Showing posts with label islam. Show all posts
Showing posts with label islam. Show all posts

Sajak oleh Rakan...

Category: , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Penulis ingin berkongsi satu sajak yang ditulis oleh rakan baik penulis, Wan Aimran, untuk sama-sama kita hayati, insyaALLAH.

slouching towards medina

Aku ingin kembara
Mengimbas sejarah
Menelusuri kisah
Cerita yang mengatasi
segala cerita

Ingin ku selami satu persatu peristiwa
ingin ku perah setiap titis pengajaran
Semuanya kerana
Ku ingin bergerak
melangkah ke hadapan

Wadah ini dimulai
dengan sampaian salamku
ke bumi suci Mekah.
Berpaksikan Kaabah
Dipenuhi kasih Rasulullah
Masih ku dengari sayup-sayup
tapak kaki Baginda
Masih ku rasai
kesejatian kesetiaan para sahabat
Masih ku lihat
Lautan manusia mengerumuni
Menyahut seruan
Menyambut panggilan
Maha Pencipta yang tidak
punya sekutu.

Setelah iman dimantapkan
ikatan akidah diyakinkan
hubungan dengan Ilahi dieratkan
kini ku melangkah berhijrah
menjejak kaki di Madinah
Di sini ukhwah dibina
Di sini perselisihan diratakan
Di sini kekukuhan dilahirkan
Kepercayaan yang telah sekian lama
dicetus di dalam hati
Dikumpul, diusap dan dibentuk
hingga menjadi gagasan
umat Islam yang murni lagi terpuji.
Di sinilah tujuan dan matlamat dipaku
Di sinilah harapan dan cita-cita ditambat
Dan di sinilah
cahaya keIslaman mula dinyalakan
bara keImanan mula disemarakkan.

Persaudaraan yang telah disempurnakan
kemudiannya
memfokus azam membakar semangat
Islam mengorak langkah
melampaui batas sempadan

Ke barat
Amar Al-As merisik Mesir
lalu membawa khabar gembira
ke bandar Cairo.

Manakala ke timur
Khalid Al-Walid menundukkan Parsi
menyerap dan mengasimilasi
ilmu ketamadunan bangsa terdahulu.

Di utara pula
Umar Al-Khattab disambut Jerusalem
Lantas membuka pintu rahmat
ke tanah keramat para anbia’
Tempat agung bagi semua
yang bergurukan Nabi Ibrahim.

Akhirnya
apa yang bermula
di ceruk pedalaman Tanah Arab
telah berjaya memayungi
serata pelusuk dunia
Empayar demi empayar dibina
Di Damascus yang bersejarah
Di Baghdad yang bergemerlapan
Di Cordoba yang bertenaga
Di Isfahan yang berpendirian
Di Istanbul yang berkekalan.

Kesemuanya tunduk
kepada yang telah dibina
di kota Madinah
Setiap satu melaungkan bahawa
merekalah yang abadi!
merekalah yang unggul!
merekalah yang pasti!
merekalah yang tulen!

Sehingga kini
jerit teriak masih kedengaran
dari Kota Bharu ke Putrajaya
dari Turki ke Indonesia
malahan
London, Paris, Washington juga
ingin turut serta!
Masing-masing menyoal dan dipersoal
Setiap satu mengakui dan menyalahi
“Islamku lebih benar, lebih bagus dari Islammu!”

Ketauhidan yang dijulang
Hanya sekadar tempelan di hati
dan tidak disusuli
oleh tindak tanduk amal
Keadilan yang diwar-warkan
Hanya sekadar membasahi bibir
dan tidak disertai
oleh keberanian berakal
Kesejagatan ummah yang dikagumi
Hanya sekadar dipegang
asal kepentingan diri terpelihara

Islam yang seharusnya
universal, lengkap, terus-menerus
kini
banyak bersyarat
kerap berkonflik
pantang bersatu
liat bertindak.

Dimanakah pincangnya?
Kekalutan apakah yang menjangkiti?
Keserabutan apakah yang perlu diatasi?
Kezaliman apakah yang harus ditangani?
Kehilangan apakah yang cuba dikembali?

Adakah ia mengidami pemimpin yang maksum dan agung?
Adakah ia mengharapkan kesamaan pendapat dan mazhab?
Adakah ia mengingini panduan ulama yang tradisional namun liberal?
Adakah ia menanti kembalinya Imam Mahdi di akhir zaman?

Sesungguhnya
aku hanya musafir lalu
Sekadar ingin meneroka
sejarah kebangkitan jatuh bangun umat ini
Telah ku perhati
bagaimana sinar Islam
dan pelita Iman di hati umat ini
ditransformasi
dimanifestasi
menjadi kekuatan dan kebijaksanaan
yang kesannya melangkaui
batas dunia yang fana ini.

Ku yakin bahawa umat ini
akan kelak dapat merasai sekali lagi
nikmat dan kemanisan mengabdikan diri
kepada Yang Esa
Sejarah bakal menjadi peta mereka
Berkompaskan keImanan
dan Islam sebagai tongkat sandaran.
Ku fikir arah tujunya
sudah tersedia
Apa yang ku tunggu
hanyalah
kesediaan para ulama
keberanian para pemimpin
dan ketaatan ummah
untuk
menongkah arus mengganjak paradigma
menerajui reformasi Islam!

-wanaimran-

The good old days - jzkk Adam Tan & Shakirin

Penulis (kanan) dan Wan Aimran (kiri)

Wallahua'lam

P/S: Tips untuk belajar : link

Sumber: http://wanaimran.wordpress.com/2008/07/03/slouching-towards-medina/

 

Ini Sejarah Kita : Bahagian 1 - Permasalahan

Category: , , , By imakubex
Disclaimer: Tejuk diubah kerana dirasakan tidak sesuai

Bismillahirrahmanirrahim,

Setelah lama mendiamkan diri, akhirnya penulis mengangkat pena sekali lagi untuk menyebut tentang sesuatu yang telah lama difikirkan, cuma tidak pernah ditulis. Penulisan ini lebih kepada luahan rasa kecewa penulis yang merasa diri tertipu oleh kawan-kawan penulis.

