebegini?

Hulagu Khan di Baghdad

Jawapan yang penulis terima ialah ISK ini hanyalah pencetus; satu alat untuk menyedarkan masyarakat. Persoalan penulis, alat ialah sesuatu yang digunakan. Maka, siapakah penggunanya, dan mengapakah ianya digunakan? Dan andai alat yang digunakan ini mempunyai masalah pada asasnya, patutkah kita menggunakannya tanpa mengubahnya? Andai ianya merupakan suatu pencetus, maka ia mencetus apa? Pencetus terhadap semangat membangkitkan umat Islam? Semangat apa yang dikatakan disini? Bangkit yang bagaimana? Dari jatuh yang bagaimana? Jatuh dari konteks bagaimana? Adakah pernah berlaku sebelum itu? Dan apa yang orang terdahulu lakukan, dan apa yang kemudiaannya berlaku? Semua ini langsung tidak disentuh. Model yang diberi untuk kebangkitan itu seolah-olah menunjukkan yang tarbiyah diri dan masyarakat dan politik tidak boleh dijalankan serentak. Sejauh manakah kebenaran ini?

Jika di Turki, contohnya, Muslim tidak berjuang dalam medan politik dan masyarakat untuk membolehkan pemakaian tudung dan hanya mentarbiyah diri, bolehkan wanita Turki mendapat kembali hak mereka? Andai model yang diberi itu hanya sebagai 'guideline' untuk kita, maka perlukah ia dalam bentuk diri >> keluarga >> masyarakat >> etc? Andai kita boleh lakukan semuanya serentak, maka tidakkah model itu menjadi tidak releven?

Sebahagian daripada pendokong idea ini mengatakan bahawa itu ialah apa yang dibawa oleh Rasul kita Muhammad s.a.w. Masalahnya, Rasulullah bergerak dalam keadaan dimana tiada saluran untuk membuat semua ini. Apabila wujud saluran-saluran itu di Madinah, baginda proaktif membuat pembaharuan terhadap masyarakat. Dan tarbiyah juga tidak berhenti di Madinah, tetapi berterusan. Tarbiyah juga terus berterusan hatta di saat tentera Muslim kalah dalam perang Uhud. Andai kita perlu perbaiki diri dahulu sebelum terjun kepada masyarakat, maka Salman Al Farisi tidak perlu terjun ke bidang peperangan. Dan orang musyrik yang masuk Islam di Madinah tidak perlu menyumbang kepada Islam, hanya memperbaiki diri sahaja.

Ukhuwah fillah : Gambar hiasan

Maka, kita perlu melihat kepada keperluan, tempat dan keadaan semasa untuk bertindak. Kita tidak seharusnya bertindak atas dasar 'melihat dengan hati' semata-mata dengan menutup 'akal'. Dan kita juga perlu mengkaji tindakan-tindakan kita sebelum. Menggunakan 'hati' tidak bermakna menutup 'akal', dan menggunakan 'akal' tidak bermakna mengendahkan 'hati'. Kedua-dua ini berkait rapat antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, manipulasi sejarah atas dasar 'melihat dengan hati', pada penulis, adalah sesuatu yang salah.

Wallahua'lam
 

Adakah Kau Lupa

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Sedang penulis berehat-rehat di rumah (penat dari duduk di dalam kapal terbang selama 13 jam lebih), terdengar suara adik penulis mendendangkan lagu 'Adakah Kau Lupa' nyanyian kumpulan 'Alarm Me'. Ini video dan liriknya:



Adakah kau lupa
Kita pernah berjaya
Adakah kau lupa
Kita pernah berkuasa

Memayungi dua pertiga dunia
Menrentas benua melayar samudera
Keimanan juga ketaqwaan
Rahsia mereka capai kejayaan

Bangunlah wahai anak bangsa
Kita bina kekuatan jiwa
Tempuh rintangan perjuangan

Gemilang generasi yang silam
Membawa arus perubahan
Keikhlasan hati dan nurani
Ketulusan jiwa mereka berjuang

Sejarah telah mengajar kita
Budaya Islam di serata dunia
Membina tamadun berjaya
Merubah mengangkat maruah

Pendapat penulis, benar sungguh bahawa umat Islam telah lupa akan semua ini. Terlupa betapa hebatnya Islam di masa dahulu. Betapa Islam menerajui dunia di zaman di mana Eropah masih cuba untuk berdiri selepas kejatuhan Rom Barat.

Namun begitu, tidakkah kita sedang lupa tentang kisah manusia disebalik kejayaan ini? Adakah hanya kejayaan yang dilakarkan dalam buku-buku sejarah Islam? Adakah kita hanya mahu membaca kejayaan-kejayaan yang ada, tanpa melihat kejatuhan dan kehancuran dalam Islam sendiri?

Penulis tidak mempunyai apa-apa masalah dengan lagu sebegini. Tetapi apa yang penulis risaukan ialah bagaimana ianya digunakan untuk menunjukkan yang seolah-olah Islam sebelum kejatuhan Khilafah terakhir (Khilafah Uthmaniyah yang berpusat di Istanbul), kehebatan umat Islam tidak boleh dicabar oleh seluruh penduduk dunia, dan tiada masalah dalaman yang terjadi.

