April Fool - Pandangan yang lebih kritikal diperlukan...

By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Sekadar ingin membuat kritikan terhadap apa yang ditulis. Kadang-kala kita terlalu menerima tanpa berfikir dan mengkaji.

Artikel:

Bagi mereka yang meniru budaya ini, mereka merasakan bahawa seri persekitaran hidup mereka akan hilang apabila peristiwa April Fool ini tidak diraikan.

Apa yang dibimbangi ialah pemikiran seperti ini terus berleluasa hingga satu masa nanti, ada yang mengatakan ia tidak bertentangan dengan Islam.

Disedari atau tidak, golongan muda menerimanya dengan membuta tuli tanpa usul periksa adakah ia bertentangan dengan batas syarak atau sebaliknya.

Sejarah

Menurut sejarah, April Fool mula diraikan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam yang bertapak berkurun lamanya di Granada, Sepanyol yang ditawan oleh tentera Kristian.

Akibatnya, penduduk Islam terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera Kristian ternyata tidak berpuashati dan cuba menghapuskan orang Islam dari bumi Sepanyol.

Oleh itu, mereka membuat satu helah dengan memberitahu penduduk Islam bahawa mereka boleh keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan.

Di kalangan umat Islam, ada yang mempercayai dan sebahagian lagi sangsi dengan pemberitahuan itu. Mereka yang mempercayainya telah meninjau di pelabuhan dan berpuashati lalu memutuskan untuk bertolak pada keesokannya hari(1 April). Mereka keluar membawa kesemua barangan dan menuju ke pelabuhan. Pada ketika itulah, puak Kristian mengambil kesempatan untuk menyerang penduduk Islam berkenaan. Mereka tidak sempat menaiki kapal kerana semuanya telah dibakar. Manakala orang Islam yang berada di sekitar telah dibunuh tanpa mengira lelaki,perempuan atau kanak-kanak.

Peristiwa berdarah itu kemudian diraikan oleh tentera Kristian yang kemudiannya menjadi acara tahunan. Apa yang menyedihkan, orang-orang Islam merayakannya tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya meraikan ulangtahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka sendiri.


Masyarakat Kini

Masyarakat hari ini sebenarnya tidak mengetahui dengan jelas asal usul April Fool. Selain boleh merosakkan akidah, budaya ini sebenarnya meniru gaya hidup kebaratan yang bertopengkan humor, gurauan dan komedi. Bagi mereka, 1 April merupakan hari kejutan dengan berbagai perkara pelik, humor dan memalukan. Namun apa yang dilihat hari ini ia banyak membawa unsur memalukan orang lain. Ia bukan sahaja memperbodohkan si pelaku tetapi juga yang menerima akibat bersesuaian dengan nama Fool itu sendiri yang bermaksud bodoh atau tolol.

Jelas ia cuba menjatuh air muka dan martabat seseorang. Bagi yang bersikap selamba mungkin boleh menerima gurauan tersebut, tetapi bagi tidak dapat menerima pasti akan menyimpan perasaan negatif dalam diri hingga akhirnya menjadi seorang yang pendendam hingga sanggup menjadi pembunuh. Ini merupakan sesuatu yang tidak diterima oleh landasan syarak.

Kita tidak wajar berkiblatkan budaya barat apatah lagi mengagungkannya kerana Islam agama yang tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya. Islam mempunyia adab dalam bergurau senda tanpa menganiyai orang lain.

Selain menghormati orang lain, kita juga diwajibkan menutup keaiban orang lain.

Bagi yang kurang memahami sejarah, mereka tidak merasakan apa-apa tentang budaya April Fool. Sesungguhnya ia merupakan satu penghinaan halus ke atas umat Islam . Akhirnya, marilah sama-sama kita renungi sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Kamu pasti akan mengikuti jejak-jejak orang-orang sebelum kamu, sejengka demi sejengkal, sehasta demi sehasta hingga mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun , pasti kamu tetap mengikuti mereka. Kami bertanya : Wahai Rasulullah SAW, Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab;:Lalu siapa lagi(kalau bukan mereka)"
~Hadis riwayat Bukhari dan Muslim~

Komen:

Penulis kurang setuju dengan analisis ini kerana beberapa sebab:

1. Granada ditawan secara rasmi pada 2 Januari, oleh itu tiada sebab untuk hari pertama April diambil untuk membunuh orang Islam. Seharusnya "April's Fool" diadakan pada bulan Januari, bukan April. Selalunya, dalam peperangan zaman dahulu, selepas sesuatu bandar diceroboh tentera asing, ianya terus akan di'perkosa'. Mengapa perlu tunggu 3 bulan sebelum membuat perkara tersebut?

2. Tidak banyak rekod menceritakan pembunuhan beramai-ramai orang Islam selepas kejatuhan Granada. Namun begitu, pembunuhan beramai-ramai ini bukannya dilakukan *hanya* di Granada dan orang Islam juga kadang-kala bersalah dalam hal pembunuhan beramai-ramai ini. Orang Islam sememangnya ditekan selepas kejatuhan Granada dan ramai antara Muslim yang masuk Kristian. Tetapi golongan yang diberi nama Morisco ini masih mengekalkan cara hidup mereka yang lama; mereka berbahasa Arab, pergi ke rumah mandi awam, mengekalkan hijab, etc. Kerajaan Sepanyol merasakan mereka tidak dapat diasimilasi kedalam masyarakat Kristian Katolik Sepanyol pada ketika itu. Muslim yang tidak menukar agama dihalau keluar oleh Inquisition.

