Showing posts with label agama. Show all posts
Showing posts with label agama. Show all posts

Ini Sejarah Kita: Bahagian 2: Tidak Munasabah!

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Setelah beberapa lama berfikir tentang apa yang ditulis tentang program Ini Sejarah Kita, penulis mendapati bahawa ianya adalah tidak munasabah untuk program tersebut untuk dibuat oleh orang-orang yang tidak mengetahui sejarah secara mendalam. Mereka pastinya mengetahui lebih banyak tentang sejarah daripada penulis sendiri, tetapi modul yang mereka keluarkan itu terdapat beberapa kelemahan yang pada pendapat penulis boleh diperbaiki. Komen-komen yang diberikan oleh rakan-rakan dari Majlis Syura Muslimun, terutamanya Abang Hadrami dan Adam Tan, dan juga pembaca-pembaca blog ini banyak membantu penulis dalam memperbetulkan kecelaruan yang ada berkenaan beberapa perkara. Jazakumullahu khairan kathira kepada kalian semua. Penulis masih menantikan jemputan ke program Syahadatul Haq seperti yang kita bincangkan pada hari pertemuan kita.

Terima kasih Tuhan...

:)

Apa-apa pun, ingin sekali penulis memberikan sedikit cadangan untuk penambah baikan untuk program tersebut untuk kebaikan bersama. Namun sebelum itu, ingin ditegaskan disini bahawa idea yang dipersembahkan disini bukanlah pandangan dan hasil pemikiran penulis semata-mata (pandangan peribadi penulis tentang bagaimana ianya sepatutnya dilakukan tidak praktikal dalam jangka waktu pendek yang diberikan untuk program ISK) tetapi merupakan amalgamasi beberapa idea yang (harapnya) praktikal untuk program tersebut.

Cadangan-cadangan:

1. 'Disclaimer'

Pada pandangan penulis, adalah tidak adil untuk sesiapa pun untuk melalui program sedemikian tanpa diberitahu bahawa sejarah yang dihidangkan kepada mereka bukanlah sejarah yang objektif. Pengalaman peribadi penulis, tujuan program itu dan juga graf itu juga tidak diterangkan dengan jelas kepada pada peserta. Dan kerana ianya bukan sejarah yang objektif, fakta-fakta yang diberikan dalam program tersebut acapkali tidak diterangkan dalam konteks yang sepatutnya.

Program ISK di Southampton

Penulis diberitahu bahawa ini semua tidak menjejaskan hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada sejarah, tetapi penulis kurang bersetuju dalam hal ini. Ini kerana cara penceritaan apa-apa kisah akan mempengaruhi pengajaran apa yang diambil dan dibawa pulang oleh peserta. Contohnya, adakah kerana menurut
graf ISK tamadun di Baghdad lebih tinggi daripada tamadun Turki Uthmaniyah, tamadun di Baghdad sungguh lebih hebat daripada tamadun di Turki? Tanpa mengambil kira kesan episod-episod sejarah seperti kedatangan Christopher Colombus ke benua America yang membawa bersamanya kekayaan dalam bentuk emas yang kemudiannya membantu mengangkat Eropah keluar dari zaman Pertengahan, bagaimanakah kita boleh membuat perbandingan ini? Maka, pada pandangan penulis, haruslah ditekankan kepada peserta bahawa program itu bukanlah satu program untuk mengajar atau berkongsi ilmu tentang sejarah Islam secara objektif, tetapi mempunyai tujuan yang lain daripada itu.

2. Terlalu lokal dan sempit

Sejarah yang diceritakan dalam ISK juga terlalu lokal dan terlalu tertumpu di sekitar laut Mediterranean. Kurang diceritakan bagaimana interaksi masyarakat Islam dari Timur Tengah dengan masyarakat dunia lain mengubah landskap masyarakat dan budaya tersebut. Contohnya, tiada penceritaan tentang kesan Islam terhadap masyarakat di China, India, kepulauan Melayu dan sebagainya pada zaman pertengahan. Penceritaan sejarah ini tidak menjadi penceritaan sejarah Islam, tetapi menjadi penceritaan sejarah empayar Islam di kawasan berhampiran dengan laut Mediterranean. Sejarah, cerita mengenai manusia, itu sendiri hilang dinamisma dan kesan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam kurang ditekankan.

Mare Nostrum

Oleh itu, penulis mencadangakan supaya dimasukkan elemen kemanusiaan dan dikembalikan dinamisma dalam sejarah yang dipersembahkan. Ini akan membolehkan kita melihat tamadun manusia pada masa lampau dengan pandangan yang lebih luas dan membolehkan kita melihat kesinambungan dan perkaitan antara sejarah dan manusia serta membolehkan kita belajar dari sejarah. Ini juga boleh memperjelaskan beberapa perkara seperti kedatangan Zaid ibn Ziyad ke Sepanyol kerana dijemput oleh pemerintah di situ dan bukannya untuk merampas tanah dan takhta. Antara lain, ini merupakan hujah bahawasanya Islam tidak disebarkan melalui mata petang. Ini juga boleh menjelaskan mengapa terdapat umat Islam di India, dan membolehkan kita mendapat sedikit kefahaman tentang latarbelakang konflik India-Pakistan. Poin ini juga berkaitan dengan poin seterusnya kerana ISK membayangkan seolah-olah tiada kesinambungan kepada pemerintahan Islam selepas kejatuhan khilafah Turki Uthmaniyah.

Penulis merasakan ini penting kerana umat Islam itu merupakan satu ummah, dan andai tidak difahami mengapa dan bagaimana perkara itu terjadi, maka kita tidak boleh memahami bagaimana untuk memperbaiki keadaan tersebut.

3. Tiada kesinambungan

Sejarah yang dipersembahkan di ISK juga membayangkan ketiadaan kesinambungan selepas kejatuhan khilafah. Sebab yang diberikan kepada penulis ialah ISK hanyalah sebagai pencetus, dan kemudiannya akan disambung dengan program-program seperti Syahadatul Haq dan sebagainya. Namun begitu, pendekatan begini, apabila dicampur dengan graf ISK, boleh memberi gambaran yang salah kepada peserta yang sedang mendengar.
Selepas khilafah? Sifar?

Kejatuhan khilafah sudah tentunya merupakan perkara yang sangat besar yang traumatik kepada umat Islam, tetapi ia tidak bermakna yang tiada penerusan usaha-usaha untuk memperjuangkan Islam di dunia ini. Graf itu tidak dapat menangkap gerakan-gerakan sebegini, terutamanya dalam konteks dunia 'moden' yang baru muncul pada zaman kejatuhan khilafah. Malah, graf itu turun kepada sifar dan ini, pada pendapat penulis, tidak tepat.

Oleh itu, cadangan penulis ialah seharusnya diceritakan sedikit mengenai gerakan-gerakan revivalisme selain gerakan-gerakan subversif yang dilakukan oleh nasionalis yang berlaku pada masa itu. Ini akan memberi peserta idea tentang apa yang terjadi kepada umat Islam selepas itu dan apa usaha-usaha awal yang dilakukan untuk mengembalikan khilafah. Ini juga sebahagian daripada sejarah 'kita', dan penulis agak pelik kerana ianya tidak dimasukkan sekali.

