Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Isu Perak: Balasan Kepada Komen Cikgu Eya

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Penulisan kali ini ialah untuk memberi balasan kepada perkara yang dibangkitkan oleh Cikgu Eya dalam artikel yang lepas. Ada beberapa perkara yang ingin disentuh disni.

1. Konsep falsafah politik

Penulis lebih berminat untuk memberi penjelasan terhadap beberapa konsep dalam falsafah politik demokrasi daripada apa yang penulis tahu. Isu yang Cikgu Eya utarakan adalah berkenaan "legality" perbuatan melompat parti yang diutarakan. Itu akan disentuh kemudian dalam "entry" ini.

Falsafah politik

Apa yang cuba dibawakan oleh penulis ialah kita seharusnya sedar bahawa keputusan moral (moral judgement) yang dibuat tidak seharusnya dicampur aduk dengan keputusan undang-undang (legal judgement). Ini adalah kerana, untuk sesuatu pentadbiran untuk berjalan dengan lancar, pilihanraya tidak boleh diadakan dengan terlalu kerap atau terlalu jarang. Jika ianya terlalu kerap, maka situasi politik dalam negara tersebut akan menjadi tidak stabil dan wakil-wakil rakyat tidak akan dapat menjalankan tugas dengan baik. Jika ianya terlalu jarang, ada kemungkinan dimana wakil rakyat tidak akan mewakili rakyat kerana beliau tahu bahawa kedudukan beliau tidak akan dicabar untuk masa yang lama.

Oleh itu, tempoh masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya ialah sekali dalam tempoh 5 tahun, dan kebanyakan demokrasi liberal menggunakan tempoh ini. Harus diingat bahawa apabila seseorang wakil rakyat itu dipilih, kedudukan beliau disokong oleh undang-undang dan oleh itu, kita harus melihat kepada prosedur undang-undang untuk memecat beliau.

Perkara yang Cikgu Eya bangkitkan ialah berkenaan proses undang-undang ini, dan bukannya semangat dan falsafah disebalik "legitimacy" proses demokrasi. Ini tidak disentuh secara spesifik dalam "entry" yang lepas kerana penulis memberi lebih fokus kepada konsep-konsep dalam falsafah politik.

2. Isu SPR dan Speaker Dewan

Daripada apa yang penulis tahu, surat yang diberi kepada Speaker Dewan yang bertarikh 30 Januari itu tiada "binding clause" yang penting untuk mengesahkan surat tersebut. Ini bermakna yang surat perletakan jawatan tersebut boleh dicabar di mahkamah dan SPR boleh menidakkan permintaan speaker tersebut. Ini nampak seperti tidak adil, tetapi dari sudut undang-undang (penulis tidak pakar dalam hal ini, tetapi penulis belajar perkara ini dari kawan penulis yang belajar undang-undang), jika apa-apa surat ditandatangani dibawah paksaan mana-mana pihak, maka surat itu tidak sah. Ini ialah alasan yang digunakan untuk mencabar surat itu dalam mahkamah. Dan setahu penulis, selagi mahkamah tidak membuktikan bahawa surat ini sah, maka kedua YB ini boleh mengekalkan jawatan mereka.

Jata negeri Perak

Oleh itu, daripada semua perkara yang terjadi - termasuk isu Sultan Perak melantik Menteri Besar yang baru - mengalihkan medan pertempuran daripada Dewan Undangan Negeri kepada mahkamah. Samada ini bermoral atau tidak, itu isu lain. Dari segi teknikal undang-undangnya, rakyat belum mempunyai peruntukan undang-undang untuk memaksa SPR mengadakan pilihanraya baru selagi tiada keputusan mahkamah.

3. Institusi Demokrasi dan autonomi

Ingin disebut disini bahawa isu lompat parti ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia untuk mengukuhkan institusi demokrasi. Seharusnya, rakyat seharusnya memilih wakil yang dirasakan boleh menjaga kebajikan mereka, dan tidak seharusnya mengundi mengikut parti sahaja. Kita selalu berbicara seolah-olah institusi demokrasi di negara kita sudah mapan, walhal realitinya tidak.