Gambar hiasan

Seringkali penulis mendengar ungkapan-ungkapan seperti "niat dia baik" atau "mereka tidak berniat jahat" diperkatakan oleh orang kebanyakan dalam melihat tindakan seseorang atau sesuatu kumpulan, terutamanya mereka yang membuat perkara-perkara Islam. Walaupun kadangkala tindakan-tindakan ini memberi hasil yang kurang baik ataupun menggunakan cara yang kurang sesuai, kita selalu melihat golongan ini sebagai tidak bersalah dan seharusnya diberi peluang. Namun begitu, seringkali penulis terfikir, apakah tindakan seperti in boleh dijustifikasi? Andai kita mengatakan bahawa para orientalis tidak adil kepada sejarah Islam kerana mengambil bahagian-bahagian yang buruk tentang Islam, mengapa kita tidak katakan yang ianya juga tidak adil apabila kita mengambil bahagian-bahagian yang menepati dengan agenda kita sahaja? Adakah dengan niat kita yang baik sahaja kita boleh berbuat demikian?

Apa yang penulis maksudkan ialah program seperti program Ini Sejarah Kita (ISK) yang dianjurkan, antara lain, oleh Majlis Syura Muslimum di UK. Penulis diberitahu bahawa terdapat jemaah-jemaah lain di Malaysia yang menggunakan modul yang sama sebagai medium da'wah, dan penulis sendiri pernah menghadiri program ini sebanyak 2 kali, sekali di Southampton dan kemudiannya di London. Selepas setahun berfikir dan membaca, penulis mendapati bahawa walaupun niat penganjur program adalah baik, program itu memutarbelit sejarah dan memberi gambaran yang salah terhadap sejarah Islam. Contohnya, dalam graf ISK itu ada dinyatakan tentang kehebatan dan kegemilangan Khilafah Abbasiyah yang jatuh selepas kejatuhan Baghdad ke tangan Monggol, tetapi tidak mengambil kira keadaan Khilafah Abbasiyah yang hanya mempunyai kuasa pada nama, dan bagaimana pada ketika itu telah mula muncul kerajaan-kerajaan kecil yang mempunyai autonomi dan hanya memberi "lip service" kepada Khalifah di Baghdad. Ia juga tidak mengambil kira ketamadunan Islam di Sepanyol yang mempunyai struktur politik yang kompleks, dan bagaimana interaksi antara tamadun Islam dan tamadun Eropah memperkayakan kedua-dua tamadun ini.

Graph ISK

Apa yang paling mengecewakan ialah ia seolah-olah membayangkan bahawa Islam muncul didalam vakum, di mana Empayar Rom dan Parsi kedua-duanya telah jatuh dari kegemilangan masing-masing. Realitinya, Empayar Rom Timur melalui fasa-fasa kejatuhan dan pemulihan kuasa sehinggalah tentera Perang Salib ke-4 menguasai kota Constantinople dan kemudiaannya merompak empayar Rom Timur. Semua ini dipengaruhi oleh keadaan politik yang sangat kompleks di Constantinople yang melibatkan jeneral-jeneral tentera, golongan bangsawan, wanita-wanita berpengaruh hatta pelumba-pelumba di Hydrophone sendiri. Interaksi antara kedua tamadun ini langsung tidak diceritakan, dan seolah-olah tidak signifikan kepada sejarah Islam yang mereka bawa. Politik dalaman dalam kerajaan Islam juga tidak diceritakan, bagaimana hubungan simbiosis pemerintah dan golongan ulama' menyebabkan ramai ulama' diseksa kerana menentang status quo. Tidak juga disebut mengenai gerakan-gerakan dalam Islam yang melihat diri mereka sebagai pembaharu kepada Islam itu sendiri yang mahu membawa apa yang mereka lihat sebagai Islam yang sebenar melalui jalan peperangan (baca: Almoravid). Tiada langsung sifat kemanusiaan dalam sejarah itu, hanya satu graf yang naik, kemudiannya menurun selepas kejatuhan Baghdad. Semuanya mekanikal.

Old Baghdad : Gambar hiasan

Peserta kemudiannya ditarik kepada persoalan apa yang mereka harus lakukan untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan mengembalikan khilafah. Niat yang mulia, tetapi persoalannya, dengan melakukan begitu dengan berlatarbelakangkan sejarah yang hitam putih tanpa kemanusiaan, adakah ia adil? Adilkah kita untuk menarik peserta berfikir tentang Islam setelah memberi gambaran sejarah yang dimanipulasi? Perlu diingat bahawa khilafah itu merupakan entiti politik, maka, andai kita mahu mengembalikan khilafah, perlukah kita terjun kedalam politik? Ataupun kita harus memberontak terhadap kerajaan yang menggunakan undang-undang "sekular" ini?

Jawapan mereka sudah tentulah tidak. Kita harus fokus kepada tarbiyah dahulu. Model yang dibentangkan ialah kita memperbaiki diri, kemudian keluarga, kemudian masyarakat, kemudian negara dan akhirnya dunia. Persoalannya, adakah ianya sebegitu mudah? Dengan berlatarbelakangkan sejarah yang hitam putih, bolehkah kita berbuat demikian? Adakah tarbiyah diri itu bermakna memencilkan diri dari politik? Apakah dengan tarbiyah tandanya kita mendekatkan diri kepada ALLAH semata-mata? Adakah belajar itu bukan sebahagian daripada tarbiyah? Jika ya, maka ilmu apakah yang tergolong dalam tarbiyah ini dan mengapa? Bagaimana kita mengukur yang kita cukup tarbiyah? Sekali lagi, dengan memberi latar belakang sejarah yang hitam putih, bolehkan kita menggarap kompleksiti apa yang cuba dicapai? Adakah adil semua ini diperkatakan dengan cara sebegini?

