...hAng tUah, hAng jEbat...

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Baru sahaja penulis pulang dari menikmati sushi (di kedai sushi halal di South Kensington!) berdekatan dengan stesen Tube South Kensington. Perbualan di kedai sushi itu, walau mungkin sedikit 'repetitive', memberikan penulis dengan bahan tinta baru untuk dikongsikan di sini.

Apa yang ingin disampaikan di sini mungkin merupakan ulangan kepada apa yang diketahui semua, namun ingin juga disampaikan untuk kongsian bersama.

Tinta kali ini ingin mengkaji secara objektif penghujung kisah Hang Tuah dan rakannya Hang Jebat, dan cuba untuk membuat konklusi yang berkatian dengan apa yang dialami oleh diri penulis, secara khasnya, dan untuk umum secara amnya (harap-harapnya begitulah). Namun begitu, penulis bukannya seorang yang amat mahir dalam sastera, maka kajian ringkas ini hanyalah bertujuan untuk mengkaitkan cerita itu kepada apa yang terjadi pada diri penulis.

Kisah kedua kawan karib ini memang popular di kalangan masyarakat Melayu, dan tidak ingin diceritakan disini. tetapi, secara ringkas, di penghujungnya Hang Jebat telah menderhaka kepada Raja kerana Raja telah 'membunuh' rakan karibnya, Hang Tuah, yang merupakan Laksamana pada ketika itu. Hang Tuah rupa-rupanya tidak dibunuh; sempat Bendahara melarikan beliau ke pedalaman Melaka. Namun, beliau tampil untuk bersemuka dengan Hang Jebat kerana tiada siapa dapat menewaskan Hang Jebat pada ketika itu. Hang Tuah kemudiannya bertempur dengan rakan sepermainannya itu, yang kemudiannya di bunuh oleh Hang Tuah. Maka tersohorlah nama Hang Tuah di kalangan rakyat kerana ketaatannya kepada Sultan, dan nama Hang Jebat akan selama-lamanya dikaitkan dengan penderhakaan, sesuatu yang dianggap sebagai dosa yang amat besar pada ketika itu.

Menariknya, apabila penulis cuba meletakkan diri penulis dalam situasi Hang Jebat, penulis sendiri merasa berbelah bahagi tentang apa yang patut penulis lakukan. Andai benar-benar terjadi, apakah patut penulis, sebagai rakyat bangkit untuk melawan tirani dan ketidakadilan yang amat jelas yang berlaku di hadapan mata kepala sendiri, ataupun duduk diam tanpa membuat apa-apa dan berserah kepada nasib; sistemnya sudah begitu...

Bagaimanakah penulis, yang merupakan seorang Muslim, menuntut hak keluarga rakan sepermainan penulis, sedang penulis sedar betapa dengan berbuat begitu, penulis akan dilabel sebagai penderhaka? Apa yang lebih penting, maruah diri, atau keadilan sosial?

Jawapan Hang Jebat pada persoalan-persoalan ini amat jelas; Sultan tidak adil, maka baginda tidak patut dituruti. Namun begitu, mentaliti masyarakat Melayu pada masa itu merupakan mentaliti yang tidak membenarkan penderhakaan, dan memandang perkara-perkara tersebut sebagai sesuatu yang melampaui batas. Hasil daripada itu, Hang Jebat digambarkan sebagai watak jahat dalam cerita ini. Tiada salahnya dalam membuat konklusi begini, namun, persoalannya, apakah mentaliti yang sama patut digunakan sekarang?

Apa yang penulis maksudkan ialah pada penulis, cerita ini lebih merupakan sesuatu yang bersifat pilihan, dan pengajaran yang perlu diambil boleh dilihat dari pelbagai segi. Dalam konteks hari ini, mungkin kita boleh ambil pengajaran dari sudut mentaliti masyarakat pada masa itu, dan bagaimana kita patut menyesuaikan mesej yang dibawa untuk masyarakat secara umum.

Tinta ini merupakan, mungkin, respon kepada beberapa kejadian yang berlaku di negeri-negeri pembangkang baru-baru ini; pengharaman Islam Hadhari dan pemecatan jawatan penasihat agama di Perak. Bukanlah perkara ini salah, namun begitu, penulis merasakan bahawa tindakan yang diambil terlalu drastik, dan tidak mengambil kira faktor masyarakat secara menyeluruh.