Mari kita mengkaji apa implikasi melompat parti dari sudut falsafah politik. Sesebuah parti politik selalunya dianggotai oleh ahli yang mempunyai falsafah politik yang serupa. Contohnya, di United Kingdom, secara tradisionalnya, mereka yang menyokong pendekatan "leftist" yang percaya kepada lebih banyak campur tangan kerajaan dalam ekonomi akan lebih cenderung kepada parti Labour, manakala mereka yang lebih percaya kepada pendekatan pasaran bebas ("free market") akan selalunya lebih cenderung kepada parti Conservative. Sekarang, perbezaan antara kedua parti ini semakin kabur, tetapi sentimen yang sama masih wujud.

Gambar hiasan

Jadi, jika seorang wakil rakyat "melompat" parti, apakah implikasinya? Jika kita mengandaikan bahawa ahli parti menganggotai sesebuah parti atas dasar ideologi dan tidak ada unsur kepentingan peribadi, terdapat 2 inferens yang penulis dapat lakarkan:

i) Wakil rakyat tersebut telah bertukar falsafah politik. Jika kita melihat dari segi "conceptual", penukaran falsafah politik seseorang yang menganggotai sesebuah parti politik sehingga terpilih untuk menjadi wakil parti tersebut dalam pilihanraya merupakan sesuatu yang sangat signifikan. Ini bermakna beliau telah mengubah kepercayaan asas beliau tentang politik dan ekonomi. Ia seolah-olah seorang menukar kepercayaan daripada "terdapat kebenaran yang mutlak" kepada "semua kebenaran adalah relatif".

ii) Perpecahan dalam parti. Terdapat perpecahan yang siginifikan dalam parti tersebut sehingga wakil rakyat yang terbabit tidak lagi percaya kepada polisi-polisi dan dasar-dasar parti tersebut. Dalam hal ini, parti tersebut seharusnya bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Secara peribadi, penulis tidak merasakan bahawa mereka yang melompat parti melompat atas inferens yang diletakkan diatas. Terdapat 3 implikasi daripada hal ini:

i) Bukan semua orang menganggotai parti politik atas dasar ideologi parti tersebut
- Ini mungkin disebabkan oleh anggota parti tersebut hanya mahu mendapat sesuatiu dengan menganggotai parti politik tersebut dan tidak begitu percaya kepada perjuangan parti tersebut. Hal ini sangat berbahaya kepada demokrasi kerana ia boleh menyebabkan pihak yang terbabit untuk pergi ke parti yang memberi keuntungan terbesar kepada mereka

ii) Parti yang terlibat mempunyai falsafah politik yang serupa
- Jika hal ini berlaku, ia bermakna institusi pemerintahan dan demokrasi dalam negara tersebut menghadapi masalah, kerana sangat pelik untuk 2 parti yang memperjuangkan perkara yang sama berada dalam kem yang berbeza. Ini merupakan petanda bahawa isu-isu fundamental dalam institusi demokrasi berada dalam keadaan yang meragukan.

iii) Pihak yang terbabit melompat atas sebab atau kepentingan peribadi
- Terang-terangan salah. Mungkin ada unsur ugutan yang tidak diketahui.

Negaraku...

Apa yang sebenarnya terjadi, wallahua'lam. Penulis memberi kebebasan kepada pembaca untuk menilai sendiri apa yang berlaku.

4. "Legitimacy", sekali lagi

Seperti yang penulis katakan dalam artikel yang lepas,
terdapat beberapa elemen yang memungkinkan seseorang calon dipilih sebagai wakil rakyat:

1. Karisma dan personaliti calon
2. Tiket parti yang diwakili
3. Kelemahan calon lawan
4. Gabungan 1, 2, 3

Dalam kes ADUN yang melompat parti ini, penulis merasakan bahawa elemen kedua adalah elemen yang paling dominan dalam menentuan pemilihan wakil rakyat. Oleh itu, institusi demokrasi sekali lagi kurang mapan, kerana jika tiket parti yang paling penting, sesiapa pun boleh menjadi wakil rakyat selagi beliau menyokong parti yang betul dan bertanding di tempat yang betul. Maka, "
legitimacy" yang diperolehi oleh wakil rakyat tersebut adalah atas dasar parti, tetapi undang-undang berfungsi untuk menjaga hak individu wakil rakyat tersebut. Sekali lagi, penulis merasakan bahawa institusi demokrasi di Malaysia tidak mapan dan perlu diperbaiki.