Hulagu Khan di Baghdad

Jawapan yang penulis terima ialah ISK ini hanyalah pencetus; satu alat untuk menyedarkan masyarakat. Persoalan penulis, alat ialah sesuatu yang digunakan. Maka, siapakah penggunanya, dan mengapakah ianya digunakan? Dan andai alat yang digunakan ini mempunyai masalah pada asasnya, patutkah kita menggunakannya tanpa mengubahnya? Andai ianya merupakan suatu pencetus, maka ia mencetus apa? Pencetus terhadap semangat membangkitkan umat Islam? Semangat apa yang dikatakan disini? Bangkit yang bagaimana? Dari jatuh yang bagaimana? Jatuh dari konteks bagaimana? Adakah pernah berlaku sebelum itu? Dan apa yang orang terdahulu lakukan, dan apa yang kemudiaannya berlaku? Semua ini langsung tidak disentuh. Model yang diberi untuk kebangkitan itu seolah-olah menunjukkan yang tarbiyah diri dan masyarakat dan politik tidak boleh dijalankan serentak. Sejauh manakah kebenaran ini?

Jika di Turki, contohnya, Muslim tidak berjuang dalam medan politik dan masyarakat untuk membolehkan pemakaian tudung dan hanya mentarbiyah diri, bolehkan wanita Turki mendapat kembali hak mereka? Andai model yang diberi itu hanya sebagai 'guideline' untuk kita, maka perlukah ia dalam bentuk diri >> keluarga >> masyarakat >> etc? Andai kita boleh lakukan semuanya serentak, maka tidakkah model itu menjadi tidak releven?

Sebahagian daripada pendokong idea ini mengatakan bahawa itu ialah apa yang dibawa oleh Rasul kita Muhammad s.a.w. Masalahnya, Rasulullah bergerak dalam keadaan dimana tiada saluran untuk membuat semua ini. Apabila wujud saluran-saluran itu di Madinah, baginda proaktif membuat pembaharuan terhadap masyarakat. Dan tarbiyah juga tidak berhenti di Madinah, tetapi berterusan. Tarbiyah juga terus berterusan hatta di saat tentera Muslim kalah dalam perang Uhud. Andai kita perlu perbaiki diri dahulu sebelum terjun kepada masyarakat, maka Salman Al Farisi tidak perlu terjun ke bidang peperangan. Dan orang musyrik yang masuk Islam di Madinah tidak perlu menyumbang kepada Islam, hanya memperbaiki diri sahaja.

Ukhuwah fillah : Gambar hiasan

Maka, kita perlu melihat kepada keperluan, tempat dan keadaan semasa untuk bertindak. Kita tidak seharusnya bertindak atas dasar 'melihat dengan hati' semata-mata dengan menutup 'akal'. Dan kita juga perlu mengkaji tindakan-tindakan kita sebelum. Menggunakan 'hati' tidak bermakna menutup 'akal', dan menggunakan 'akal' tidak bermakna mengendahkan 'hati'. Kedua-dua ini berkait rapat antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, manipulasi sejarah atas dasar 'melihat dengan hati', pada penulis, adalah sesuatu yang salah.

Wallahua'lam
 

Antara Dua Keadilan

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Termenung penulis seketika ketika memikirkan permasalahan di bumi ALLAH ini, dan memikirkan betapa peliknya keadaan zaman ini. Antara dua keadilan, sepatutnya tiada kompromi; keduanya harus ditegakkan. Tetapi mengapa hanya satu sahaja yang diperjuangkan, sedangkan yang kedua lebih hampir dan mudah untuk diperbetulkan?

Apa yang dimaksudkan penulis ialah antara ketidakadilan yang berlaku di Malaysia, dan yang berlaku di Palestin. Pelik, pada pandangan penulis, bagaimana rakan-rakan penulis yang bersemangat untuk memperjuangkan Islam, seolah-olah tidak kisah akan ketidakadilan yang berlaku di tanah air sendiri, tetapi sibuk melaungkan perjuangan Muslim di Palestin.

Bukanlah hendak dikatakan bahawa Palestin itu tidak penting; jauh sekali, tetapi apakah dengan memperjuangkan hak rakyat Palestin kita harus melupakan hak penduduk yang duduk di negara yang mempunyai majoriti Muslim?

Contohnya, dalam peristiwa Grand Saga, dimana seorang mekanik telah dipukul oleh polis dengan sebegitu teruk tanpa sebab munasabah, dimanakah orang Islam? Dalam kes Teresa Kok, mengapa begitu lambat respons Muslim, (dengan pengecualian PAS dan beberapa kumpulan lain)? Ada pula kumpulan yang sanggup lagi mempertikaikan kezaliman yang berlaku walaupun telah dibuktikan bahawa beliau tidak bersalah? Dan selepas itu, apa yang Muslim secara kolektif lakukan? Dalam kes masyarakat pribumi di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak, apakah kita tidak merasakan bahawa itu satu perkara yang kita patut tangani atas dasar Islam kita, dan bukan atas dasar kaum? Jika begitu, mengapa tidak ramai Muslim Melayu yang membicarakannya?

Kita begitu lantang menentang penjajahan Israel di Palestin, begitu bersemangat berkumpul menentang dan memboikot produk-produk yang menyokong Israel, tetapi apabila kezaliman dilakukan oleh Muslim di negara sendiri, dimanakah kita?

Maka persoalannya, adakah kita membantu atas dasar yang seseorang itu Muslim, atau atas dasar Islamnya kita.