3. Ferdinand dan Isabella membuang Yahudi dari negera Sepanyol pada 31 Mac 1492 selepas kejatuhan Granada. Oleh itu, jika 1 April dikaitkan dengan agama, maka agama Yahudi adalah lebih sesuai.

Oleh itu, penulis kurang bersetuju dengan analisis yang diberi. Kita harus lebih kritikal dalam hal-hal seperti ini.

Wallahua'lam
 

Isu Perak: Balasan Kepada Komen Cikgu Eya

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Penulisan kali ini ialah untuk memberi balasan kepada perkara yang dibangkitkan oleh Cikgu Eya dalam artikel yang lepas. Ada beberapa perkara yang ingin disentuh disni.

1. Konsep falsafah politik

Penulis lebih berminat untuk memberi penjelasan terhadap beberapa konsep dalam falsafah politik demokrasi daripada apa yang penulis tahu. Isu yang Cikgu Eya utarakan adalah berkenaan "legality" perbuatan melompat parti yang diutarakan. Itu akan disentuh kemudian dalam "entry" ini.

Falsafah politik

Apa yang cuba dibawakan oleh penulis ialah kita seharusnya sedar bahawa keputusan moral (moral judgement) yang dibuat tidak seharusnya dicampur aduk dengan keputusan undang-undang (legal judgement). Ini adalah kerana, untuk sesuatu pentadbiran untuk berjalan dengan lancar, pilihanraya tidak boleh diadakan dengan terlalu kerap atau terlalu jarang. Jika ianya terlalu kerap, maka situasi politik dalam negara tersebut akan menjadi tidak stabil dan wakil-wakil rakyat tidak akan dapat menjalankan tugas dengan baik. Jika ianya terlalu jarang, ada kemungkinan dimana wakil rakyat tidak akan mewakili rakyat kerana beliau tahu bahawa kedudukan beliau tidak akan dicabar untuk masa yang lama.

Oleh itu, tempoh masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya ialah sekali dalam tempoh 5 tahun, dan kebanyakan demokrasi liberal menggunakan tempoh ini. Harus diingat bahawa apabila seseorang wakil rakyat itu dipilih, kedudukan beliau disokong oleh undang-undang dan oleh itu, kita harus melihat kepada prosedur undang-undang untuk memecat beliau.

Perkara yang Cikgu Eya bangkitkan ialah berkenaan proses undang-undang ini, dan bukannya semangat dan falsafah disebalik "legitimacy" proses demokrasi. Ini tidak disentuh secara spesifik dalam "entry" yang lepas kerana penulis memberi lebih fokus kepada konsep-konsep dalam falsafah politik.

2. Isu SPR dan Speaker Dewan

Daripada apa yang penulis tahu, surat yang diberi kepada Speaker Dewan yang bertarikh 30 Januari itu tiada "binding clause" yang penting untuk mengesahkan surat tersebut. Ini bermakna yang surat perletakan jawatan tersebut boleh dicabar di mahkamah dan SPR boleh menidakkan permintaan speaker tersebut. Ini nampak seperti tidak adil, tetapi dari sudut undang-undang (penulis tidak pakar dalam hal ini, tetapi penulis belajar perkara ini dari kawan penulis yang belajar undang-undang), jika apa-apa surat ditandatangani dibawah paksaan mana-mana pihak, maka surat itu tidak sah. Ini ialah alasan yang digunakan untuk mencabar surat itu dalam mahkamah. Dan setahu penulis, selagi mahkamah tidak membuktikan bahawa surat ini sah, maka kedua YB ini boleh mengekalkan jawatan mereka.

Jata negeri Perak

Oleh itu, daripada semua perkara yang terjadi - termasuk isu Sultan Perak melantik Menteri Besar yang baru - mengalihkan medan pertempuran daripada Dewan Undangan Negeri kepada mahkamah. Samada ini bermoral atau tidak, itu isu lain. Dari segi teknikal undang-undangnya, rakyat belum mempunyai peruntukan undang-undang untuk memaksa SPR mengadakan pilihanraya baru selagi tiada keputusan mahkamah.

3. Institusi Demokrasi dan autonomi

Ingin disebut disini bahawa isu lompat parti ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia untuk mengukuhkan institusi demokrasi. Seharusnya, rakyat seharusnya memilih wakil yang dirasakan boleh menjaga kebajikan mereka, dan tidak seharusnya mengundi mengikut parti sahaja. Kita selalu berbicara seolah-olah institusi demokrasi di negara kita sudah mapan, walhal realitinya tidak.

Mari kita mengkaji apa implikasi melompat parti dari sudut falsafah politik. Sesebuah parti politik selalunya dianggotai oleh ahli yang mempunyai falsafah politik yang serupa. Contohnya, di United Kingdom, secara tradisionalnya, mereka yang menyokong pendekatan "leftist" yang percaya kepada lebih banyak campur tangan kerajaan dalam ekonomi akan lebih cenderung kepada parti Labour, manakala mereka yang lebih percaya kepada pendekatan pasaran bebas ("free market") akan selalunya lebih cenderung kepada parti Conservative. Sekarang, perbezaan antara kedua parti ini semakin kabur, tetapi sentimen yang sama masih wujud.