Secara mudah, kita perlu menuju kearah "politik idea dan ideologi" dan bukannya "politik personaliti dan parti".

Wallahua'lam
 

Perak: Penjelasan Konsep dan Penilaian Objektif

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Dengan keadaan politik di Perak, penulis merasakan wajar untuk kita kembali kepada 2 konsep asal dalam sistem demokrasi untuk kita menilai isu ini. Konsep yang penulis ingin ketengahkan disini ialah "legitimacy" atau "hak kekuasaan" dan "legality" atau "kesahan". Penulis sendiri tidak begitu arif dalam perbincangan falsafah politik mengenai kedua-dua konsep ini, tetapi berikut merupakan pandangan penulis terhadap isu ini daripada sudut konsep "hak kekuasaan" dan "kesahan".

Struktur Demokrasi

Pertamanya, perlu dijelaskan bahawa konsep "legitimacy", pada definisi penulis adalah konsep moral yang berkaitan dengan kerelaan rakyat yang dipimpin. Konsep "legality" pula lebih berkaitan dengan samada sesuatu itu mengikut Perlembagaan dan prosedur undang-undang yang betul dan sah disisi undang-undang. Maka, perbincangan berkenaan 2 konsep ini berkemungkinan akan bersifat lebih akademik dan kurang pragmatik kepada sesetengah pihak.

Kita seharusnya membuat penilaian dahulu tentang isu lompat parti ini dengan melihat struktur demokrasi liberal sebelum kita melihat situasi di Perak. Dalam sistem demokrasi Malaysia, kita memilih "wakil rakyat" untuk satu-satu kawasan untuk mewakili segolongan pengundi di kawasan tersebut. Sistem ini dinamakan "representative democracy" atau demokrasi perwakilan kerana "participatory democracy" ataupun demokrasi secara terus tidak praktikal untuk, secara amnya, negara yang mempunyai penduduk melebihi 30 000 (dikatakan jumlah penduduk kota Athens). Oleh kerana kita memilih "wakil", maka "wakil" ini seharusnya membuat keputusan berdasarkan apa yang dirasakan terbaik untuk penduduk yang diwakili. Tetapi, "wakil" ini juga perlu "mewakili" penduduk. Maknanya, "wakil" ini perlu menyampaikan hasrat majoriti penduduk ke dalam dewan persidangan. Oleh itu, terdapat 2 elemen yang kita perlu perhatikan disini:

Parthenon di Athens

1. Wakil rakyat perlu membuat keputusan yang terbaik untuk penduduk yang diwakili
2. Wakil rakyat perlu menyampaikan hasrat rakyat.

2 elemen ini tidak semestinya selari dan boleh menyebabkan kontradiksi. Contohnya, wakil rakyat itu mungkin merasakan bahawa peningkatan cukai adalah perlu untuk kesejahteraan ekonomi negara, tetapi rakyat kawasannya mungkin tidak bersetuju dengan keputusan beliau. Maka, beliau harus membuat keputusan selepas mempertimbangkan keadaan-keadaan ini. Demokrasi juga menuntut beberapa perkara dan institusi lain, tetapi ini tidak akan dijelaskan disini.

Namun begitu, kita juga mempunyai parti-parti politik dalam sistem politik kita. Ini menambahkan satu lagi lapisan kompleksiti dalam proses membuat keputusan. Sekarang, wakil rakyat tersebut perlu memikirkan tentang apa yang terbaik untuk pengundi kawasan beliau, pandangan penduduk kawasan beliau dan kedudukan beliau dalam parti politik beliau. Situasi yang ideal ialah apabila wakil rakyat tersebut memikirkan tentang ketiga-tiga elemen ini secara seimbang dan membuat keputusan yang terbaik untuk situasi yang ada, tetapi hal ini sangat sukar untuk dibuat.