Apakah Rasulullah hanya membantu orang Islam dan tidak mengendahkan orang bukan Islam?

Jika tidak, maka mengapa kita memandang enteng perkara-perkara kezaliman yang tidak melibatkan orang Islam, dan mempunyai fikiran bahawa 'ia bukan hal aku. ahli politik mereka boleh selesaikan'. Adakah itu yang Islam mahukan?

Mungkin ada silapnya dalam penulisan ini; penulis membuat generalisasi yang terlalu banyak. Tetapi penulisan ini lebih berupa muhasabah diri. Maka, tepuk dada tanya Iman.

Wallahua'lam
 

'Sensitivity', Paranoia dan Realiti : Antara Kinrara dan Palestin

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Petikan dari Utusan Online:

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Nazir Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Abdul Rahman Nasir mengesahkan pihaknya menerima petisyen bantahan mengenai penggunaan pembesar suara daripada 189 penduduk bukan Islam di kawasan tersebut.

Beliau berkata, petisyen yang diserahkan seorang lelaki itu antaranya menyentuh mengenai penggunaan pembesar suara sewaktu kuliah Subuh, Kuliah Maghrib dan bacaan al-Quran menggunakan kaset dan cakera padat sebelum sembahyang Subuh.

”Memang mereka tidak menyebut mengenai azan tetapi saya percaya petisyen yang dibuat pada Februari lalu ada kaitan dengannya.

”Penulis petisyen itu pandai, dia tidak akan sebut mengenai azan kerana tahu ia lebih sensitif,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini hari ini.

Pada 8 September lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendedahkan wujud usaha pihak tertentu membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara, Selangor.

Abdul Rahman berkata, petisyen tersebut kemudian diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Datuk Satim Diman dan ia tidak dihebahkan ke pengetahuan jemaah masjid bagi mengelakkan wujudnya perasaan tidak puas hati.

Katanya, pihaknya juga mengabaikan desakan dalam petisyen tersebut bagi mengelakkan Masjid Al-Ehsan menjadi bahan uji kaji pihak tertentu.

Sementara itu, beliau mendedahkan seorang pemimpin sebuah parti politik di Selangor telah menghubunginya semalam untuk mengadakan sidang akhbar menjelaskan isu petisyen itu.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan tersebut kerana berpendapat isu berkaitan masjid tidak wajar dibincangkan menerusi platform politik.

Telah beberapa hari penulis berfikir dan berbincang mengenai berita ini, dan apa implikasi berita sebegini kepada pemikiran umat bukan Islam terhadap umat Islam, dan bagaimana pemikiran umat Islam yang sebegini boleh dilihat pada skala yang lebih luas.

Gambar hiasan

Satu perkara yang merunsingkan penulis ialah bagaimana nazir itu seolah-olah mengetahui niat kesemua penanda tangan petisyen itu, dengan menyatakan bahawa yang beliau "percaya petisyen yang dibuat pada Februari lalu ada kaitan dengannya" (baca:azan). Beliau menambah bahawa ”Penulis petisyen itu pandai, dia tidak akan sebut mengenai azan kerana tahu ia lebih sensitif”. Pada fikiran penulis, pernyataan ini agak sombong dan sedikit kurang berhati-hati. Haruslah diingat bahawa petisyen itu ditandatangani oleh lebih 100 orang penduduk bukan Islam disekitar masjid tersebut, maka, apa yang ditulis oleh penulis petisyen itu dipersetujui oleh semua penduduk tersebut. Hebat sungguh nazir itu sehingga boleh percaya bahawa semua penanda tangan petisyen itu mempunyai agenda tersembunyi. Apa yang begitu 'pandai' dengan meminta kepada pihak masjid, setelah berbincang dengan pemimpin masyarakat disitu, untuk menurunkan kekuatan pembesar suara yang digunakan? Adakah umat Islam seharusnya bertindak atas perasaan 'saya percaya' ataupun reaksi paranoid yang merasakan bahawa semua umat bukan Islam tidak menyenangi apa yang umat Islam lakukan?

Jika saya menegur kawan saya mengatakan bahawa suara dari pembesar suara di biliknya mengganggu saya belajar, adakah itu salah, walaupun dia memasang ayat suci Al Quran? Azan hanya berlangsung selama 5-7 minit, tetapi ceramah agama boleh mengambil masa selama 30-45 minit. Andai seorang ibu mempunyai anak kecil yang mahu tidur pada ketika itu, tidakkah itu mengganggu ketenteraman umum? Apakah Islam mahu kita mengganggu ketenteraman umum? Apakah yang kita mahu capai dengan memasang pembesar suara dengan kuat? Kemungkinan orang lebih tidak mahu mendengar ceramah agama itu, dan menjauhkan diri dari masjid kerana mengganggu ketenteraman awam dari mendekatkan diri dari masjid.

'Sensitivity' kita terlalu tinggi, dan kita juga seolah-olah paranoid bahawa umat bukan Islam akan merampas segala-galanya dari kita, an kita membiarkan unsur-unsur ini menular kepada persepsi realiti kita.

Tetapi, adakah ini kes terpencil? Bagaimanakah reaksi kita, umat Islam, secara umum terhadap apa yang kita anggap sebagai perkara yang tidak patut dipersoalkan lagi?

Gambar hiasan

Sebagai contoh, andai seorang bukan Islam mempersoalkan mengapa Islam, menurut interpretasi kebanyakan ulama', perlu menghukum mati orang yang murtad, berapa ramai antara kita yang akan berusaha untuk menjelaskan cara berfikir dan membuat hukum dalam Islam, dan seterusnya sedikit tentang perdebatan fekah dalam Islam dan tidak hanya melenting dan mengatakan bahawa ianya memang termaktub dalam hadis, dan perkara itu ialah perkara sensitif yang tidak patut dibincangkan? Andai kita diberitahu bahawa terdapat unsur-unsur sekularisme dan liberalisme dalam ajaran Islam, berapa ramai antara kita yang sanggup untuk mempelajari definisi dan perdebatan ideologi-ideologi ini, dan tidak hanya mengatakan bahawa ianya mustahil, dan Islam itu sudah syumul dan tidak memerlukan semua perdebatan ini?