Mungkin tindakan Hang Jebat pada masa itu merupakan satu kesilapan, mungkin juga keadaan masyarakat pada masa itu tidak membenarkan Hang Jebat untuk menuntuk hak keatas Sultan. Namun begitu, dengan menderhaka, pada penulis, bukanlah Hang Jebat secara automatik menjadi watak jahat. Adakah terlalu salah untuk meminta kematian rakan karibnya diadili? Abaikan cerita mengenai dayang-dayang Istana buat masa ini, dan fokus pada niat asal Hang Jebat. Pada penulis, tiada salahnya, mungkin caranya salah, tetapi niatnya tidak salah sama sekali. Akhirnya, sahabatnya rupanya masih hidup, dan beliau telah menderhaka kepada Sultan. Maka rakyat semua membencinya.

Samalah dengan apa yang berlaku di Perak
dan Selangor. Pada penulis, tiada salahnya berbuat demikian, namun dengan cara yang dilakukan, ianya tidak memberi impak positif yang menyeluruh kepada masyarakat.

Penulis akan mengambil contoh kedua, pengharaman Islam Hadhari. Mungkin pengharaman yang dimaksudkan ialah pengharaman aktiviti-aktiviti Islam Hadhari yang, setakat yang penulis tahu, banyaknya merupakan hiburan. 'Fair enough', pada fikiran penulis, kerana sepanjang 4 tahun Islam Hadhari, Hadharahnya (modennya) tidaklah begitu ketara pada pandangan penulis, apa yang nampak banyaknya ialah hiburan dan perbelanjaan pada perkara-perkara yang kurang penting. Namun begitu, bagaimana dengan masyarakat Melayu Muslim di Malaysia? Tidakkah perkataan 'Haram' itu membawa maksud sesuatu yang andai dibuat mendapa dosa? Bagaimana pula dengan masyarakat bukan Muslim? Sebelum Pak Lah, yang ada hanya 'Islam'. Kemudian tiba-tiba muncul 'Islam Hadhari'. Apa bezanya dengan Islam? Islam yang dahulu tidak maju dan modenkah? Sekarang Islam Hadhari pula diharamkan kerana ianya mungkin membawa kepada salah faham kepada Islam. Adakah 10 prinsip itu bertentangan dengan prinsip-prinsip dalam Islam? Jika tidak, mengapa perlu diharamkan?
Apa pula kata ahli parti pemerintah? Mungkin salah media perdana di Malaysia kerana mengambil perkara-perkara negatif sahaja. Andai begitu, maka haruslah wakil pembangkang lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan, tidakkah begitu?

Pada penulis, perkataan 'Haram' itu tidak sesuai digunakan. Lebih baik diterangkan bahawa aktiviti dibawah panji Islam Hadhari tidak boleh dilaksanakan di Selangor lagi kerana ianya membawa kepada kemaksiatan dan kemudiannya memberi penjelasan mengapa aktiviti-aktiviti Islam Hadhari itu perlu dihentikan. Masyarakat Malaysia amat sensitif dengan perkataan-perkataan Arab ini. Haram, khalwat, solat, khinzir semuanya memberi konotasi yang berbeza dengan 'ban', berseorangan, sembahyang dan babi, walaupun bendanya sama.

Oleh itu, penulis merasakan bahawa patutnya kerajaan pembangkang, secara spesifik, dan Muslims secara general, terutamanya Islamists, lebih berhati-hati dengan kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang dibuat, kerana masyarakat Malaysia sangat mudah untuk salah faham dan menggunakan sesuatu itu sebagai alasan untuk memburuk-burukkan orang lain.

Wallahua'lam
 

1 comment so far.

  1. Anonymous 6 June 2008 at 14:43
    1. Memang masyarakat mudah salah faham, terutamanya orang Melayu. Ada baiknya sesuatu tindakan itu disertakan dengan penerangan sebaik-baiknya.
    2. Memang Perkampungan Hadhari dan program-program yang seantara dengannya penuh dengan unsur-unsur yang tidak wajar diketengahkan, terutamanya oleh pihak pemerintah. Wang itu seharusnya dibelanjakan ke atas program-program yang mempunyai impak besar kepada rakyat yang berpendapatan rendah.
    3. Hang Jebat memang berhak untuk menuntut keadilan, tetapi caranya salah, dan juga keadaan (masyarakatnya) tidak mengizinkan. Jika Hang Jebat benar-benar ikhlas untuk menuntut bela, beliau bolehlah menggulingkan raja dan melantik raja baru, atau menabalkan dirinya menjadi raja. Akan tetapi apa yang beliau lakukan adalah...

    Allah itu Maha Mengetahui

Something to say?