Gambar hiasan

Jadi, jika seorang wakil rakyat "melompat" parti, apakah implikasinya? Jika kita mengandaikan bahawa ahli parti menganggotai sesebuah parti atas dasar ideologi dan tidak ada unsur kepentingan peribadi, terdapat 2 inferens yang penulis dapat lakarkan:

i) Wakil rakyat tersebut telah bertukar falsafah politik. Jika kita melihat dari segi "conceptual", penukaran falsafah politik seseorang yang menganggotai sesebuah parti politik sehingga terpilih untuk menjadi wakil parti tersebut dalam pilihanraya merupakan sesuatu yang sangat signifikan. Ini bermakna beliau telah mengubah kepercayaan asas beliau tentang politik dan ekonomi. Ia seolah-olah seorang menukar kepercayaan daripada "terdapat kebenaran yang mutlak" kepada "semua kebenaran adalah relatif".

ii) Perpecahan dalam parti. Terdapat perpecahan yang siginifikan dalam parti tersebut sehingga wakil rakyat yang terbabit tidak lagi percaya kepada polisi-polisi dan dasar-dasar parti tersebut. Dalam hal ini, parti tersebut seharusnya bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Secara peribadi, penulis tidak merasakan bahawa mereka yang melompat parti melompat atas inferens yang diletakkan diatas. Terdapat 3 implikasi daripada hal ini:

i) Bukan semua orang menganggotai parti politik atas dasar ideologi parti tersebut
- Ini mungkin disebabkan oleh anggota parti tersebut hanya mahu mendapat sesuatiu dengan menganggotai parti politik tersebut dan tidak begitu percaya kepada perjuangan parti tersebut. Hal ini sangat berbahaya kepada demokrasi kerana ia boleh menyebabkan pihak yang terbabit untuk pergi ke parti yang memberi keuntungan terbesar kepada mereka

ii) Parti yang terlibat mempunyai falsafah politik yang serupa
- Jika hal ini berlaku, ia bermakna institusi pemerintahan dan demokrasi dalam negara tersebut menghadapi masalah, kerana sangat pelik untuk 2 parti yang memperjuangkan perkara yang sama berada dalam kem yang berbeza. Ini merupakan petanda bahawa isu-isu fundamental dalam institusi demokrasi berada dalam keadaan yang meragukan.

iii) Pihak yang terbabit melompat atas sebab atau kepentingan peribadi
- Terang-terangan salah. Mungkin ada unsur ugutan yang tidak diketahui.

Negaraku...

Apa yang sebenarnya terjadi, wallahua'lam. Penulis memberi kebebasan kepada pembaca untuk menilai sendiri apa yang berlaku.

4. "Legitimacy", sekali lagi

Seperti yang penulis katakan dalam artikel yang lepas,
terdapat beberapa elemen yang memungkinkan seseorang calon dipilih sebagai wakil rakyat:

1. Karisma dan personaliti calon
2. Tiket parti yang diwakili
3. Kelemahan calon lawan
4. Gabungan 1, 2, 3

Dalam kes ADUN yang melompat parti ini, penulis merasakan bahawa elemen kedua adalah elemen yang paling dominan dalam menentuan pemilihan wakil rakyat. Oleh itu, institusi demokrasi sekali lagi kurang mapan, kerana jika tiket parti yang paling penting, sesiapa pun boleh menjadi wakil rakyat selagi beliau menyokong parti yang betul dan bertanding di tempat yang betul. Maka, "
legitimacy" yang diperolehi oleh wakil rakyat tersebut adalah atas dasar parti, tetapi undang-undang berfungsi untuk menjaga hak individu wakil rakyat tersebut. Sekali lagi, penulis merasakan bahawa institusi demokrasi di Malaysia tidak mapan dan perlu diperbaiki.

Secara mudah, kita perlu menuju kearah "politik idea dan ideologi" dan bukannya "politik personaliti dan parti".

Wallahua'lam
 

Perak: Penjelasan Konsep dan Penilaian Objektif

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Dengan keadaan politik di Perak, penulis merasakan wajar untuk kita kembali kepada 2 konsep asal dalam sistem demokrasi untuk kita menilai isu ini. Konsep yang penulis ingin ketengahkan disini ialah "legitimacy" atau "hak kekuasaan" dan "legality" atau "kesahan". Penulis sendiri tidak begitu arif dalam perbincangan falsafah politik mengenai kedua-dua konsep ini, tetapi berikut merupakan pandangan penulis terhadap isu ini daripada sudut konsep "hak kekuasaan" dan "kesahan".

Struktur Demokrasi

Pertamanya, perlu dijelaskan bahawa konsep "legitimacy", pada definisi penulis adalah konsep moral yang berkaitan dengan kerelaan rakyat yang dipimpin. Konsep "legality" pula lebih berkaitan dengan samada sesuatu itu mengikut Perlembagaan dan prosedur undang-undang yang betul dan sah disisi undang-undang. Maka, perbincangan berkenaan 2 konsep ini berkemungkinan akan bersifat lebih akademik dan kurang pragmatik kepada sesetengah pihak.

Kita seharusnya membuat penilaian dahulu tentang isu lompat parti ini dengan melihat struktur demokrasi liberal sebelum kita melihat situasi di Perak. Dalam sistem demokrasi Malaysia, kita memilih "wakil rakyat" untuk satu-satu kawasan untuk mewakili segolongan pengundi di kawasan tersebut. Sistem ini dinamakan "representative democracy" atau demokrasi perwakilan kerana "participatory democracy" ataupun demokrasi secara terus tidak praktikal untuk, secara amnya, negara yang mempunyai penduduk melebihi 30 000 (dikatakan jumlah penduduk kota Athens). Oleh kerana kita memilih "wakil", maka "wakil" ini seharusnya membuat keputusan berdasarkan apa yang dirasakan terbaik untuk penduduk yang diwakili. Tetapi, "wakil" ini juga perlu "mewakili" penduduk. Maknanya, "wakil" ini perlu menyampaikan hasrat majoriti penduduk ke dalam dewan persidangan. Oleh itu, terdapat 2 elemen yang kita perlu perhatikan disini:

Parthenon di Athens

1. Wakil rakyat perlu membuat keputusan yang terbaik untuk penduduk yang diwakili
2. Wakil rakyat perlu menyampaikan hasrat rakyat.