Mungkin agak sukar untuk melihat pertailan antara apa yang baru dikatakan oleh penulis dengan isu yang dibawa oleh berita tersebut, tetapi apa yang penulis cuba untuk sampaikan, ialah berapa ramai antara kita yang berani untuk mendepani cabaran-cabaran zaman moden, seperti pluralisme agama, dengan tidak mempertahankan 'sensitivity' dan paranoia kita, dan melihat kepada realiti dan keperluan semasa?

Seringkali penulis mendengar di radio, dan membaca di blog-blog bahawa Palestin itu hak milik umat Islam. Persoalannya, adakah ia hak milik mutlak umat Islam? Dan dengan pemikiran paranoid seperti ini, pemikiran yang semua persoalan tentang sebahagian perkara dalam agama tidak boleh dibincangkan kerana ianya sensitif, adakah kita yakin yang kita boleh mentadbir Palestin dan Jurusalem dengan adil? Andai orang Kristian mahu memperbesarkan kawasan Gereja 'The Holy Sepulcre' mereka, berapa ramai yang boleh mengatakan tiada masalah berbuat demikian? Adakah kita akan terus membenarkan orang Yahudi meneruskan ekskavasi dan kajian bawah tanah mereka? Dengan 'mindset' dan 'worldview' umat Islam yang begitu defensif, paranoid dan tidak proaktif, yakinkah kita bahawa kita boleh berlaku adil sedangkan di Malaysia kita tidak adil kepada masyarakat bukan Islam?

Maka, antara Kinrara dan Palestin terdapat 1 pertalian yang menghubungkan keduanya. Dan pada penulis, kita seharusnya mula membuang prejudis yang tidak rasional kita, dan cuba untuk membuka mata dan minda terhadap apa sebenarnya tuntutan Islam kepada umatnya. Kita sibuk berbicara tentang ketidak adilan keatas umat Islam di Palestin, tidak menyedari ketidak adilan yang dilakukan oleh orang Islam kepada orang bukan Islam di Kinrara. Bukanlah kita tidak patut kisah kepada Palestin, tetapi elok juga andai kita bermuhasabah tentang cara kita melihat dunia ini.

Wallahua'lam

 

Ramadhan dan Kepelikan Manusia

Category: , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Melihatkan longgokan manusia yang cuba mencium Hajar Al Aswad di Makkah Al Mukarramah mengingatkan penulis tentang keadaan Ramadhan di Malaysia, bagaimana peliknya manusia ini apabila tidak diberi petunjuk Ilahi.

Pelik sekali penulis memikirkan tentang betapa pada bulan
Ramadhan, manusia berpusu-pusu ke Masjid untuk menunaikan solat sunat Tarawikh bersama Imam, tidak kiralah 8 atau 20 rakaat, tetapi tidak dapat hadir untuk solat Isya' berjemaah di Masjid, apakan lagi solat berjemaah di Masjid untuk waktu-waktu lain.

Pelik apabila kita melihat manusia berpusu-pusu ke pasar-pasar malam untuk membeli juadah bebuka puasa tetapi tidak terlintas untuk berpusu-pusu ke Masjid untuk solat Asar berjemaah sebelum itu.

Pelik juga melihat manusia membeli juadah berbuka dengan begitu mewah, tetapi tidak ada satu sen pun yang sanggup diberikan kepada fakir miskin sebagai sedekah.

Pelik apabila manusia sanggup untuk bangun awal untuk makan sahur tetapi tidak sanggup untuk solat sunat 2 rakaat sebelum makan itu. Lebih pelik, ada yang sanggup tidur selepas makan itu dan bangun lewat untuk solat Subuh.

Pelik apabila kita sanggup berlapar dahaga selama seharian, tetapi menghabiskan masa seharian untuk tidur, dan mengabaikan pembacaan dan penelitian Al Quran.

Pelik juga andai kita sanggup berjaga malam dan solat untuk mencari Lailatul Qadar, tetapi akhlak tidak dijaga, terutamanya dengan ibu bapa - berapa ramai antara kita yang betul-betul berbakti kepada ibu bapa, dan tidak mengharapkan kepada mereka?

Selamat Datang, Ramadhan Al Karim

Semua ini menyebabkan penulis terfikir, apakah nilai Ramadhan dan ibadah puasa yang kita kerjakan? Apakah yang kita mahu capai daripada ibadah puasa ini? Adakah kita hanya berpuasa kerana orang lain puasa, atau kerana Islam menyuruh kita berpuasa? Atau kerana ALLAH?

Andai begitu, mengapa terjadi begitu banyak kepelikan seperti yang dinyatakan diatas? Kesilapan disana-sini itu biasa, tetapi apabila kita tersedar, haruslah kita beristighfar dan meminta ampun atas kesilapan kita, insyaALLAH.

Dalam keghairahan kita beribadah dalam bulan Ramadhan, harus juga kita berhenti seketika dan bermuhasabah untuk melihat samada ibadah yang kita lakukan itu benar-benar menepati tuntutan syariah. Mungkin menghabiskan masa membaca Al Quran seharian suntuk dapat memberi kita pahala yang besar, tetapi andai ada kuliah di Masjid berdekatan, ataupun kita tahu yang rakan kita memerlukan pertolongan dalam kerja dakwah, maka kita seharusnya berfikir tentang apa yang patut kita lakukan dahulu, berdasarkan keutamaan (Al Aulawiyat).