4. Paksi-Y yang tidak jelas

Paksi Y yang digunakan dalam graf ISK itu juga kurang jelas. Perkara ini telah dibangkitkan oleh ramai orang tetapi definisi paksi Y itu sangat penting untuk memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan garisan 'tamadun'. Dalam keadaan kesamaran definisi, interpretasi graf itu boleh dibuat untuk menyesuaikan graf dengan apa sahaja keadaan, dan untuk apa-apa tujuan sahaja. Ia juga kurang jujur dengan keadaan sejarah, pada penulis.

Sejarah bukanlah hitam putih; hal ini diketahui oleh semua orang. Tetapi interpretasi-interpretasi sejarah bukanlah relatif dan sama taraf. Maka, dengan memberikan graf garisan yang hanya mempunyai satu garisan dengan paksi Y yang kurang jelas, ada bahaya yang interpretasi yang kurang tepat diguna pakai. Ketepatan interpretasi selalunya dihakimi dengan bukti yang wujud pada ketika itu. Oleh itu, interpretasi yang digunakan perlulah setepat yang mungkin dan bukannya untuk menyesuaikan interpretasi dengan mana-mana graf.

Definisi paksi Y haruslah jelas

Ini ialah masalah terbesar dengan graf ISK, kerana ia boleh disesuaikan dengan apa-apa sahaja. Ini boleh difahami dari 2 sudut. Pertamanya, kerana adanya modul ISK yang sedemikian, penceramah terpaksa mempersembahkan perkara-perkara yang hanya bersesuaian dengan graf tersebut. Ini tidak dapat tidak memusnahkan objektiviti dalam mempelakari sejarah. Keduanya, dengan ketiadaan paksi Y yang jelas, ia membolehkan pembentang untuk menukar makna garisan yang seharusnya melambangkan tamadun dari satu kerajaan kepada kerajaan yang lain, kerana definisi garisan itu sendiri tidak jelas.

Maka, pada pendapat penulis, jika tidak dijelaskan paksi-Y dalam graf itu, seharusnya diberi 'disclaimer' yang sangat jelas pada permulaan, pengakhiran, dan tiap-tiap kali graf itu dilukis. Namun begitu, pada pendapat penulis, impak yang paling besar daripada graf itu ialah ia dapat memberi gambaran secara visual tentang kebangkitan dan kejatuhan Islam. Masalah dengan graf ini ialah ia memberi gambaran terlalu simplistik terhadap sejarah. Namun, tidak dinafikan bahawa graf itu mempunyai kesan terhadap hati. Tetapi seharusnya kita berhati-hati dengan apa yang kita lakukan dan cuba memperbaiki apa yang kita ada.

5. Diluar konteks sejarah

Kadang kala terdapat beberapa perkara yang dipersembahkan tanpa dipersembahkan dahulu konteks yang perkara itu terjadi. Contoh yang penulis rasakan amat sesuai ialah dinamika empayar Rom Timur, Parsi, dan empayar Islam di Timur Tengah. Seperti yang penulis telah katakan sebelum ini;
"ia seolah-olah membayangkan bahawa Islam muncul didalam vakum, di mana Empayar Rom dan Parsi kedua-duanya telah jatuh dari kegemilangan masing-masing. Realitinya, Empayar Rom Timur melalui fasa-fasa kejatuhan dan pemulihan kuasa sehinggalah tentera Perang Salib ke-4 menguasai kota Constantinople dan kemudiaannya merompak empayar Rom Timur. Semua ini dipengaruhi oleh keadaan politik yang sangat kompleks di Constantinople yang melibatkan jeneral-jeneral tentera, golongan bangsawan, wanita-wanita berpengaruh hatta pelumba-pelumba di Hydrophone sendiri. Interaksi antara kedua tamadun ini langsung tidak diceritakan, dan seolah-olah tidak signifikan kepada sejarah Islam yang mereka bawa. "
Oleh itu, pada pandangan penulis, dengan wujudnya graf yang sedemikan, konteks dimana sejarah ini berlaku hendaklah diterangkan supaya penerima memahami latar belakang sejarah secara lebih lengkap. Namun begitu, perkara ini sangat sukar untuk dibuat dalam sesi yang singkat. Oleh itu, penulis mencadangkan supaya episod-episod sejarah yang terpilih sahaja yang di'highlight' supaya penceritaan itu menjadi lebih fokus dan boleh diterangkan secara panjang lebar. Ini bukan sahaja akan memberi lebih fleksibiliti kepada penceramah, ia juga boleh memberi gambaran kepada peserta yang sejarah itu ialah sejarah manusia dan bukan mekanikal. Kemanusiaan dalam sejarah itu boleh dikembalikan dengan cara ini, pada pendapat penulis.

Penulis merasakan bahawa apa yang penting dalam Ini Sejarah Kita ialah mengembalikan kemanusiaan dalam sejarah, dan perkara ini sangat mudah boleh dibuat. Dan pada pendapat penulis, material dalam laman web Ini Sejarah Kita harus digunakan semaksimum mungkin. Perlu juga ada, pada pandangan penulis, sedikit analisis objektif tentang kebangkitan dan kejatuhan tamadun itu sendiri. Analisis ini penting untuk kita belajar dan mengambil iktibar dari sejarah. Kehebatan tamadun Islam itu tidak dapat dinafikan, tetapi terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan kejatuhan satu-satu kerajaan juga perlu dilihat. Kerana sejarah kita ini ialah sejarah manusia. Dan sebagai manusia, kita juga boleh melakukan kesilapan-kesilapan yang sama seperti mereka.

...Pembaharuan...

Akhir kata, penulis ingin meminta maaf andai apa yang penulis bentangkan dalam blog ini menyakiti hati sesiapa. Bukanlah niat penulis untuk menyakitkan hati sesiapa, dan sebagai manusia, penulis juga melakukan kesilapan. Andai terdapat apa-apa bantahan terhadap apa yang dituliskan disini, bolehlah tuliskan komen dan insyaALLAH akan dibalas. Sekali lagi, penulis meminta maaf atas semua salah dan silap dalam penulisan ini.

Wallahua'lam
 

Sajak oleh Rakan...

Category: , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Penulis ingin berkongsi satu sajak yang ditulis oleh rakan baik penulis, Wan Aimran, untuk sama-sama kita hayati, insyaALLAH.

slouching towards medina

Aku ingin kembara
Mengimbas sejarah
Menelusuri kisah
Cerita yang mengatasi
segala cerita

Ingin ku selami satu persatu peristiwa
ingin ku perah setiap titis pengajaran
Semuanya kerana
Ku ingin bergerak
melangkah ke hadapan

Wadah ini dimulai
dengan sampaian salamku
ke bumi suci Mekah.
Berpaksikan Kaabah
Dipenuhi kasih Rasulullah
Masih ku dengari sayup-sayup
tapak kaki Baginda
Masih ku rasai
kesejatian kesetiaan para sahabat
Masih ku lihat
Lautan manusia mengerumuni
Menyahut seruan
Menyambut panggilan
Maha Pencipta yang tidak
punya sekutu.