2 elemen ini tidak semestinya selari dan boleh menyebabkan kontradiksi. Contohnya, wakil rakyat itu mungkin merasakan bahawa peningkatan cukai adalah perlu untuk kesejahteraan ekonomi negara, tetapi rakyat kawasannya mungkin tidak bersetuju dengan keputusan beliau. Maka, beliau harus membuat keputusan selepas mempertimbangkan keadaan-keadaan ini. Demokrasi juga menuntut beberapa perkara dan institusi lain, tetapi ini tidak akan dijelaskan disini.

Namun begitu, kita juga mempunyai parti-parti politik dalam sistem politik kita. Ini menambahkan satu lagi lapisan kompleksiti dalam proses membuat keputusan. Sekarang, wakil rakyat tersebut perlu memikirkan tentang apa yang terbaik untuk pengundi kawasan beliau, pandangan penduduk kawasan beliau dan kedudukan beliau dalam parti politik beliau. Situasi yang ideal ialah apabila wakil rakyat tersebut memikirkan tentang ketiga-tiga elemen ini secara seimbang dan membuat keputusan yang terbaik untuk situasi yang ada, tetapi hal ini sangat sukar untuk dibuat.

Konsep "legitimacy" dan "legality"

Disini, ada baiknya kita melihat dari mana datangnya
"legitimacy" dalam sistem demokrasi. Menurut Mark Weber, terdapat 3 sumber "legitimacy" atau "hak kekuasaan":

1. Autoriti karismatik
- rakyat merelakan diperintah oleh seseorang yang mempunyai trait tertentu seperti ketua puak
2. Autoriti tradisional
- Pemerintahan berdasarkan tradisi seperti pemerintahan monarki
3. Autoriti rasional
-
"legitimacy" hasil kekuasaan kerajaan yang dibentuk daripada proses, prinsip dan undang-undang yang diterima pakai dan ditulis dalam Perlembagaan.

Dalam kes Malaysia,
"legitimacy" kerajaan adalah daripada sumber ketiga. Oleh itu, apa-apa usaha oleh mana-mana pihak untuk mengganggu gugat proses pembentukan kerajaan yang didasarkan kepada beberapa prinsip akan menyebabkan penghakisan dalam "legitimacy" kerajaan yang dibentuk. Dalam sistem berparti politik di Malaysia, terdapat beberapa elemen yang memungkinkan seseorang calon dipilih sebagai wakil rakyat:

1. Karisma dan personaliti calon
2. Tiket parti yang diwakili
3. Kelemahan calon lawan
4. Gabungan 1, 2, 3

Kebiasaannya, rakyat memilih calon dari campuran 1, 2 dan 3. Oleh itu, dalam mengkaji dan menganalisa kedudukan moral calon melompat parti, kekuatan elemen-elemen 1, 2 dan 3 perlu dilihat secara objektif. Oleh itu, kurang tepat andai dikatakan bahawa melompat parti itu secara terang-terangan salah dan tidak demokratik, kerana terdapat unsur lain yang perlu difikirkan sebelum membuat keputusan. Perlu diingatkan disini bahawa konsep yang sedang dibincangkan berkaitan dengan kedudukan moral dan bukannya samada ianya salah disisi undang-undang. Oleh itu, "salah" atau "betul"nya tindakan tersebut adalah satu keputusan moral jika tindakan tersebut dibenarkan undang-undang.

Dari manakah datangnya "legitimacy" kerajaan?

Perkara ini dibangkitkan kerana perlu diingat bahawa keputusan moral tidak mewajibkan apa-apa tindakan yang bersifat undang-undang. Contohnya, walaupun tindakan melompat parti tidak bermoral dan demokratik pada pandangan rakyat, jika prosedur yang betul diikuti, maka tiada sebab untuk diadakan pilihanraya. Isu moral dan isu undang-undang adalah berbeza disini.

"
Legitimacy" tidak seharusnya dikelirukan dengan "legality" kerana konsep "legality" berkaitan dengan undang-undang. Konsept ini perlu diteliti dalam hal menjalankan pilihanraya kerana ianya satu proses yang berkaitan dengan undang-undang. Untuk meneliti konsep ini, kita perlu melihat samada prosedur undang-undang yang betul telah dijalankan. Oleh itu, untuk memahami konsep "legality", kita memerlukan pengetahuan dalam bidang undang-undang, terutamanya undang-undang Perlembagaan. Penulis bukanlah seorang yang arif dalam bidang ini dan tidak akan memberi komen yang panjang tentang konsep ini. Cumanya, penulis diberitahu oleh rakan penulis yang belajar tentang undang-undang yang apa yang berlaku di Perak boleh dilihat dari beberapa sudut undang-undang mengikut interpretasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

Isu Negeri Perak

Kembali kepada Perak, terdapat 2 masalah disini:

1. Prosedur undang-undang tidak diikuti secara literal (pada pemahaman penulis)
2. "Legitimacy" kerajaan baru dan tindakan melompat parti diragui, kemungkinan kerana wakil rakyat menang atas tiket Pakatan Rakyat

Dengan berbekalkan konsep "
legitimacy" dan "legality" daripada penerangan diatas, kita boleh menganalisa isu ini dengan lebih jelas. "Wakil" rakyat yang keluar dari parti PKR dan kemudiannya menyokong Barisan Nasional mempunyai mandat dari rakyat yang datang daripada Pilihanraya Umum (PRU) yang lepas. Ini bermakna dari sudut undang-undang, mereka merupakan pilihan rakyat pada ketika rakyat mempunyai hak untuk memilih dan akan terus menjadi wakil kepada penduduk kawasan mereka sehingga mereka meletak jawatan, meninggal dunia dan sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka tidak berupaya untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat ataupun sehingga PRU seterusnya. Oleh kerana dalam demokrasi rakyat seharusnya mempunyai "freedom of association", tiada sebabnya untuk mereka tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Semua ini merupakan hak mereka yang telah termaktub dalam Perlebagaan Malaysia.