Kita juga seharusnya, insyaALLAH, menilai ibadah yang kita kerjakan, samada ianya betul-betul ikhlas kerana ALLAH, dan melihat andai terdapat ruang kosong di tempat-tempt lain yang kita boleh isi yang mungkin kita tertinggal. Dengan itu, insyaALLAH ibadah yang kita lakukan akan bertambah baik dari hari ke hari.

Maka dengan kedatangan bulan Ramadhan Al Mubarak ini, sentiasa ingatkan diri untuk bermuhasabah dan beristighfar. Kadang kala kelemahan kita bukanlah kita kurang bersolat, ataupun kurang membaca Al Quran, tetapi kita terlepas pandang kepada setenga-setengah perkara seperti berbuat baik kepada ibu bapa dan adik beradik, berakhlak mulia terutamanya kepada orang tua, dan perkara-perkara seperti ini.

Moga-moga Ramadhan yang mendatang akan menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa, seperti mana yang dinyatakan oleh ALLAH Rabbul 'Alamin dalam kitabNya.

Wallahua'lam
 

Kepelikan Masa

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Tinta kali ini lebih kepada refleksi diri dan bukannya sesuatu yang lahir dari pemikiran kritikal terhadap dunia. Maka ianya mungkin lebih bersifat rintihan dan kurang bermanfaat kepada pembaca secara am. Oleh kerana penulisan ini tidak bertujuan untuk menerangkan idea-idea yang ditunjukkan secara spesifik, penulis amat mengalu-alukan penambahan atau pembetulan terhadap apa-apa yang ditulis.

Namun begitu, penulis memang telah lama memikirkan masalah masa, dan dengan tambahan ilmu daripada pembacaan penulis dalam bidang Fizik Kuantum, kepelikan masa hanya bertambah. Ingin sekali penulis berkongsi sedikit kepelikan masa dalam dunia kuantum menurut gambarajah Feynman. Menurut saintis, jika kita menggunakan gambarajah Feynman, kita boleh mendapati yang zarah yang bergerak menentang masa (dari masa sekarang ke masa lampau) boleh disamakan dengan anti zarah yang bergerak selari dengan "anak panah" masa. Masa yang mempunyai "anak panah" sesuatu yang pelik dalam bidang Fizik, kerana kebanyakan dan hampir kesemua hukum yang dijumpai menunjukkan kesimetrian masa, tetapi ianya tidak pernah mengalir dari masa hadapan ke masa lampau. Pelik, bukan? Mengapa simetri alam semesta yang sungguh hebat ini tidak dipatuhi masa? Atau adakah terdapat sesuatu yang kita tidak ketahui?

Masa yang pelik

Jika kita melihat eksperimen-eksperimen seperti dwi celah Young, Pemadam Kuantum dan Pilihan Lambat Wheeler (mungkin salah, dalam Bahasa Inggeris, Wheeler's Delayed Choice experiment), kepelikan masa bertambah-tambah. Andai eksperimen minda EPR menunjukkan seperti ada "spacial non-locality", eksperimen-eksperimen diatas seolah-seolah menunjukkan kemungkinan adanya "temporal
non-locality". Antara teori yang dikemukan oleh Feynman ialah 1 keputusan dari persamaan Maxwell yang menunjukkan bahawa "wave solution" yang terhasil boleh bergerak mengikut (retarded waves) dan menentang (advanced wave) aliran masa. Dan kerana teori Maxwell itu telah dibuktikan
boleh dipakai, maka keputusan ini hendaklah diambil sebagai 1 solusi yang mungkin berlaku.

Visualisasi idea Feynman (Copyright www.npl.washington.edu)

Apakah maknanya itu?

Maknanya, kewujudan sesuatu itu tidak semestinya lokal, iaitu berada di satu tempat dan masa secara spesifik, pada setiap masa dan tempat. Pelik, bukan?

Namun apa yang penulis ingin bawa disini bukanlah idea-idea Fizik yang abstrak, tetapi bagaimana peliknya dunia yang kita duduki ini. Mungkin kita memerlukan revolusi dalam cara kita berfikir tentang alam untuk memahami segalanya. Namun kebarangkalian kita selamanya tidak akan memahami alam semesta ini secara keseluruhannya. Terdapat satu ungkapan yang suka penulis kongsikan disini, yang mungkin agak pelik difikirkan kerana ianya datang dari salah seorang ahli Fizik terkemuka. Mungkin ungkapan ini menunjukkan betapa peliknya dunia ini sehinggakan seolah-olah kita tidak dapat memahaminya. Ianya berbunyi:

"Shut up and calculate. It is sheer arrogance that the rules should make sense"

Wallahua'lam

Rujukan:
[i] Nonlocality with Time Reversibility

[ii] Wikipedia
[iii] Fabric of the Cosmos, Brian Green
 

Adakah Kau Lupa

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Sedang penulis berehat-rehat di rumah (penat dari duduk di dalam kapal terbang selama 13 jam lebih), terdengar suara adik penulis mendendangkan lagu 'Adakah Kau Lupa' nyanyian kumpulan 'Alarm Me'. Ini video dan liriknya:



Adakah kau lupa
Kita pernah berjaya
Adakah kau lupa
Kita pernah berkuasa

Memayungi dua pertiga dunia
Menrentas benua melayar samudera
Keimanan juga ketaqwaan
Rahsia mereka capai kejayaan

Bangunlah wahai anak bangsa
Kita bina kekuatan jiwa
Tempuh rintangan perjuangan

Gemilang generasi yang silam
Membawa arus perubahan
Keikhlasan hati dan nurani
Ketulusan jiwa mereka berjuang

Sejarah telah mengajar kita
Budaya Islam di serata dunia
Membina tamadun berjaya
Merubah mengangkat maruah

Pendapat penulis, benar sungguh bahawa umat Islam telah lupa akan semua ini. Terlupa betapa hebatnya Islam di masa dahulu. Betapa Islam menerajui dunia di zaman di mana Eropah masih cuba untuk berdiri selepas kejatuhan Rom Barat.