Setelah iman dimantapkan
ikatan akidah diyakinkan
hubungan dengan Ilahi dieratkan
kini ku melangkah berhijrah
menjejak kaki di Madinah
Di sini ukhwah dibina
Di sini perselisihan diratakan
Di sini kekukuhan dilahirkan
Kepercayaan yang telah sekian lama
dicetus di dalam hati
Dikumpul, diusap dan dibentuk
hingga menjadi gagasan
umat Islam yang murni lagi terpuji.
Di sinilah tujuan dan matlamat dipaku
Di sinilah harapan dan cita-cita ditambat
Dan di sinilah
cahaya keIslaman mula dinyalakan
bara keImanan mula disemarakkan.

Persaudaraan yang telah disempurnakan
kemudiannya
memfokus azam membakar semangat
Islam mengorak langkah
melampaui batas sempadan

Ke barat
Amar Al-As merisik Mesir
lalu membawa khabar gembira
ke bandar Cairo.

Manakala ke timur
Khalid Al-Walid menundukkan Parsi
menyerap dan mengasimilasi
ilmu ketamadunan bangsa terdahulu.

Di utara pula
Umar Al-Khattab disambut Jerusalem
Lantas membuka pintu rahmat
ke tanah keramat para anbia’
Tempat agung bagi semua
yang bergurukan Nabi Ibrahim.

Akhirnya
apa yang bermula
di ceruk pedalaman Tanah Arab
telah berjaya memayungi
serata pelusuk dunia
Empayar demi empayar dibina
Di Damascus yang bersejarah
Di Baghdad yang bergemerlapan
Di Cordoba yang bertenaga
Di Isfahan yang berpendirian
Di Istanbul yang berkekalan.

Kesemuanya tunduk
kepada yang telah dibina
di kota Madinah
Setiap satu melaungkan bahawa
merekalah yang abadi!
merekalah yang unggul!
merekalah yang pasti!
merekalah yang tulen!

Sehingga kini
jerit teriak masih kedengaran
dari Kota Bharu ke Putrajaya
dari Turki ke Indonesia
malahan
London, Paris, Washington juga
ingin turut serta!
Masing-masing menyoal dan dipersoal
Setiap satu mengakui dan menyalahi
“Islamku lebih benar, lebih bagus dari Islammu!”

Ketauhidan yang dijulang
Hanya sekadar tempelan di hati
dan tidak disusuli
oleh tindak tanduk amal
Keadilan yang diwar-warkan
Hanya sekadar membasahi bibir
dan tidak disertai
oleh keberanian berakal
Kesejagatan ummah yang dikagumi
Hanya sekadar dipegang
asal kepentingan diri terpelihara

Islam yang seharusnya
universal, lengkap, terus-menerus
kini
banyak bersyarat
kerap berkonflik
pantang bersatu
liat bertindak.

Dimanakah pincangnya?
Kekalutan apakah yang menjangkiti?
Keserabutan apakah yang perlu diatasi?
Kezaliman apakah yang harus ditangani?
Kehilangan apakah yang cuba dikembali?

Adakah ia mengidami pemimpin yang maksum dan agung?
Adakah ia mengharapkan kesamaan pendapat dan mazhab?
Adakah ia mengingini panduan ulama yang tradisional namun liberal?
Adakah ia menanti kembalinya Imam Mahdi di akhir zaman?

Sesungguhnya
aku hanya musafir lalu
Sekadar ingin meneroka
sejarah kebangkitan jatuh bangun umat ini
Telah ku perhati
bagaimana sinar Islam
dan pelita Iman di hati umat ini
ditransformasi
dimanifestasi
menjadi kekuatan dan kebijaksanaan
yang kesannya melangkaui
batas dunia yang fana ini.

Ku yakin bahawa umat ini
akan kelak dapat merasai sekali lagi
nikmat dan kemanisan mengabdikan diri
kepada Yang Esa
Sejarah bakal menjadi peta mereka
Berkompaskan keImanan
dan Islam sebagai tongkat sandaran.
Ku fikir arah tujunya
sudah tersedia
Apa yang ku tunggu
hanyalah
kesediaan para ulama
keberanian para pemimpin
dan ketaatan ummah
untuk
menongkah arus mengganjak paradigma
menerajui reformasi Islam!

-wanaimran-

The good old days - jzkk Adam Tan & Shakirin

Penulis (kanan) dan Wan Aimran (kiri)

Wallahua'lam

P/S: Tips untuk belajar : link

Sumber: http://wanaimran.wordpress.com/2008/07/03/slouching-towards-medina/

 

Ini Sejarah Kita : Bahagian 1 - Permasalahan

Category: , , , By imakubex
Disclaimer: Tejuk diubah kerana dirasakan tidak sesuai

Bismillahirrahmanirrahim,

Setelah lama mendiamkan diri, akhirnya penulis mengangkat pena sekali lagi untuk menyebut tentang sesuatu yang telah lama difikirkan, cuma tidak pernah ditulis. Penulisan ini lebih kepada luahan rasa kecewa penulis yang merasa diri tertipu oleh kawan-kawan penulis.

Gambar hiasan

Seringkali penulis mendengar ungkapan-ungkapan seperti "niat dia baik" atau "mereka tidak berniat jahat" diperkatakan oleh orang kebanyakan dalam melihat tindakan seseorang atau sesuatu kumpulan, terutamanya mereka yang membuat perkara-perkara Islam. Walaupun kadangkala tindakan-tindakan ini memberi hasil yang kurang baik ataupun menggunakan cara yang kurang sesuai, kita selalu melihat golongan ini sebagai tidak bersalah dan seharusnya diberi peluang. Namun begitu, seringkali penulis terfikir, apakah tindakan seperti in boleh dijustifikasi? Andai kita mengatakan bahawa para orientalis tidak adil kepada sejarah Islam kerana mengambil bahagian-bahagian yang buruk tentang Islam, mengapa kita tidak katakan yang ianya juga tidak adil apabila kita mengambil bahagian-bahagian yang menepati dengan agenda kita sahaja? Adakah dengan niat kita yang baik sahaja kita boleh berbuat demikian?

Apa yang penulis maksudkan ialah program seperti program Ini Sejarah Kita (ISK) yang dianjurkan, antara lain, oleh Majlis Syura Muslimum di UK. Penulis diberitahu bahawa terdapat jemaah-jemaah lain di Malaysia yang menggunakan modul yang sama sebagai medium da'wah, dan penulis sendiri pernah menghadiri program ini sebanyak 2 kali, sekali di Southampton dan kemudiannya di London. Selepas setahun berfikir dan membaca, penulis mendapati bahawa walaupun niat penganjur program adalah baik, program itu memutarbelit sejarah dan memberi gambaran yang salah terhadap sejarah Islam. Contohnya, dalam graf ISK itu ada dinyatakan tentang kehebatan dan kegemilangan Khilafah Abbasiyah yang jatuh selepas kejatuhan Baghdad ke tangan Monggol, tetapi tidak mengambil kira keadaan Khilafah Abbasiyah yang hanya mempunyai kuasa pada nama, dan bagaimana pada ketika itu telah mula muncul kerajaan-kerajaan kecil yang mempunyai autonomi dan hanya memberi "lip service" kepada Khalifah di Baghdad. Ia juga tidak mengambil kira ketamadunan Islam di Sepanyol yang mempunyai struktur politik yang kompleks, dan bagaimana interaksi antara tamadun Islam dan tamadun Eropah memperkayakan kedua-dua tamadun ini.

