Isu Perak: Balasan Kepada Komen Cikgu Eya

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Penulisan kali ini ialah untuk memberi balasan kepada perkara yang dibangkitkan oleh Cikgu Eya dalam artikel yang lepas. Ada beberapa perkara yang ingin disentuh disni.

1. Konsep falsafah politik

Penulis lebih berminat untuk memberi penjelasan terhadap beberapa konsep dalam falsafah politik demokrasi daripada apa yang penulis tahu. Isu yang Cikgu Eya utarakan adalah berkenaan "legality" perbuatan melompat parti yang diutarakan. Itu akan disentuh kemudian dalam "entry" ini.

Falsafah politik

Apa yang cuba dibawakan oleh penulis ialah kita seharusnya sedar bahawa keputusan moral (moral judgement) yang dibuat tidak seharusnya dicampur aduk dengan keputusan undang-undang (legal judgement). Ini adalah kerana, untuk sesuatu pentadbiran untuk berjalan dengan lancar, pilihanraya tidak boleh diadakan dengan terlalu kerap atau terlalu jarang. Jika ianya terlalu kerap, maka situasi politik dalam negara tersebut akan menjadi tidak stabil dan wakil-wakil rakyat tidak akan dapat menjalankan tugas dengan baik. Jika ianya terlalu jarang, ada kemungkinan dimana wakil rakyat tidak akan mewakili rakyat kerana beliau tahu bahawa kedudukan beliau tidak akan dicabar untuk masa yang lama.

Oleh itu, tempoh masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya ialah sekali dalam tempoh 5 tahun, dan kebanyakan demokrasi liberal menggunakan tempoh ini. Harus diingat bahawa apabila seseorang wakil rakyat itu dipilih, kedudukan beliau disokong oleh undang-undang dan oleh itu, kita harus melihat kepada prosedur undang-undang untuk memecat beliau.

Perkara yang Cikgu Eya bangkitkan ialah berkenaan proses undang-undang ini, dan bukannya semangat dan falsafah disebalik "legitimacy" proses demokrasi. Ini tidak disentuh secara spesifik dalam "entry" yang lepas kerana penulis memberi lebih fokus kepada konsep-konsep dalam falsafah politik.

2. Isu SPR dan Speaker Dewan

Daripada apa yang penulis tahu, surat yang diberi kepada Speaker Dewan yang bertarikh 30 Januari itu tiada "binding clause" yang penting untuk mengesahkan surat tersebut. Ini bermakna yang surat perletakan jawatan tersebut boleh dicabar di mahkamah dan SPR boleh menidakkan permintaan speaker tersebut. Ini nampak seperti tidak adil, tetapi dari sudut undang-undang (penulis tidak pakar dalam hal ini, tetapi penulis belajar perkara ini dari kawan penulis yang belajar undang-undang), jika apa-apa surat ditandatangani dibawah paksaan mana-mana pihak, maka surat itu tidak sah. Ini ialah alasan yang digunakan untuk mencabar surat itu dalam mahkamah. Dan setahu penulis, selagi mahkamah tidak membuktikan bahawa surat ini sah, maka kedua YB ini boleh mengekalkan jawatan mereka.

Jata negeri Perak

Oleh itu, daripada semua perkara yang terjadi - termasuk isu Sultan Perak melantik Menteri Besar yang baru - mengalihkan medan pertempuran daripada Dewan Undangan Negeri kepada mahkamah. Samada ini bermoral atau tidak, itu isu lain. Dari segi teknikal undang-undangnya, rakyat belum mempunyai peruntukan undang-undang untuk memaksa SPR mengadakan pilihanraya baru selagi tiada keputusan mahkamah.

3. Institusi Demokrasi dan autonomi

Ingin disebut disini bahawa isu lompat parti ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia untuk mengukuhkan institusi demokrasi. Seharusnya, rakyat seharusnya memilih wakil yang dirasakan boleh menjaga kebajikan mereka, dan tidak seharusnya mengundi mengikut parti sahaja. Kita selalu berbicara seolah-olah institusi demokrasi di negara kita sudah mapan, walhal realitinya tidak.