Namun begitu, tidakkah kita sedang lupa tentang kisah manusia disebalik kejayaan ini? Adakah hanya kejayaan yang dilakarkan dalam buku-buku sejarah Islam? Adakah kita hanya mahu membaca kejayaan-kejayaan yang ada, tanpa melihat kejatuhan dan kehancuran dalam Islam sendiri?

Penulis tidak mempunyai apa-apa masalah dengan lagu sebegini. Tetapi apa yang penulis risaukan ialah bagaimana ianya digunakan untuk menunjukkan yang seolah-olah Islam sebelum kejatuhan Khilafah terakhir (Khilafah Uthmaniyah yang berpusat di Istanbul), kehebatan umat Islam tidak boleh dicabar oleh seluruh penduduk dunia, dan tiada masalah dalaman yang terjadi.

Itu ialah impressi yang penulis dapat apabila penulis pergi kepada sebahagian program-program Islamik dan juga berbicara dengan rakan-rakan Islamists penulis, khususnya dari Malaysia. Sejarah begini tidak objektif, pada pemikiran penulis. Sejarah ialah cerita mengenai manusia, tentang manusia, diceritakan oleh manusia. Oleh itu, sejarah amat bergantung kepada versi mana yang mahu diambil sebagai bahan rujukan. Walaupun setengah-setengah penceritaan akan lebih berat sebelah, ia tidak bermakna kita seharusnya menidakkan sumber itu secara total.

Pembacaan sejarah, sejarah Islam terutamanya, harus dilakukan secara objektif apabila mahu menilai sejarah. Selain daripada kehebatan dan kegemilangan yang ada, kita seharusnya melihat mengapa dan bagaimana pencapaian itu diperolehi dan apa keadaan sosio-politik yang ada pada ketika itu.

Contohnya, penyebaran empayar Islam pada zaman al-Khulafā’ur-Rāshidūn. Ya, mereka manusia hebat, bertaqwa dan beriman dengan sepenuh hati. Tetapi harus juga kita lihat yang pada masa itu, empayar Rom Timur, dibawah Maharaja Heraclius baru sahaja selesai berperang dengan empayar Sassanid Parsi (empayar Parsi bangkit beberapa kali selepas kejatuhan pertama oleh Alexander The Great). Kedua-dua empayar ini telah menghabiskan banyak wang dan sumber manusia semasa peperangan tersebut. Kebangkitan Islam dilihat sebagai sesuatu yang tidak signifikan pada awalnya, terutamanya oleh Rom Timur. Mereka merupakan pewaris empayar Rom yang pernah menguasai dunia. Mengapa mereka patut risau akan beberapa orang Arab yang berpecah belah? Orang Arab yang sebelum ini merupakan bangsa yang tidak pernah mengancam mana-mana kuasa di dunia secara signifikan? Namun, akibat daripada situasi yang ada pada ketika itu, empayar Byzantine berjaya dikalahkan beberapa kali, dan empayar Sassanid Parsi ditumbangkan. Sekiranya tentera Byzantine lebih bersiap sedia dan mempunyai disiplin dan peruntukan kewangan yang cukup, tidak mustahil umat Islam yang akan tewas.

Contoh lain ialah kebangkitan Khilafah Abbasiyah. Berapa ramai yang tahu pembunuhan beramai-ramai puak Bani Ummayah yang berlaku semasa peralihan kuasa tersebut? Berapa ramai yang tahu betapa janji-janji yang diberikan oleh penguasa Bani Abbasyah kepada ahli keluarga Khalifah pada masa itu merupakan janji palsu? Berapa ramai yang tahu bahawa Bani Abbasiyah menggunakan sokongan golongan Syiah untuk menentang Khalifah pada masa itu, dan kemudiannya menindas puak Syiah? Berapa ramai yang mengkaji sistem yang digunakan pada zaman itu, dan kemudiannya mendapati bahawa terdapat elemen-elemen sekular di dalam pemerintahan Islam?

Sejarah harus dikaji secara objektif, supaya kita boleh melihat di mana umat terdahulu telah tersilap. Dimana dan mengapa, dalam konteks apa, dalam situasi bagaimana mereka tersilap. Mungkin bukan kesilapan yang kita patut lihat, tetapi mengapa sesuatu model kerajaan berjaya pada masa itu. Mungkin juga kita boleh melihat apa yang membolehkan kejadian-kejadian di zaman silam diterima oleh rakyat, walaupun andai dilihat dengan kaca mata moden, ia tidak sama sekali boleh diterima.

Namun begitu, umat Islam kontemporari apabila didedahkan dengan kelemahan dan keburukan umat Islam terdahulu, ramai yang tidak mahu mendengar, dan menuduh pembawa cerita begini sebagai musuh Islam. Lihat sahajalah bagaimana orientalis dibenci oleh orang Islam. Walau penulisan orientalis tidak sedap dibaca, kita tidak seharunya membuang penulisan-penulisan sebegini tanpa mempunyai hujah yang kukuh mengapa mereka tersilap. Dan kita juga harus mengakui bahawa sebahagian fakta yang dibawa oleh mereka merupakan fakta dari sudut pandangan mereka.

Persoalannya, mengapa umat Islam berfikir dan bertindak sedemikian rupa? Sikap yang sebegitu defensif ada gunanya, namun ia boleh menyebabkan kita buta pada benda-benda yang terang-terangan merupakan sesuatu yang salah.

Oleh itu, kajilah sejarah secara objektif. Dan janganlah prejudis yang ada pada fikiran kita menghalang kita daripada membuat kajian tersebut. Kerana sejarah merupakan cerita tentang manusia, dan sebagai manusia, kita juga boleh membuat kesilapan yang sama andai kita berada dalam situasi yang sama.