Graph ISK

Apa yang paling mengecewakan ialah ia seolah-olah membayangkan bahawa Islam muncul didalam vakum, di mana Empayar Rom dan Parsi kedua-duanya telah jatuh dari kegemilangan masing-masing. Realitinya, Empayar Rom Timur melalui fasa-fasa kejatuhan dan pemulihan kuasa sehinggalah tentera Perang Salib ke-4 menguasai kota Constantinople dan kemudiaannya merompak empayar Rom Timur. Semua ini dipengaruhi oleh keadaan politik yang sangat kompleks di Constantinople yang melibatkan jeneral-jeneral tentera, golongan bangsawan, wanita-wanita berpengaruh hatta pelumba-pelumba di Hydrophone sendiri. Interaksi antara kedua tamadun ini langsung tidak diceritakan, dan seolah-olah tidak signifikan kepada sejarah Islam yang mereka bawa. Politik dalaman dalam kerajaan Islam juga tidak diceritakan, bagaimana hubungan simbiosis pemerintah dan golongan ulama' menyebabkan ramai ulama' diseksa kerana menentang status quo. Tidak juga disebut mengenai gerakan-gerakan dalam Islam yang melihat diri mereka sebagai pembaharu kepada Islam itu sendiri yang mahu membawa apa yang mereka lihat sebagai Islam yang sebenar melalui jalan peperangan (baca: Almoravid). Tiada langsung sifat kemanusiaan dalam sejarah itu, hanya satu graf yang naik, kemudiannya menurun selepas kejatuhan Baghdad. Semuanya mekanikal.

Old Baghdad : Gambar hiasan

Peserta kemudiannya ditarik kepada persoalan apa yang mereka harus lakukan untuk mengembalikan kegemilangan Islam dan mengembalikan khilafah. Niat yang mulia, tetapi persoalannya, dengan melakukan begitu dengan berlatarbelakangkan sejarah yang hitam putih tanpa kemanusiaan, adakah ia adil? Adilkah kita untuk menarik peserta berfikir tentang Islam setelah memberi gambaran sejarah yang dimanipulasi? Perlu diingat bahawa khilafah itu merupakan entiti politik, maka, andai kita mahu mengembalikan khilafah, perlukah kita terjun kedalam politik? Ataupun kita harus memberontak terhadap kerajaan yang menggunakan undang-undang "sekular" ini?

Jawapan mereka sudah tentulah tidak. Kita harus fokus kepada tarbiyah dahulu. Model yang dibentangkan ialah kita memperbaiki diri, kemudian keluarga, kemudian masyarakat, kemudian negara dan akhirnya dunia. Persoalannya, adakah ianya sebegitu mudah? Dengan berlatarbelakangkan sejarah yang hitam putih, bolehkah kita berbuat demikian? Adakah tarbiyah diri itu bermakna memencilkan diri dari politik? Apakah dengan tarbiyah tandanya kita mendekatkan diri kepada ALLAH semata-mata? Adakah belajar itu bukan sebahagian daripada tarbiyah? Jika ya, maka ilmu apakah yang tergolong dalam tarbiyah ini dan mengapa? Bagaimana kita mengukur yang kita cukup tarbiyah? Sekali lagi, dengan memberi latar belakang sejarah yang hitam putih, bolehkan kita menggarap kompleksiti apa yang cuba dicapai? Adakah adil semua ini diperkatakan dengan cara sebegini?

Hulagu Khan di Baghdad

Jawapan yang penulis terima ialah ISK ini hanyalah pencetus; satu alat untuk menyedarkan masyarakat. Persoalan penulis, alat ialah sesuatu yang digunakan. Maka, siapakah penggunanya, dan mengapakah ianya digunakan? Dan andai alat yang digunakan ini mempunyai masalah pada asasnya, patutkah kita menggunakannya tanpa mengubahnya? Andai ianya merupakan suatu pencetus, maka ia mencetus apa? Pencetus terhadap semangat membangkitkan umat Islam? Semangat apa yang dikatakan disini? Bangkit yang bagaimana? Dari jatuh yang bagaimana? Jatuh dari konteks bagaimana? Adakah pernah berlaku sebelum itu? Dan apa yang orang terdahulu lakukan, dan apa yang kemudiaannya berlaku? Semua ini langsung tidak disentuh. Model yang diberi untuk kebangkitan itu seolah-olah menunjukkan yang tarbiyah diri dan masyarakat dan politik tidak boleh dijalankan serentak. Sejauh manakah kebenaran ini?

Jika di Turki, contohnya, Muslim tidak berjuang dalam medan politik dan masyarakat untuk membolehkan pemakaian tudung dan hanya mentarbiyah diri, bolehkan wanita Turki mendapat kembali hak mereka? Andai model yang diberi itu hanya sebagai 'guideline' untuk kita, maka perlukah ia dalam bentuk diri >> keluarga >> masyarakat >> etc? Andai kita boleh lakukan semuanya serentak, maka tidakkah model itu menjadi tidak releven?

Sebahagian daripada pendokong idea ini mengatakan bahawa itu ialah apa yang dibawa oleh Rasul kita Muhammad s.a.w. Masalahnya, Rasulullah bergerak dalam keadaan dimana tiada saluran untuk membuat semua ini. Apabila wujud saluran-saluran itu di Madinah, baginda proaktif membuat pembaharuan terhadap masyarakat. Dan tarbiyah juga tidak berhenti di Madinah, tetapi berterusan. Tarbiyah juga terus berterusan hatta di saat tentera Muslim kalah dalam perang Uhud. Andai kita perlu perbaiki diri dahulu sebelum terjun kepada masyarakat, maka Salman Al Farisi tidak perlu terjun ke bidang peperangan. Dan orang musyrik yang masuk Islam di Madinah tidak perlu menyumbang kepada Islam, hanya memperbaiki diri sahaja.

Ukhuwah fillah : Gambar hiasan

Maka, kita perlu melihat kepada keperluan, tempat dan keadaan semasa untuk bertindak. Kita tidak seharusnya bertindak atas dasar 'melihat dengan hati' semata-mata dengan menutup 'akal'. Dan kita juga perlu mengkaji tindakan-tindakan kita sebelum. Menggunakan 'hati' tidak bermakna menutup 'akal', dan menggunakan 'akal' tidak bermakna mengendahkan 'hati'. Kedua-dua ini berkait rapat antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, manipulasi sejarah atas dasar 'melihat dengan hati', pada penulis, adalah sesuatu yang salah.

Wallahua'lam
 

Antara Dua Keadilan

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Termenung penulis seketika ketika memikirkan permasalahan di bumi ALLAH ini, dan memikirkan betapa peliknya keadaan zaman ini. Antara dua keadilan, sepatutnya tiada kompromi; keduanya harus ditegakkan. Tetapi mengapa hanya satu sahaja yang diperjuangkan, sedangkan yang kedua lebih hampir dan mudah untuk diperbetulkan?

Apa yang dimaksudkan penulis ialah antara ketidakadilan yang berlaku di Malaysia, dan yang berlaku di Palestin. Pelik, pada pandangan penulis, bagaimana rakan-rakan penulis yang bersemangat untuk memperjuangkan Islam, seolah-olah tidak kisah akan ketidakadilan yang berlaku di tanah air sendiri, tetapi sibuk melaungkan perjuangan Muslim di Palestin.