Mari kita mengkaji apa implikasi melompat parti dari sudut falsafah politik. Sesebuah parti politik selalunya dianggotai oleh ahli yang mempunyai falsafah politik yang serupa. Contohnya, di United Kingdom, secara tradisionalnya, mereka yang menyokong pendekatan "leftist" yang percaya kepada lebih banyak campur tangan kerajaan dalam ekonomi akan lebih cenderung kepada parti Labour, manakala mereka yang lebih percaya kepada pendekatan pasaran bebas ("free market") akan selalunya lebih cenderung kepada parti Conservative. Sekarang, perbezaan antara kedua parti ini semakin kabur, tetapi sentimen yang sama masih wujud.

Gambar hiasan

Jadi, jika seorang wakil rakyat "melompat" parti, apakah implikasinya? Jika kita mengandaikan bahawa ahli parti menganggotai sesebuah parti atas dasar ideologi dan tidak ada unsur kepentingan peribadi, terdapat 2 inferens yang penulis dapat lakarkan:

i) Wakil rakyat tersebut telah bertukar falsafah politik. Jika kita melihat dari segi "conceptual", penukaran falsafah politik seseorang yang menganggotai sesebuah parti politik sehingga terpilih untuk menjadi wakil parti tersebut dalam pilihanraya merupakan sesuatu yang sangat signifikan. Ini bermakna beliau telah mengubah kepercayaan asas beliau tentang politik dan ekonomi. Ia seolah-olah seorang menukar kepercayaan daripada "terdapat kebenaran yang mutlak" kepada "semua kebenaran adalah relatif".

ii) Perpecahan dalam parti. Terdapat perpecahan yang siginifikan dalam parti tersebut sehingga wakil rakyat yang terbabit tidak lagi percaya kepada polisi-polisi dan dasar-dasar parti tersebut. Dalam hal ini, parti tersebut seharusnya bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Secara peribadi, penulis tidak merasakan bahawa mereka yang melompat parti melompat atas inferens yang diletakkan diatas. Terdapat 3 implikasi daripada hal ini:

i) Bukan semua orang menganggotai parti politik atas dasar ideologi parti tersebut
- Ini mungkin disebabkan oleh anggota parti tersebut hanya mahu mendapat sesuatiu dengan menganggotai parti politik tersebut dan tidak begitu percaya kepada perjuangan parti tersebut. Hal ini sangat berbahaya kepada demokrasi kerana ia boleh menyebabkan pihak yang terbabit untuk pergi ke parti yang memberi keuntungan terbesar kepada mereka

ii) Parti yang terlibat mempunyai falsafah politik yang serupa
- Jika hal ini berlaku, ia bermakna institusi pemerintahan dan demokrasi dalam negara tersebut menghadapi masalah, kerana sangat pelik untuk 2 parti yang memperjuangkan perkara yang sama berada dalam kem yang berbeza. Ini merupakan petanda bahawa isu-isu fundamental dalam institusi demokrasi berada dalam keadaan yang meragukan.

iii) Pihak yang terbabit melompat atas sebab atau kepentingan peribadi
- Terang-terangan salah. Mungkin ada unsur ugutan yang tidak diketahui.

Negaraku...

Apa yang sebenarnya terjadi, wallahua'lam. Penulis memberi kebebasan kepada pembaca untuk menilai sendiri apa yang berlaku.

4. "Legitimacy", sekali lagi

Seperti yang penulis katakan dalam artikel yang lepas,
terdapat beberapa elemen yang memungkinkan seseorang calon dipilih sebagai wakil rakyat:

1. Karisma dan personaliti calon
2. Tiket parti yang diwakili
3. Kelemahan calon lawan
4. Gabungan 1, 2, 3

Dalam kes ADUN yang melompat parti ini, penulis merasakan bahawa elemen kedua adalah elemen yang paling dominan dalam menentuan pemilihan wakil rakyat. Oleh itu, institusi demokrasi sekali lagi kurang mapan, kerana jika tiket parti yang paling penting, sesiapa pun boleh menjadi wakil rakyat selagi beliau menyokong parti yang betul dan bertanding di tempat yang betul. Maka, "
legitimacy" yang diperolehi oleh wakil rakyat tersebut adalah atas dasar parti, tetapi undang-undang berfungsi untuk menjaga hak individu wakil rakyat tersebut. Sekali lagi, penulis merasakan bahawa institusi demokrasi di Malaysia tidak mapan dan perlu diperbaiki.