Itu ialah impressi yang penulis dapat apabila penulis pergi kepada sebahagian program-program Islamik dan juga berbicara dengan rakan-rakan Islamists penulis, khususnya dari Malaysia. Sejarah begini tidak objektif, pada pemikiran penulis. Sejarah ialah cerita mengenai manusia, tentang manusia, diceritakan oleh manusia. Oleh itu, sejarah amat bergantung kepada versi mana yang mahu diambil sebagai bahan rujukan. Walaupun setengah-setengah penceritaan akan lebih berat sebelah, ia tidak bermakna kita seharusnya menidakkan sumber itu secara total.

Pembacaan sejarah, sejarah Islam terutamanya, harus dilakukan secara objektif apabila mahu menilai sejarah. Selain daripada kehebatan dan kegemilangan yang ada, kita seharusnya melihat mengapa dan bagaimana pencapaian itu diperolehi dan apa keadaan sosio-politik yang ada pada ketika itu.

Contohnya, penyebaran empayar Islam pada zaman al-Khulafā’ur-Rāshidūn. Ya, mereka manusia hebat, bertaqwa dan beriman dengan sepenuh hati. Tetapi harus juga kita lihat yang pada masa itu, empayar Rom Timur, dibawah Maharaja Heraclius baru sahaja selesai berperang dengan empayar Sassanid Parsi (empayar Parsi bangkit beberapa kali selepas kejatuhan pertama oleh Alexander The Great). Kedua-dua empayar ini telah menghabiskan banyak wang dan sumber manusia semasa peperangan tersebut. Kebangkitan Islam dilihat sebagai sesuatu yang tidak signifikan pada awalnya, terutamanya oleh Rom Timur. Mereka merupakan pewaris empayar Rom yang pernah menguasai dunia. Mengapa mereka patut risau akan beberapa orang Arab yang berpecah belah? Orang Arab yang sebelum ini merupakan bangsa yang tidak pernah mengancam mana-mana kuasa di dunia secara signifikan? Namun, akibat daripada situasi yang ada pada ketika itu, empayar Byzantine berjaya dikalahkan beberapa kali, dan empayar Sassanid Parsi ditumbangkan. Sekiranya tentera Byzantine lebih bersiap sedia dan mempunyai disiplin dan peruntukan kewangan yang cukup, tidak mustahil umat Islam yang akan tewas.

Contoh lain ialah kebangkitan Khilafah Abbasiyah. Berapa ramai yang tahu pembunuhan beramai-ramai puak Bani Ummayah yang berlaku semasa peralihan kuasa tersebut? Berapa ramai yang tahu betapa janji-janji yang diberikan oleh penguasa Bani Abbasyah kepada ahli keluarga Khalifah pada masa itu merupakan janji palsu? Berapa ramai yang tahu bahawa Bani Abbasiyah menggunakan sokongan golongan Syiah untuk menentang Khalifah pada masa itu, dan kemudiannya menindas puak Syiah? Berapa ramai yang mengkaji sistem yang digunakan pada zaman itu, dan kemudiannya mendapati bahawa terdapat elemen-elemen sekular di dalam pemerintahan Islam?

Sejarah harus dikaji secara objektif, supaya kita boleh melihat di mana umat terdahulu telah tersilap. Dimana dan mengapa, dalam konteks apa, dalam situasi bagaimana mereka tersilap. Mungkin bukan kesilapan yang kita patut lihat, tetapi mengapa sesuatu model kerajaan berjaya pada masa itu. Mungkin juga kita boleh melihat apa yang membolehkan kejadian-kejadian di zaman silam diterima oleh rakyat, walaupun andai dilihat dengan kaca mata moden, ia tidak sama sekali boleh diterima.

Namun begitu, umat Islam kontemporari apabila didedahkan dengan kelemahan dan keburukan umat Islam terdahulu, ramai yang tidak mahu mendengar, dan menuduh pembawa cerita begini sebagai musuh Islam. Lihat sahajalah bagaimana orientalis dibenci oleh orang Islam. Walau penulisan orientalis tidak sedap dibaca, kita tidak seharunya membuang penulisan-penulisan sebegini tanpa mempunyai hujah yang kukuh mengapa mereka tersilap. Dan kita juga harus mengakui bahawa sebahagian fakta yang dibawa oleh mereka merupakan fakta dari sudut pandangan mereka.

Persoalannya, mengapa umat Islam berfikir dan bertindak sedemikian rupa? Sikap yang sebegitu defensif ada gunanya, namun ia boleh menyebabkan kita buta pada benda-benda yang terang-terangan merupakan sesuatu yang salah.

Oleh itu, kajilah sejarah secara objektif. Dan janganlah prejudis yang ada pada fikiran kita menghalang kita daripada membuat kajian tersebut. Kerana sejarah merupakan cerita tentang manusia, dan sebagai manusia, kita juga boleh membuat kesilapan yang sama andai kita berada dalam situasi yang sama.

Wallahua'lam