Bukanlah hendak dikatakan bahawa Palestin itu tidak penting; jauh sekali, tetapi apakah dengan memperjuangkan hak rakyat Palestin kita harus melupakan hak penduduk yang duduk di negara yang mempunyai majoriti Muslim?

Contohnya, dalam peristiwa Grand Saga, dimana seorang mekanik telah dipukul oleh polis dengan sebegitu teruk tanpa sebab munasabah, dimanakah orang Islam? Dalam kes Teresa Kok, mengapa begitu lambat respons Muslim, (dengan pengecualian PAS dan beberapa kumpulan lain)? Ada pula kumpulan yang sanggup lagi mempertikaikan kezaliman yang berlaku walaupun telah dibuktikan bahawa beliau tidak bersalah? Dan selepas itu, apa yang Muslim secara kolektif lakukan? Dalam kes masyarakat pribumi di Semenanjung dan di Sabah dan Sarawak, apakah kita tidak merasakan bahawa itu satu perkara yang kita patut tangani atas dasar Islam kita, dan bukan atas dasar kaum? Jika begitu, mengapa tidak ramai Muslim Melayu yang membicarakannya?

Kita begitu lantang menentang penjajahan Israel di Palestin, begitu bersemangat berkumpul menentang dan memboikot produk-produk yang menyokong Israel, tetapi apabila kezaliman dilakukan oleh Muslim di negara sendiri, dimanakah kita?

Maka persoalannya, adakah kita membantu atas dasar yang seseorang itu Muslim, atau atas dasar Islamnya kita.

Apakah Rasulullah hanya membantu orang Islam dan tidak mengendahkan orang bukan Islam?

Jika tidak, maka mengapa kita memandang enteng perkara-perkara kezaliman yang tidak melibatkan orang Islam, dan mempunyai fikiran bahawa 'ia bukan hal aku. ahli politik mereka boleh selesaikan'. Adakah itu yang Islam mahukan?

Mungkin ada silapnya dalam penulisan ini; penulis membuat generalisasi yang terlalu banyak. Tetapi penulisan ini lebih berupa muhasabah diri. Maka, tepuk dada tanya Iman.

Wallahua'lam
 

'Sensitivity', Paranoia dan Realiti : Antara Kinrara dan Palestin

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Petikan dari Utusan Online:

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Nazir Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Abdul Rahman Nasir mengesahkan pihaknya menerima petisyen bantahan mengenai penggunaan pembesar suara daripada 189 penduduk bukan Islam di kawasan tersebut.

Beliau berkata, petisyen yang diserahkan seorang lelaki itu antaranya menyentuh mengenai penggunaan pembesar suara sewaktu kuliah Subuh, Kuliah Maghrib dan bacaan al-Quran menggunakan kaset dan cakera padat sebelum sembahyang Subuh.

”Memang mereka tidak menyebut mengenai azan tetapi saya percaya petisyen yang dibuat pada Februari lalu ada kaitan dengannya.

”Penulis petisyen itu pandai, dia tidak akan sebut mengenai azan kerana tahu ia lebih sensitif,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini hari ini.

Pada 8 September lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendedahkan wujud usaha pihak tertentu membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara, Selangor.

Abdul Rahman berkata, petisyen tersebut kemudian diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Datuk Satim Diman dan ia tidak dihebahkan ke pengetahuan jemaah masjid bagi mengelakkan wujudnya perasaan tidak puas hati.

Katanya, pihaknya juga mengabaikan desakan dalam petisyen tersebut bagi mengelakkan Masjid Al-Ehsan menjadi bahan uji kaji pihak tertentu.

Sementara itu, beliau mendedahkan seorang pemimpin sebuah parti politik di Selangor telah menghubunginya semalam untuk mengadakan sidang akhbar menjelaskan isu petisyen itu.

Beliau bagaimanapun menolak cadangan tersebut kerana berpendapat isu berkaitan masjid tidak wajar dibincangkan menerusi platform politik.

Telah beberapa hari penulis berfikir dan berbincang mengenai berita ini, dan apa implikasi berita sebegini kepada pemikiran umat bukan Islam terhadap umat Islam, dan bagaimana pemikiran umat Islam yang sebegini boleh dilihat pada skala yang lebih luas.

Gambar hiasan

Satu perkara yang merunsingkan penulis ialah bagaimana nazir itu seolah-olah mengetahui niat kesemua penanda tangan petisyen itu, dengan menyatakan bahawa yang beliau "percaya petisyen yang dibuat pada Februari lalu ada kaitan dengannya" (baca:azan). Beliau menambah bahawa ”Penulis petisyen itu pandai, dia tidak akan sebut mengenai azan kerana tahu ia lebih sensitif”. Pada fikiran penulis, pernyataan ini agak sombong dan sedikit kurang berhati-hati. Haruslah diingat bahawa petisyen itu ditandatangani oleh lebih 100 orang penduduk bukan Islam disekitar masjid tersebut, maka, apa yang ditulis oleh penulis petisyen itu dipersetujui oleh semua penduduk tersebut. Hebat sungguh nazir itu sehingga boleh percaya bahawa semua penanda tangan petisyen itu mempunyai agenda tersembunyi. Apa yang begitu 'pandai' dengan meminta kepada pihak masjid, setelah berbincang dengan pemimpin masyarakat disitu, untuk menurunkan kekuatan pembesar suara yang digunakan? Adakah umat Islam seharusnya bertindak atas perasaan 'saya percaya' ataupun reaksi paranoid yang merasakan bahawa semua umat bukan Islam tidak menyenangi apa yang umat Islam lakukan?

Jika saya menegur kawan saya mengatakan bahawa suara dari pembesar suara di biliknya mengganggu saya belajar, adakah itu salah, walaupun dia memasang ayat suci Al Quran? Azan hanya berlangsung selama 5-7 minit, tetapi ceramah agama boleh mengambil masa selama 30-45 minit. Andai seorang ibu mempunyai anak kecil yang mahu tidur pada ketika itu, tidakkah itu mengganggu ketenteraman umum? Apakah Islam mahu kita mengganggu ketenteraman umum? Apakah yang kita mahu capai dengan memasang pembesar suara dengan kuat? Kemungkinan orang lebih tidak mahu mendengar ceramah agama itu, dan menjauhkan diri dari masjid kerana mengganggu ketenteraman awam dari mendekatkan diri dari masjid.

'Sensitivity' kita terlalu tinggi, dan kita juga seolah-olah paranoid bahawa umat bukan Islam akan merampas segala-galanya dari kita, an kita membiarkan unsur-unsur ini menular kepada persepsi realiti kita.

Tetapi, adakah ini kes terpencil? Bagaimanakah reaksi kita, umat Islam, secara umum terhadap apa yang kita anggap sebagai perkara yang tidak patut dipersoalkan lagi?

Gambar hiasan

Sebagai contoh, andai seorang bukan Islam mempersoalkan mengapa Islam, menurut interpretasi kebanyakan ulama', perlu menghukum mati orang yang murtad, berapa ramai antara kita yang akan berusaha untuk menjelaskan cara berfikir dan membuat hukum dalam Islam, dan seterusnya sedikit tentang perdebatan fekah dalam Islam dan tidak hanya melenting dan mengatakan bahawa ianya memang termaktub dalam hadis, dan perkara itu ialah perkara sensitif yang tidak patut dibincangkan? Andai kita diberitahu bahawa terdapat unsur-unsur sekularisme dan liberalisme dalam ajaran Islam, berapa ramai antara kita yang sanggup untuk mempelajari definisi dan perdebatan ideologi-ideologi ini, dan tidak hanya mengatakan bahawa ianya mustahil, dan Islam itu sudah syumul dan tidak memerlukan semua perdebatan ini?