Secara mudah, kita perlu menuju kearah "politik idea dan ideologi" dan bukannya "politik personaliti dan parti".

Wallahua'lam
 

2 comments so far.

  1. Azmi Nik 14 February 2009 at 04:59
    Politik berdasarkan ideologi sama saja dengan politik berdasarkan parti, kerna sesuatu parti politik itu sama ujud kerna sesuatu ideologi, baik ke-Melayu-an, keadilan, ke-Cina-an mahupun ke-Islam-an. Semuanya berkisar tentang makhluk tidak hidup, tidak bernyawa.

    Ahli-ahli politik di UK dan di US, pabila dipilih menjadi wakil rakyat, perlu sekali-sekala 'membalas budi' dengan mengundi mengikut polisi parti i.e. mengikut 'whip'. Namum begitu, ramai wakil rakyat yg dipilih berdasarkan jati diri dan pegangan mereka, jadi khilaf antara wakil rakyat dan parti adalah perkara biasa, dan mereka ini dipanggil pemberontak/'rebel'. Perkara ini biasanya berlaku di kalangan 'backbenchers'. Contohnya sewaktu pencerobohan ke atas Iraq di UK dan Financial Stimulus Bill yg terkini di US.

    Pabila seseorang wakil rakyat itu tidak lagi sehaluan dengan pemimpin parti, mereka boleh bertukar parti atau menjadi wakil bebas. Prinsip kebebasan berpersatuan adalah dihormati setiap masa.

    Setiap wakil rakyat, walaupun tidak menukar parti, boleh mengkritik polisi parti mereka sendiri atau mengundi utk menjatuhkan rang undang-undang parti mereka. Kebebasan bersuara adalah dihormati.

    Namun begitu, adalah diakui bhw politik Malaysia adalah berpaksikan parti, walaupun kedapatan sedikit pengecualian. Diakui jua bhw rakyat Malaysia perlu menghentikan penyembahan parti ini dan meletakkan nasib mereka sebagai punca utama pendirian politik. Adalah perlu untuk mereka menilai mutu setiap wakil rakyat itu berdasarkan kebolehan mereka utk berbakti kepada rakyat, bukan kepatuhan/ketaatan kepada berhala-berhala di PWTC mahupun Tropicana.

    Selagi mana penyembahan berhala-berhala tidak bernyawa ini berterusan, selagi itulah masalah kesahihan vs keabsahan ini akan berterusan setiap kali ada wakil rakyat yg tidak mematuhi arahan parti kerna mereka bukan 'wakil rakyat' tetapi 'wakil parti'.
  2. cikgu_eya 17 February 2009 at 00:40
    Ana juga sependapat. Rakyat mengundi kerna arti yang diwakili oleh wakil rakyat. Jadi, ia lebih layak diistilah sebagai wakil parti. Ada beberapa kemungkinan rakyat bersifat demikian;

    - Kerna menyokon ideologi parti yan diwakilinya.
    - Kerna tidak bersetuju dengan idologi parti yang sat lagi.

    Atas sebab itu, mereka memilih untuk mengundi wakil tersebut kerna parti, bukan kerna individu tersebut.

    Namun, ana juga melihat beberapa perubahan positif yang dilakukan oleh parti2 tertentu. Hari ini, terdapat part2 yan semakin berhati-hati dalam menyaring pemilihan calon. Personaliti, kepercayaan rakyat, serta aspek2 lain dititikberatkan untk memlih wakil. Semoga fenomena yang bak in terus berkembang.

    Kini, tidak ada frasa 'selamat' dalam berpolitik. Yang berada di atas, sudah sedar bahawa tempat duduk itu tidak akan selamanya jadi hak milk. Yang berada di bawah pula terasa bertanggngjawa untuk naik dan perbetulkan kesilapan orang atas yang dinampak. Masig-masing sepatutna berusaha memperaiki diri, membuktikan sememangnya mereka adalah suara rayat kepada atasan, bukan arahan atasan kepada rakyat...

    Wallahu'alam

Something to say?