Namun begitu, terdapat frasa dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang mengatakan bahawa untuk memecat Menteri Besar, perlu ada usul tidak percaya yang diberi undi majoriti dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Interpretasi secara literal ini tidak diikuti oleh kerajaan baru di Perak dan mungkin akan membawa krisis Perlembagaan. Hal ini berkaitan dengan "legality" dan perlu dirujuk kepada pakar-pakar undang-undang dan perlembagaan.

Negeri Perak Darul Ridzuan

Daripada sudut rakyat pula, rakyat tidak mempunyai "hak" undang-undang untuk memaksa pilihanraya diadakan andai isu undang-undang diatas telah diselesaikan. Rakyat boleh meminta untuk diadakan pilihanraya dan mendesak pihak berwajib untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat, tetapi hal ini bukanlah hal undang-undang. Konsep "legitimacy" adalah lebih releven disini dan ini merupakan satu penilaian moral. Rakyat telah memilih "wakil" mereka yang sah dalam pilihanraya yang lepas dan dari sudut undang-undang, "wakil" ini boleh melakukan apa-apa tindakan yang berada dalam hak undang-undang beliau. Tidak seharusnya dicampurkan kedua-dua konsep ini.

Keputusan ADUN untuk melompat parti ialah keputusan peribadi mereka yang sah dari sisi undang-undang. Keputusan itu boleh dinilai sebagai bermoral atau tidak yang akan mempengaruhi "
legitimacy" kerajaan baru yang dibentuk. Samada pilihanraya perlu dibuat adalah berdasarkan keputusan mahkamah. Rakyat tiada 'hak' undang-undang untuk memaksa pilihanraya diadakan kerana mereka telah menggunakan hak memilih mereka 10 bulan yang lepas dan terikat dengan undang-undang perlembagaan yang ada dalam negara sekarang. Terdapat pelbagai teori tentang mengapa rakyat perlu terikat dengan undang-undang negara dan tidak akan diterangkan disini. Bolehlah membaca "The Social Contract" oleh Rousseau, "Leviathan" oleh Thomas Hobbes ataupun "Second Treatise of Government" oleh John Locke untuk teori konvensional tentang perkara ini. Kesimpulan yang boleh diberi ialah penilaian yang dibuat perlulah jelas berdasarkan konsep-konsep yang wujud dalam demokrasi dan tidak seharusnya dicampur aduk hasil daripada emosi kita.

Memperkukuhkan Institusi Demokrasi

Sebelum mengakhiri artikel ini, penulis ingin mengajak semua pembaca untuk mengukuhkan institusi demokrasi di Malaysia. Demokrasi bukanlah sahaja mengundi pada hari PRU, tetapi turut memerlukan rakyat yang berilmu dan berpengetahuan yang mempunyai autonomi. Penulis menyokong apa yang saudara Wan Saiful katakan bahawa institusi pembangkang harus dikukuhkan. Dalam demokrasi yang berkesan, wakil rakyat seharusnya mengundi untuk apa-apa usul yang membawa faedah untuk kawasan yang diwakili beliau dan bukannya atas dasar parti. Pada penulis, parti politik merupakan platform ideologi dan tidak seharusnya lebih daripada itu. Rakyat juga seharusnya memainkan peranan dalam mendesak wakil rakyat mereka untuk membuat keputusan yang menguntungkan mereka, berperanan secara proaktif dan tidak membiarkan korupsi dan perbuatan yang tidak bermoral untuk berterusan.

Demos kratos?

Kita semua harus membuang sikap "tidak mengapa asalkan aku dapat makan dengan cukup" dan berfungsi dalam masyarkat. Hanya dengan kewujudan institusi demokrasi yang mapan barulah pemerintahan negara demokratik boleh dijalankan dengan sempurna, insyaALLAH.

Wallahua'lam
 

Ini Sejarah Kita: Bahagian 2: Tidak Munasabah!

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Setelah beberapa lama berfikir tentang apa yang ditulis tentang program Ini Sejarah Kita, penulis mendapati bahawa ianya adalah tidak munasabah untuk program tersebut untuk dibuat oleh orang-orang yang tidak mengetahui sejarah secara mendalam. Mereka pastinya mengetahui lebih banyak tentang sejarah daripada penulis sendiri, tetapi modul yang mereka keluarkan itu terdapat beberapa kelemahan yang pada pendapat penulis boleh diperbaiki. Komen-komen yang diberikan oleh rakan-rakan dari Majlis Syura Muslimun, terutamanya Abang Hadrami dan Adam Tan, dan juga pembaca-pembaca blog ini banyak membantu penulis dalam memperbetulkan kecelaruan yang ada berkenaan beberapa perkara. Jazakumullahu khairan kathira kepada kalian semua. Penulis masih menantikan jemputan ke program Syahadatul Haq seperti yang kita bincangkan pada hari pertemuan kita.

Terima kasih Tuhan...