Mungkin agak sukar untuk melihat pertailan antara apa yang baru dikatakan oleh penulis dengan isu yang dibawa oleh berita tersebut, tetapi apa yang penulis cuba untuk sampaikan, ialah berapa ramai antara kita yang berani untuk mendepani cabaran-cabaran zaman moden, seperti pluralisme agama, dengan tidak mempertahankan 'sensitivity' dan paranoia kita, dan melihat kepada realiti dan keperluan semasa?

Seringkali penulis mendengar di radio, dan membaca di blog-blog bahawa Palestin itu hak milik umat Islam. Persoalannya, adakah ia hak milik mutlak umat Islam? Dan dengan pemikiran paranoid seperti ini, pemikiran yang semua persoalan tentang sebahagian perkara dalam agama tidak boleh dibincangkan kerana ianya sensitif, adakah kita yakin yang kita boleh mentadbir Palestin dan Jurusalem dengan adil? Andai orang Kristian mahu memperbesarkan kawasan Gereja 'The Holy Sepulcre' mereka, berapa ramai yang boleh mengatakan tiada masalah berbuat demikian? Adakah kita akan terus membenarkan orang Yahudi meneruskan ekskavasi dan kajian bawah tanah mereka? Dengan 'mindset' dan 'worldview' umat Islam yang begitu defensif, paranoid dan tidak proaktif, yakinkah kita bahawa kita boleh berlaku adil sedangkan di Malaysia kita tidak adil kepada masyarakat bukan Islam?

Maka, antara Kinrara dan Palestin terdapat 1 pertalian yang menghubungkan keduanya. Dan pada penulis, kita seharusnya mula membuang prejudis yang tidak rasional kita, dan cuba untuk membuka mata dan minda terhadap apa sebenarnya tuntutan Islam kepada umatnya. Kita sibuk berbicara tentang ketidak adilan keatas umat Islam di Palestin, tidak menyedari ketidak adilan yang dilakukan oleh orang Islam kepada orang bukan Islam di Kinrara. Bukanlah kita tidak patut kisah kepada Palestin, tetapi elok juga andai kita bermuhasabah tentang cara kita melihat dunia ini.

Wallahua'lam

 

Ramadhan Dan Kemanusiaan

Category: , By imakubex

Bismillahirrahmanirrahim,


Sedang penulis memandu adiknya ke sebuah sekolah di Batu 10 Cheras, terfikir penulis tentang betapa orang Islam selalu melaung-laungkan kebaikan bulan Ramadhan dan kaitannya dengan kemanusiaan di mimbar-mimbar masjid apabila Ramadhan semakin hampir. Sering kali kita mendengar ustaz-ustaz memberi kuliah di surau-surau bagaimana Ramadhan merupakan suatu bentuk tarbiyah Ilahi yang antara hikmahnya ialah supaya kita dapat merasai kepedihan orang yang tidak mempunyai makanan yang mencukupi, dan supaya kita bersyukur dengan apa yang ada. Namun mari kita muhasabah diri kita dan sekeliling kita. Bukanlah niat penulis disini untuk menyangkah seruan dan laungan tersebut, tetapi sekadar muhasabah kepada kita semua akan sejauh manakah kita, sebagai orang Muslim yang mengaku beriman, benar-benar menjiwai apa yang dilaungkan itu.


Ahlan Wa Sahlan Ramadhan Al Kareem. Picture: BahanTarbiyah.info


Kemanusiaan adalah, pada fikiran penulis, sesuatu yang wujud dalam diri manusia secara azali dan dikongsi oleh makhluk ALLAH yang dinamakan insan. Kita semua suka melihat insan lain gembira, kita ketawa apabila melihat orang lain ketawa dan terkesan hati kita apabila melihat kedukaan yang dialami orang lain. Maka sebagai seorang Islam yang mengakui menyembah Tuhan yang sebenar-benarnya seharusnya kita yang mendahului dalam usaha-usaha kemanusiaan dan memulakan inisiatif untuk membantu insan yang kurang bernasib baik. Persoalan disini ialah sejauh manakah kebenaran kata-kata ini? Dan di luar batasan negara-negara Islam, sejauh manakah bantuan yang kita berikan atas dasar kemanusiaan?


Bukan sahaja diluar batasan negara Islam, bahkan dalam negara Islam pun kadang kala kita terlepas pandang, terutamanya pada insan yang bukan seagama dengan kita. Contohnya, Andai kita melihat rumah-rumah dan sekolah-sekolah di estet-estet milik orang India bukan Islam, adakah kita berasa yang kita patut membantu mereka? Jika kita melihat keluarga orang beragama Buddha berpakaian compang camping, adakah kita merasa kasihan kepada mereka? Atau kita tidak kisah kerana pada diri kita, orang Islam lebih layak dibantu oleh kita?


Dimanakah kemanusiaan kita?


Ingin sekali penulis tegaskan sesuatu disini, prinsip dan tindakan adalah dua perkara yang berbeza, dan tidak seharusnya disekalikan. Secara prinsip, pada pandangan penulis, semua orang patut dibantu tidak kira samada ianya Muslim atau bukan Muslim, tetapi kerana kekangan-kekangan yang ada dan kerana kita manusia, maka kita mungkin tidak dapat membantu semua orang. Tidaklah bermakna jika begitu, kita tidak menanam cita-cita untuk membantu semua orang, cumanya kita perlu bertindak berdasarkan keutamaan (Aulawiyat) dan juga dalam kapasiti kita. Oleh itu, soalan-soalan diatas adalah soalan prinsip, bukan soalan tindakan. Secara prinsipnya, berapa ramai antara kita yang melihat orang bukan Islam di Malaysia yang kurang bernasib baik sebagai golongan yang perlu dibantu? Secara prinsipnya, berapa ramai antara kita yang sanggup melepaskan sebahagian daripada kelebihan yang diberikan kepada kita untuk membantu orang bukan Islam?


Ini mungkin sedikit kontroversi, tetapi apa yang penulis ingin bawakan ialah andai kita percaya pada keadilan sejagat, dan andai kita yakin bahawa kita ialah umat yang terbaik yang diturunkan ke muka bumi, mengapa kita tidak seolah-olah mengendahkan nasib golongan bukan Islam, di bumi dimana majoritinya umat Islam? Lihatlah sejarah di Sepayol, umat Islam walau ditekan hebat oleh pemerintah Krisitan di Utara Sepanyol masih memberi perlindungan dan hak kepada golongan bukan Islam, walaupun mereka golongan Yahudi. Malahan, golongan bukan Islam lebih selesa dalam pemerintahan orang Islam. Lihat pula dunia sekarang. Berapa ramai orang bukan Islam lebih rela duduk di tempat dimana orang bukan Islam berkuasa? Berapa ramai orang Islam sendiri tidak selesa di bumi umat Islam, kerana merasa bahawa keadilan yang dibawa oleh Islam tidak dilaksanakan?