Wallahua'lam
 

Disiplin Ilmu Sains

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Sedang penulis membaca artikel-artikel yang ada di dalam internet, penulis terjumpa 1 artikel berkenaan dengan teleportasi dan Islam di http://www.iluvislam.com. Menariknya, sebagai pelajar sains, major dalam bidang Fizik dan kemungkinan membuat Fizik Teori, penulis memahami yang sains secara dasarnya cuba untuk menerangkan kejadian alam, dan tidak mendasarkan kajian di bawah mana-mana ideologi atau agama.

Pada penulis, kajian terhadap alam sekitar sama seperti cuba memahami bagaimana komputer berfungsi, walaupun jauh lebih sukar. Perlukah kepada ideologi untuk memahami bagaimana komputer berfungsi? Perlukah justifikasi falsafah mengapa huruf "Q" diatas huruf "A", walhal perkara itu mempunyai sebab sejarahnya sendiri?

Tetapi, apabila berkaitan dengan Islam, ramai yang cuba mengambil sains dan cuba mengaitkannya dengan Islam tanpa memahami secara menyeluruh sains itu sendiri. Contohnya, ayat mengenai alam semesta:

Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (21:31)

Apa yang dimaksudkan dengan langit dan bumi di sini? Ada ulama' yang menafsirkannya sebagai fenomena Big Bang yang, menurut teorinya, merupakan asal alam semesta ini. Namun begitu, mungkinkah apa yang dimaksudkan lain? Mungkin terdapat ilmu yang lain yang tidak diketahui yang mungkin juga dimaksudkan oleh ayat ini. Apa yang penulis mahu sampaikan disni ialah interpretasi ayat Quran dalam setengah-setengah perkara sains boleh dibuat dengan 2, 3 cara. Sebab ianya merupakan interpretasi, bukanlah maksudnya ianya 100% betul, dan mestilah dianalisis teori sains yang digunakan dengan teliti, dan memasukkan 'limiting factors', keadaan-keadaan yang mana teori itu berfungsi dan lain-lain. Saintis pun mentafsirkan fenomena fizikal dengan berhati-hati. Apa yang selalu dilakukan apabila cuba menerangkan sesuatu fenomena fizikal ialah ayat-ayat seperti "Fenomena ini boleh difahami dengan meletakkan idea ini ... . Justifikasinya ialah, dalam keadaan sebegini ... sistem ini bertindak dengan cara ini. Oleh itu, jika kita fikirkan sistem ini mematuhi peraturan ini, dan persamaan ini, ia bertepatan dengan apa yang dilihat setakat 'limit' experimen ini."

Bukanlah ini bermakna yang penulis tidak menyokong mencari hubungkait Islam dan sains, namun begitu, janganlah diambil semuanya seolah-olah ianya 100% betul, kerana itu merupakan interpretasi terhadap sesuatu yang dikaji, yang mungkin hanya benar di dalam had experimen yang dilakukan. Oleh itu, perlu dimasukkan perkataan-perkataan seperti "ada kemungkinan" atau "ini mungkin menyokong" di dalam apa yang ditulis. Andai apa yang ditulis rupanya salah, maka penulis dan pengkaji yang akan disalahkan, bukan Islam.

Sains mempunyai disiplinnya yang tersendiri, dan disiplin ini harus dipatuhi. Muslim seluruh dunia sangat mebenci apabila orang membaca dan menafsir Al Quran tanpa mengetahui disiplin-disiplin ilmu Al Quran yang diperlukan untuk berbuat demikian, namun Muslims juga tidak menghormati disiplin ilmu sains apabila membuat hubung kait antara sains dan Islam. Apabila terdapat 1 penemuan sains yang seolah-olah mempersetujui apa yang dikatakan oleh Al Quran, Muslims selalu mengambilnya secara literal dan tidak mempedulikan apa had-had teori yang dipakai itu. Jarang sekali kita mendengar kenyataan seperti " Hasil kajian ini menunjukkan bahawa ... . Ada kemungkinan bahawa ianya bertepatan dengan Al Quran kerana ayat ini ... yang boleh difahami dengan cara ... . Namun, interpretasi yang lain experimen ini mungkin membolehkan ianya bermakna ... . Kami tidak setuju dengan interpretasi ini kerana ... . " . Apa yang penulis selalu baca ialah "Hasil kejadian ini menyokong Al Quran kerana ianya dibuktikan oleh ayat ini."

Kenyataan yang pertama amat berhati-hati dan cuba untuk mengambil perhatian semua pembolehubah yang ada di dalam experimen yang dilakukan, manakala yang kedua tiada elemen berhati-hati ini. Andai seorang atheist membaca 2 kenyataan diatas, yang mana yang mungkin ditimbangkan untuk difikirkan?

Masalah dengan logik ialah logik boleh dikalahkan dengan logik. Dan dengan ilmu yang ada pada manusia sekarang, tiada apa yang pasti 100% dalam sains. Setakat ini, tiada argumen konklusif tentang kewujudan atau ketidakwujudan Tuhan. Dengan konklusif maksud penulis ialah semua orang bersetuju tanpa bantahan yang munasabah bahawa Tuhan wujud. Sebab itulah Muslims mesti lebih berhati-hati dalam membuat kaitan antara Islam dan sains, kerana interpretasi sains boleh dibuat dari banyak sudut, terutamanya fizik.

Secara mudah, apa yang ingin disampaikan ialah: Muslims seharusnya lebih berhati-hati dalam mengaitkan Islam dan sains. Argumen yang digunakan seharusnya mengambil kira had-had ilmu yang kita tahu, dan mengapa ianya begitu. Dengan berbuat begini, mudah untuk orang menentukan nilai interpretasi sains yang diletakkan.

Wallahua'lam