:)

Apa-apa pun, ingin sekali penulis memberikan sedikit cadangan untuk penambah baikan untuk program tersebut untuk kebaikan bersama. Namun sebelum itu, ingin ditegaskan disini bahawa idea yang dipersembahkan disini bukanlah pandangan dan hasil pemikiran penulis semata-mata (pandangan peribadi penulis tentang bagaimana ianya sepatutnya dilakukan tidak praktikal dalam jangka waktu pendek yang diberikan untuk program ISK) tetapi merupakan amalgamasi beberapa idea yang (harapnya) praktikal untuk program tersebut.

Cadangan-cadangan:

1. 'Disclaimer'

Pada pandangan penulis, adalah tidak adil untuk sesiapa pun untuk melalui program sedemikian tanpa diberitahu bahawa sejarah yang dihidangkan kepada mereka bukanlah sejarah yang objektif. Pengalaman peribadi penulis, tujuan program itu dan juga graf itu juga tidak diterangkan dengan jelas kepada pada peserta. Dan kerana ianya bukan sejarah yang objektif, fakta-fakta yang diberikan dalam program tersebut acapkali tidak diterangkan dalam konteks yang sepatutnya.

Program ISK di Southampton

Penulis diberitahu bahawa ini semua tidak menjejaskan hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah, tetapi penulis kurang bersetuju dalam hal ini. Ini kerana cara penceritaan apa-apa kisah akan mempengaruhi pengajaran apa yang diambil dan dibawa pulang oleh peserta. Contohnya, adakah kerana menurut
graf ISK tamadun di Baghdad lebih tinggi daripada tamadun Turki Uthmaniyah, tamadun di Baghdad sungguh lebih hebat daripada tamadun di Turki? Tanpa mengambil kira kesan episod-episod sejarah seperti kedatangan Christopher Colombus ke benua America yang membawa bersamanya kekayaan dalam bentuk emas yang kemudiannya membantu mengangkat Eropah keluar dari zaman Pertengahan, bagaimanakah kita boleh membuat perbandingan ini? Maka, pada pandangan penulis, haruslah ditekankan kepada peserta bahawa program itu bukanlah satu program untuk mengajar atau berkongsi ilmu tentang sejarah Islam secara objektif, tetapi mempunyai tujuan yang lain daripada itu.

2. Terlalu lokal dan sempit

Sejarah yang diceritakan dalam ISK juga terlalu lokal dan terlalu tertumpu di sekitar laut Mediterranean. Kurang diceritakan bagaimana interaksi masyarakat Islam dari Timur Tengah dengan masyarakat dunia lain mengubah landskap masyarakat dan budaya tersebut. Contohnya, tiada penceritaan tentang kesan Islam terhadap masyarakat di China, India, kepulauan Melayu dan sebagainya pada zaman pertengahan. Penceritaan sejarah ini tidak menjadi penceritaan sejarah Islam, tetapi menjadi penceritaan sejarah empayar Islam di kawasan berhampiran dengan laut Mediterranean. Sejarah, cerita mengenai manusia, itu sendiri hilang dinamisma dan kesan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam kurang ditekankan.

Mare Nostrum

Oleh itu, penulis mencadangakan supaya dimasukkan elemen kemanusiaan dan dikembalikan dinamisma dalam sejarah yang dipersembahkan. Ini akan membolehkan kita melihat tamadun manusia pada masa lampau dengan pandangan yang lebih luas dan membolehkan kita melihat kesinambungan dan perkaitan antara sejarah dan manusia serta membolehkan kita belajar dari sejarah. Ini juga boleh memperjelaskan beberapa perkara seperti kedatangan Zaid ibn Ziyad ke Sepanyol kerana dijemput oleh pemerintah di situ dan bukannya untuk merampas tanah dan takhta. Antara lain, ini merupakan hujah bahawasanya Islam tidak disebarkan melalui mata petang. Ini juga boleh menjelaskan mengapa terdapat umat Islam di India, dan membolehkan kita mendapat sedikit kefahaman tentang latarbelakang konflik India-Pakistan. Poin ini juga berkaitan dengan poin seterusnya kerana ISK membayangkan seolah-olah tiada kesinambungan kepada pemerintahan Islam selepas kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah.

Penulis merasakan ini penting kerana umat Islam itu merupakan satu ummah, dan andai tidak difahami mengapa dan bagaimana perkara itu terjadi, maka kita tidak boleh memahami bagaimana untuk memperbaiki keadaan tersebut.

3. Tiada kesinambungan

Sejarah yang dipersembahkan di ISK juga membayangkan ketiadaan kesinambungan selepas kejatuhan khilafah. Sebab yang diberikan kepada penulis ialah ISK hanyalah sebagai pencetus, dan kemudiannya akan disambung dengan program-program seperti Syahadatul Haq dan sebagainya. Namun begitu, pendekatan begini, apabila dicampur dengan graf ISK, boleh memberi gambaran yang salah kepada peserta yang sedang mendengar.
Selepas khilafah? Sifar?

Kejatuhan khilafah sudah tentunya merupakan perkara yang sangat besar yang traumatik kepada umat Islam, tetapi ia tidak bermakna yang tiada penerusan usaha-usaha untuk memperjuangkan Islam di dunia ini. Graf itu tidak dapat menangkap gerakan-gerakan sebegini, terutamanya dalam konteks dunia 'moden' yang baru muncul pada zaman kejatuhan khilafah. Malah, graf itu turun kepada sifar dan ini, pada pendapat penulis, tidak tepat.