Mungkin disini akan ada orang yang mengatakan bahawa itu salah pemerintah Islam yang tidak mengamalkan Islam yang suci, dan mengambil sistem kuffar yang tidak bertunjangkan ‘aqidah untuk menjalankan pemerintahan, tetapi itu, pada pandangan penulis, merupakan perkara cabang, dan terbuka untuk interpretasi masing-masing. Peliknya dalam hal ini ialah tidak ramai orang Islam yang memahami sistem-sistem dan ideologi-ideologi Barat, dan mengkritiknya seolah-olah ianya tiada langsung dalam Islam. Pada pandangan penulis, sikap begini terlalu angkuh, dan seharusnya dikaji semula. Andai Barat betul-betul jahat, mengapa kita melihat Barat yang lebih banyak memberi bantuan kepada orang Afrika? Mengapa kita lihat Barat yang mendahului dalam usaha-usaha kemanusiaan dimana-mana di dunia?


Tragedi di Myanmar. Foto: AP


Sekali lagi disini terdapat paradoks dalam pemikiran orang Islam. Kita sering menyebut “Ambil yang jernih, buang yang keruh” tetapi apabila menghadapi perkara sebegini, tidak ramai yang akan mengakui kebaikan yang Barat telah buat tanpa mengutuk Barat sekali gus. Selalunya, respon umat Islam ialah “Ya, Barat telah melakukan perkara ini, tetapi jangan lupa bahawa mereka telah lakukan banyak perkara jahat di dunia ini.” Mengapa kita hanya “ambil yang jernih” dan tidak “membuang yang keruh”? Terutamanya dalam usaha kemanusiaan, kita seharusnya muhasabah diri sendiri, dan bandingkan diri kita dengan usaha orang lain.


Kesimpulannya, umat Islam, pada pandangan penulis, terlalu banyak berretorik dari bekerja. Jangankan kata hendak membantu orang miskin di Afrika, hendak memberi sedekah lebih dari RM 5 pun susah. Ramadhan merupaka satu bentuk pentarbiyahan, benar, tetapi harus diingat yang ianya juga satu tempoh muhasabah. Kita tidak seharusnya hanya memikirkan diri kita dan menyempitkan diri kita kepada membantu orang Islam sahaja. Dimana-mana terdapat orang yang kesusahan, maka sebagai Muslim, seharusnya kita membantu atau berniat untuk membantu. Kita selalu mendengar kisah Rasulullah menyuapkan makanan kepada seorang buta Musyrik yang selalu mengeji baginda, tetapi, apa yang kita ambil dari kisah ini? Oleh itu, gunakanlah Ramadhan yang akan datang ini sebagai medan muhasabah kita tentang semua perkara, insyaALLAH.


Wallahua'lam

 

Kepelikan Masa

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Tinta kali ini lebih kepada refleksi diri dan bukannya sesuatu yang lahir dari pemikiran kritikal terhadap dunia. Maka ianya mungkin lebih bersifat rintihan dan kurang bermanfaat kepada pembaca secara am. Oleh kerana penulisan ini tidak bertujuan untuk menerangkan idea-idea yang ditunjukkan secara spesifik, penulis amat mengalu-alukan penambahan atau pembetulan terhadap apa-apa yang ditulis.

Namun begitu, penulis memang telah lama memikirkan masalah masa, dan dengan tambahan ilmu daripada pembacaan penulis dalam bidang Fizik Kuantum, kepelikan masa hanya bertambah. Ingin sekali penulis berkongsi sedikit kepelikan masa dalam dunia kuantum menurut gambarajah Feynman. Menurut saintis, jika kita menggunakan gambarajah Feynman, kita boleh mendapati yang zarah yang bergerak menentang masa (dari masa sekarang ke masa lampau) boleh disamakan dengan anti zarah yang bergerak selari dengan "anak panah" masa. Masa yang mempunyai "anak panah" sesuatu yang pelik dalam bidang Fizik, kerana kebanyakan dan hampir kesemua hukum yang dijumpai menunjukkan kesimetrian masa, tetapi ianya tidak pernah mengalir dari masa hadapan ke masa lampau. Pelik, bukan? Mengapa simetri alam semesta yang sungguh hebat ini tidak dipatuhi masa? Atau adakah terdapat sesuatu yang kita tidak ketahui?

Masa yang pelik

Jika kita melihat eksperimen-eksperimen seperti dwi celah Young, Pemadam Kuantum dan Pilihan Lambat Wheeler (mungkin salah, dalam Bahasa Inggeris, Wheeler's Delayed Choice experiment), kepelikan masa bertambah-tambah. Andai eksperimen minda EPR menunjukkan seperti ada "spacial non-locality", eksperimen-eksperimen diatas seolah-seolah menunjukkan kemungkinan adanya "temporal
non-locality". Antara teori yang dikemukan oleh Feynman ialah 1 keputusan dari persamaan Maxwell yang menunjukkan bahawa "wave solution" yang terhasil boleh bergerak mengikut (retarded waves) dan menentang (advanced wave) aliran masa. Dan kerana teori Maxwell itu telah dibuktikan
boleh dipakai, maka keputusan ini hendaklah diambil sebagai 1 solusi yang mungkin berlaku.

Visualisasi idea Feynman (Copyright www.npl.washington.edu)

Apakah maknanya itu?

Maknanya, kewujudan sesuatu itu tidak semestinya lokal, iaitu berada di satu tempat dan masa secara spesifik, pada setiap masa dan tempat. Pelik, bukan?

Namun apa yang penulis ingin bawa disini bukanlah idea-idea Fizik yang abstrak, tetapi bagaimana peliknya dunia yang kita duduki ini. Mungkin kita memerlukan revolusi dalam cara kita berfikir tentang alam untuk memahami segalanya. Namun kebarangkalian kita selamanya tidak akan memahami alam semesta ini secara keseluruhannya. Terdapat satu ungkapan yang suka penulis kongsikan disini, yang mungkin agak pelik difikirkan kerana ianya datang dari salah seorang ahli Fizik terkemuka. Mungkin ungkapan ini menunjukkan betapa peliknya dunia ini sehinggakan seolah-olah kita tidak dapat memahaminya. Ianya berbunyi:

"Shut up and calculate. It is sheer arrogance that the rules should make sense"

Wallahua'lam

Rujukan:
[i] Nonlocality with Time Reversibility

[ii] Wikipedia
[iii] Fabric of the Cosmos, Brian Green
 

Dimanakah kita? Kemanakah kita?

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Di dalam kehangatan membaca, berfikir dan bersembang dengan rakan-rakan Muslim dari Malaysia tentang isu-isu berkaitan dengan Islam dan masa hadapan Islam dan Muslim, penulis agak tersentak apabila penulis menyedari bagaimana realiti budaya masyarakat Muslim, terutamanya di Malaysia.

Apa yang
penulis maksudkan ialah sikap yang melihat dan membaca sejarah tanpa mempunyai keupayaan untuk menganalisa dan mengkaji sejarah secara objektif. Mungkin ada orang yang akan mengkritik penulis kerana mengatakan ini, dan mengatakan yang kita sepatutnya berbangga dengan warisan Islam yang telah ditinggalkan kepada kita, tapi apa yang penulis risaukan ialah kita melihat sejarah dengan kacamata yang berat sebelah. Kita melihat keagungan Islam di masa lampau sebagai usaha Muslim 100% dengan bantuan ALLAH s.w.t. dan tidak menghiraukan bahagian sejarah yang menunjukkan betapa Muslim pada masa itu sangat terbuka, tidak menolak sebarang idea dan merupakan manusia yang sama terpengaruh dengan keadaan semasa.