Oleh itu, cadangan penulis ialah seharusnya diceritakan sedikit mengenai gerakan-gerakan revivalisme selain gerakan-gerakan subversif yang dilakukan oleh nasionalis yang berlaku pada masa itu. Ini akan memberi peserta idea tentang apa yang terjadi kepada umat Islam selepas itu dan apa usaha-usaha awal yang dilakukan untuk mengembalikan khilafah. Ini juga sebahagian daripada sejarah 'kita', dan penulis agak pelik kerana ianya tidak dimasukkan sekali.

4. Paksi-Y yang tidak jelas

Paksi Y yang digunakan dalam graf ISK itu juga kurang jelas. Perkara ini telah dibangkitkan oleh ramai orang tetapi definisi paksi Y itu sangat penting untuk memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan garisan 'tamadun'. Dalam keadaan kesamaran definisi, interpretasi graf itu boleh dibuat untuk menyesuaikan graf dengan apa sahaja keadaan, dan untuk apa-apa tujuan sahaja. Ia juga kurang jujur dengan keadaan sejarah, pada penulis.

Sejarah bukanlah hitam putih; hal ini diketahui oleh semua orang. Tetapi interpretasi-interpretasi sejarah bukanlah relatif dan sama taraf. Maka, dengan memberikan graf garisan yang hanya mempunyai satu garisan dengan paksi Y yang kurang jelas, ada bahaya yang interpretasi yang kurang tepat diguna pakai. Ketepatan interpretasi selalunya dihakimi dengan bukti yang wujud pada ketika itu. Oleh itu, interpretasi yang digunakan perlulah setepat yang mungkin dan bukannya untuk menyesuaikan interpretasi dengan mana-mana graf.

Definisi paksi Y haruslah jelas

Ini ialah masalah terbesar dengan graf ISK, kerana ia boleh disesuaikan dengan apa-apa sahaja. Ini boleh difahami dari 2 sudut. Pertamanya, kerana adanya modul ISK yang sedemikian, penceramah terpaksa mempersembahkan perkara-perkara yang hanya bersesuaian dengan graf tersebut. Ini tidak dapat tidak memusnahkan objektiviti dalam mempelakari sejarah. Keduanya, dengan ketiadaan paksi Y yang jelas, ia membolehkan pembentang untuk menukar makna garisan yang seharusnya melambangkan tamadun dari satu kerajaan kepada kerajaan yang lain, kerana definisi garisan itu sendiri tidak jelas.

Maka, pada pendapat penulis, jika tidak dijelaskan paksi-Y dalam graf itu, seharusnya diberi 'disclaimer' yang sangat jelas pada permulaan, pengakhiran, dan tiap-tiap kali graf itu dilukis. Namun begitu, pada pendapat penulis, impak yang paling besar daripada graf itu ialah ia dapat memberi gambaran secara visual tentang kebangkitan dan kejatuhan Islam. Masalah dengan graf ini ialah ia memberi gambaran terlalu simplistik terhadap sejarah. Namun, tidak dinafikan bahawa graf itu mempunyai kesan terhadap hati. Tetapi seharusnya kita berhati-hati dengan apa yang kita lakukan dan cuba memperbaiki apa yang kita ada.

5. Diluar konteks sejarah

Kadang kala terdapat beberapa perkara yang dipersembahkan tanpa dipersembahkan dahulu konteks yang perkara itu terjadi. Contoh yang penulis rasakan amat sesuai ialah dinamika empayar Rom Timur, Parsi, dan empayar Islam di Timur Tengah. Seperti yang penulis telah katakan sebelum ini;
"ia seolah-olah membayangkan bahawa Islam muncul didalam vakum, di mana Empayar Rom dan Parsi kedua-duanya telah jatuh dari kegemilangan masing-masing. Realitinya, Empayar Rom Timur melalui fasa-fasa kejatuhan dan pemulihan kuasa sehinggalah tentera Perang Salib ke-4 menguasai kota Constantinople dan kemudiaannya merompak empayar Rom Timur. Semua ini dipengaruhi oleh keadaan politik yang sangat kompleks di Constantinople yang melibatkan jeneral-jeneral tentera, golongan bangsawan, wanita-wanita berpengaruh hatta pelumba-pelumba di Hydrophone sendiri. Interaksi antara kedua tamadun ini langsung tidak diceritakan, dan seolah-olah tidak signifikan kepada sejarah Islam yang mereka bawa. "
Oleh itu, pada pandangan penulis, dengan wujudnya graf yang sedemikan, konteks dimana sejarah ini berlaku hendaklah diterangkan supaya penerima memahami latar belakang sejarah secara lebih lengkap. Namun begitu, perkara ini sangat sukar untuk dibuat dalam sesi yang singkat. Oleh itu, penulis mencadangkan supaya episod-episod sejarah yang terpilih sahaja yang di'highlight' supaya penceritaan itu menjadi lebih fokus dan boleh diterangkan secara panjang lebar. Ini bukan sahaja akan memberi lebih fleksibiliti kepada penceramah, ia juga boleh memberi gambaran kepada peserta yang sejarah itu ialah sejarah manusia dan bukan mekanikal. Kemanusiaan dalam sejarah itu boleh dikembalikan dengan cara ini, pada pendapat penulis.

Penulis merasakan bahawa apa yang penting dalam Ini Sejarah Kita ialah mengembalikan kemanusiaan dalam sejarah, dan perkara ini sangat mudah boleh dibuat. Dan pada pendapat penulis, material dalam laman web Ini Sejarah Kita harus digunakan semaksimum mungkin. Perlu juga ada, pada pandangan penulis, sedikit analisis objektif tentang kebangkitan dan kejatuhan tamadun itu sendiri. Analisis ini penting untuk kita belajar dan mengambil iktibar dari sejarah. Kehebatan tamadun Islam itu tidak dapat dinafikan, tetapi terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan kejatuhan satu-satu kerajaan juga perlu dilihat. Kerana sejarah kita ini ialah sejarah manusia. Dan sebagai manusia, kita juga boleh melakukan kesilapan-kesilapan yang sama seperti mereka.