Sebelum
penulis meneruskan penulisannya ini, elok rasanya untuk penulis melakarkan senario yang ada masa kini pada pandangannya, dengan harapan supaya pembaca boleh memahami apa yang cuba disampaikan.

Lewat kurun ke 19 dan awal kurun ke 20 menyaksikan kebangkitan kuasa Barat, dan kelemahan serta kejatuhan Khilafah Islamiyah di Turki. Sepertimana kuasa-kuasa lain di dunia, kuasa-kuasa Barat mula meluaskan kuasa dan menjajah kawasan-kawasan di sekeliling dunia untuk menjaga kepentingan mereka dan rakyat mereka. Oleh kerana empayar Muslim pada masa itu sangat luas dan juga disebabkan kedudukan strategik tanah-tanah yang ditadbir oleh Muslim, kuasa-kuasa Barat ini menumpukan perhatian kepada tanah-tanah yang diduduli oleh masyarakat orang Islam. Pada awalnya kerajaan Islam agak terbuka dengan idea-idea yang datang dari Barat. Namun, dasar perluasan kuasa yang diamalkan oleh kuasa-kuasa Eropah menyebabkan Muslim menjadi defensif. Masyarakat Muslim di zaman ini melihat kedatangan dan kolonisasi Barat di zaman ini, dengan idea-idea liberalisasi dan sekularisme yang dibawa sebagai satu ancaman langsung kepada agama Islam.
Dan oleh kerana keadaan kerajaan Turki Uthmaniah yang lemah pada masa itu, banyak tanah yang majoriti penduduknya Muslim dijajah oleh kuasa-kuasa Barat ini.

Ini semua ditulis dalam buku-buku sejarah, dan
penulis yakin ramai antara kita tahu peristiwa-peristiwa yang menyusul, yang akhirnya membentuk dunia sebagaimana yang kita ketahuinya hari ini.

Apa yang
penulis ingin utarakan ialah kesannya kepada umat Islam pada hari ini, yang sepatutnya mempunyai paradigma yang berlainan dari Muslim yang ada pada zaman kejatuhan tersebut.

Hasil kolonisasi Barat, bangkit gerakan-gerakan Islam yang berusaha untuk menaikkan kembali Islam di muka bumi, dan kita dapat lihat kumpulan-kumpulan ini di dalam masyarakat.

Secara peribadi,
penulis sangat mengagumi pejuang-pejuang agama ALLAH ini, tapi selepas lebih kurang 100 tahun selepas kejatuhan khilafah, kita mesti bertanya kepada diri sendiri, sejauh manakah keberkesanan perjuangan ini dalam menaikkan martabat Islam dan Muslim di seluruh dunia?

Kita sering mendengar daie-daie menceritakan kehebatan dan keagungan tamadun Islam lampau, dan bagaimana Muslim berperanan sebagai 'Ustazatul 'alam'; menjaga dan mentadbir dunia ALLAH menurut hukum-hukum dan kehendakNya. Kita sering mendengar mereka bercerita dalam nada yang nostalgik dan mahukan zaman itu berulang kerana melihatkan kelemahan umat Islam pada zaman ini, dan mendengar kondemnasi terhadap apa yang Barat telah bawakan. Kutukan demi kutukan dibuat terhadap dasar-dasar sekularisasi dan capitalis Barat, dan bagaimana Barat telah merosakkan dunia ini dengan ideologi-ideologi mereka.

Namun begitu, kita jarang mendengar cerita tentang betapa terbukanya umat Islam di zaman lampau dengan idea-idea baru, walaupun setengah-setengahnya dianggap tidak sesuai dengan Islam. kita jarang sekali mendengar ustaz-ustaz bercerita tentang betapa dahulu kita juga mengambil contoh dari Rom Timur dalam urusan-urusan kerajaan, dan bagaimana amir-amir Islam dahulu sanggup untuk mendengar syarahan daripada paderi-paderi Kristian. Tidak selalu kita mendengar pertukaran ilmu antara empayar-empayar hebat yang wujud, bagaimana Khalifah menghantar gajah sebagai hadiah kepada Charlemagne, bagaimana amir-amir menghantar artisan-artisan Muslim kepada kerajaan buan Islam, dan bagaimana kerajaan Islam mengambil birokrasi kerajaan Rom Timur. Jarang, secara ringkas, kita mendengar cerita-cerita yang membayangkan keyakinan umat Islam di masa lampau dengan Islam, 'aqidah dan ideologi yang mereka ada.

Kita juga jarang sekali mendengar cerita-cerita masyarakat Islam dahulu kala. Bagaimana manusia yang bukan Islam dilayan seperti warganegara kelas kedua, bagaimana pertelingkahan berebutkan kuasa antara amir-amir yang ada, bagaimana dinasti Abbasid bermula dengan pengkhianatan dan pembunuhan beramai-ramai, bagaimana pernah segelintir umat Islam bertindak seperti perompak dan penyamun. Semua ini tidak diceritakan, yang diceritakan hanya kegemilngan. Tiada juga pendedahan dan kajian objektif yang dibuat tentang kelemahan dan kekuatan sistem beraja yang ada, walau ada antara orientalis boleh mengatakan bahawa ada terdapat unsur-unsur sekuralisma dalam pentadbiran Islam zaman dahulu kala.

Adilkah kita dalam membuat penilaian terhadap sejarah seperti ini? Apabila orientalis membuat kajian terhadap sejarah Islam dan berjumpa dengan elemen-elemen tidak menyenangkan, kita menuduh mereka anti Islam, walhal memang pun begitu kejadiannya. Sebagai Muslim, tanggungjawab kita bukanlah mempertahankan sejarah kita, tetapi menyatakan yang benar. Janganlah kita melabel orang sebagai anti Islam apabila kita sendiri tidak pernah mengkaji sejarah secara objektif. Ramaikah antara kita yang mengetahui mengenai Manzikert? Tentang Poitiers? Tentang Cordoba? Tentang Hattin? Jika ya, adakah kita melihat keadaan sosio-politik masyarakat pada ketika itu secara keseluruhan? Berapa ramai antara kita yang melihat Salehuddin Al-Ayubi sebagai seorang manusia, bukan lagenda? Kelemahan dan kekuatan beliau? Bukanlah beliau bukan seorang yang tidak hebat, tetapi mengapa beliau membuat perkara-perkara yang beliau buat dan dalam keadaan yang bagaimana.

Oleh itu, persoalan dimanakah kita dan kemanakah kita merupakan satu persoalan yang releven sekarang, kerana kita perlu sentiasa bermuhasabah apakah perkara yang kita buat ini telah mengambil kira sebanyak mana yang boleh, dan sejauh manakah tindakan kita berjaya dalam memajukan apa yang kita perjuangkan. Mungkin kita perlu mengkaji teori-teori hari ini, mengkaji sejarah dan teori-teori Islam masa lampau dan mencari jalan tengah antara keduanya, untuk menjadikan satu idea itu realistik dan berkesan di zaman ini.

Wallahua'lam

p/s: JZKK kepada Wan Aimran kerana membetulkan penulis