...Pembaharuan...

Akhir kata, penulis ingin meminta maaf andai apa yang penulis bentangkan dalam blog ini menyakiti hati sesiapa. Bukanlah niat penulis untuk menyakitkan hati sesiapa, dan sebagai manusia, penulis juga melakukan kesilapan. Andai terdapat apa-apa bantahan terhadap apa yang dituliskan disini, bolehlah tuliskan komen dan insyaALLAH akan dibalas. Sekali lagi, penulis meminta maaf atas semua salah dan silap dalam penulisan ini.

Wallahua'lam
 

Cara Mudah Menambah Ilmu

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Tulisan kali ini ialah terjemahan penulisan bahasa Inggeris penulis dalam
blog iluvislamnya:

Tulisan ini adalah khasnya ditujukan kepada rakan-rakan pelajar penulis yang seringkali memberi alasan tiada masa untuk membaca dan menambah ilmu di luar apa yang diperlukan dalam bidang pengajian masing-masing (tetapi peliknya boleh menonton beribu-ribu episod drama Korea). Apa yang ditulis disini telah dicuba sendiri oleh penulis dan penulis mendapati bahawa ianya sangat efektif dalam usaha untuk menambah ilmu untuk menghidupkan kembali budaya ilmu dalam masyarakat Islam.

'Hardware' dan 'software' yang diperlukan:
1. Semangat dan keinginan untuk mengetahui perkara diluar silibus pengajian
2. iPod / pemain mp3
3. Laptop / komputer yang mempunyai akses internet
4. Aplikasi komputer untuk mendownload 'podcast'
5. Buku dan majalah ilmiah

Ipod Classic

Sebelum bermula, tanyalah diri soalan-soalan ini:
1. Apa yang kita mahu pelajari?
2. Sedalam mana kita mahu mempelajari subjek ini?

Metod:

1. Melalui 'podcast'

'Podcast' ialah file-file multimedia yang dihantar melalui teknologi RSS ke komputer peribadi. Ini bermakna, podcast yang telah didaftarkan didalam aplikasi komputer akan memuat turun apa-apa 'file' multimedia yang baru yang diletakkan dalam laman web yang menjadi 'host' podcast itu.

Untuk menggunakan podcast ini sangat mudah. Cari mana-mana laman web yang menjadi 'host' kepada podcast tajuk yang kita mahu, muat turun podcast itu, dan masukkan 'file' tersebut dalam pemain mp3, iPod ataupun cakera padat. Bahan-bahan tersebut kemudiannya boleh didengar di dalam kereta dalam perjalanan ke tempat kerja, contohnya, semasa berjalan ke kelas ataupun di dalam kereta api dan bas. Daripada kita mendengar musik yang tidak memberi manfaat kepada kita, lebih elok kita mendengar sesuatu yang informatif, jika kita tidak mahu mendengar ayat-ayat suci Al Quran.

Podcast yang menarik

Contoh podcast yang boleh didownload ialah podcast dari agensi berita BBC, CNN dan Aljazeera. Selain itu, terdapat juga podcast tentang subjek-subjek tertentu seperti Sejarah Republik Rom, Sejarah Empayar Rom, Falsafah dan sebagainya. Antara laman web yang mempunyai seleksi podcast yang banyak ialah learnoutloud.com. InsyaALLAH kita boleh mendapat igambaran tentang subjek yang kita ingin pelajari dengan mendengar podcast-podcast berkaitan.

2. Buku dan majalah

Buku ini merupakan cara tradisional untuk mempelajari sesuatu, dan pada pandangan penulis, merupakan kaedah paling efektif untuk mempelajari sesuatu dengan ketiadaan guru. Namun begitu, amatlah sukar untuk kebanyakan antara kita untuk membaca dan menghabiskan buku-buku dan majalah-majalah ilmiah. Oleh itu, penulis ingin mencadangkan cara yang mudah untuk mengatasi masalah ini.

Buku yang dibaca penulis sekarang

Sebelum tidur, bacalah satu buku ilmiah selama 5 minit setiap hari atau dua hari sekali. Andai tidak mahu membaca sesuatu yang sangat berat, maka bacalah majalah-majalah ilmiyah seperti 'The Economist' ataupun majalah lain yang ada di luar sana. Apa yang penting disini ialah konsistensi dan disiplin. 5 minit tidaklah lama jika dibandingkan dengan 1 episod anime ataupun drama Korea. 5 minit hanya 0.3% daripada 24 jam sehari, dan jika kita tidur selama 6 jam, 5 minit hanyalah1.4% daripada 6 jam. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Marilah sama-sama kita mengembalikan budaya ilmu masyarakat Islam masa lampau.

Wallahua'lam
 

Kembali Keudara

By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Kembali menulis, insyaALLAH. Masih memerlukan sedikit masa untuk menulis ISK bahagian kedua.

Sementara itu, mari sama-sama kita hayati video-video ini:


Video senaman:


Lirik yang puitis



Wallahua'lam
 

Berehat Seketika

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Penulis akan berehat seketika untuk menyiapkan esei yang akan perlu dihantar sebelum tamat sesi musim luruh ini. Dan penulis juga sedang membaca buku-buku ini:

Islam and Secularism, Prof Naquib Al Attas

Universe or Multiverse
Wallahua'lam