Konsep "legitimacy" dan "legality"

Disini, ada baiknya kita melihat dari mana datangnya
"legitimacy" dalam sistem demokrasi. Menurut Mark Weber, terdapat 3 sumber "legitimacy" atau "hak kekuasaan":

1. Autoriti karismatik
- rakyat merelakan diperintah oleh seseorang yang mempunyai trait tertentu seperti ketua puak
2. Autoriti tradisional
- Pemerintahan berdasarkan tradisi seperti pemerintahan monarki
3. Autoriti rasional
-
"legitimacy" hasil kekuasaan kerajaan yang dibentuk daripada proses, prinsip dan undang-undang yang diterima pakai dan ditulis dalam Perlembagaan.

Dalam kes Malaysia,
"legitimacy" kerajaan adalah daripada sumber ketiga. Oleh itu, apa-apa usaha oleh mana-mana pihak untuk mengganggu gugat proses pembentukan kerajaan yang didasarkan kepada beberapa prinsip akan menyebabkan penghakisan dalam "legitimacy" kerajaan yang dibentuk. Dalam sistem berparti politik di Malaysia, terdapat beberapa elemen yang memungkinkan seseorang calon dipilih sebagai wakil rakyat:

1. Karisma dan personaliti calon
2. Tiket parti yang diwakili
3. Kelemahan calon lawan
4. Gabungan 1, 2, 3

Kebiasaannya, rakyat memilih calon dari campuran 1, 2 dan 3. Oleh itu, dalam mengkaji dan menganalisa kedudukan moral calon melompat parti, kekuatan elemen-elemen 1, 2 dan 3 perlu dilihat secara objektif. Oleh itu, kurang tepat andai dikatakan bahawa melompat parti itu secara terang-terangan salah dan tidak demokratik, kerana terdapat unsur lain yang perlu difikirkan sebelum membuat keputusan. Perlu diingatkan disini bahawa konsep yang sedang dibincangkan berkaitan dengan kedudukan moral dan bukannya samada ianya salah disisi undang-undang. Oleh itu, "salah" atau "betul"nya tindakan tersebut adalah satu keputusan moral jika tindakan tersebut dibenarkan undang-undang.

Dari manakah datangnya "legitimacy" kerajaan?

Perkara ini dibangkitkan kerana perlu diingat bahawa keputusan moral tidak mewajibkan apa-apa tindakan yang bersifat undang-undang. Contohnya, walaupun tindakan melompat parti tidak bermoral dan demokratik pada pandangan rakyat, jika prosedur yang betul diikuti, maka tiada sebab untuk diadakan pilihanraya. Isu moral dan isu undang-undang adalah berbeza disini.

"
Legitimacy" tidak seharusnya dikelirukan dengan "legality" kerana konsep "legality" berkaitan dengan undang-undang. Konsept ini perlu diteliti dalam hal menjalankan pilihanraya kerana ianya satu proses yang berkaitan dengan undang-undang. Untuk meneliti konsep ini, kita perlu melihat samada prosedur undang-undang yang betul telah dijalankan. Oleh itu, untuk memahami konsep "legality", kita memerlukan pengetahuan dalam bidang undang-undang, terutamanya undang-undang Perlembagaan. Penulis bukanlah seorang yang arif dalam bidang ini dan tidak akan memberi komen yang panjang tentang konsep ini. Cumanya, penulis diberitahu oleh rakan penulis yang belajar tentang undang-undang yang apa yang berlaku di Perak boleh dilihat dari beberapa sudut undang-undang mengikut interpretasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

Isu Negeri Perak

Kembali kepada Perak, terdapat 2 masalah disini:

1. Prosedur undang-undang tidak diikuti secara literal (pada pemahaman penulis)
2. "Legitimacy" kerajaan baru dan tindakan melompat parti diragui, kemungkinan kerana wakil rakyat menang atas tiket Pakatan Rakyat

Dengan berbekalkan konsep "
legitimacy" dan "legality" daripada penerangan diatas, kita boleh menganalisa isu ini dengan lebih jelas. "Wakil" rakyat yang keluar dari parti PKR dan kemudiannya menyokong Barisan Nasional mempunyai mandat dari rakyat yang datang daripada Pilihanraya Umum (PRU) yang lepas. Ini bermakna dari sudut undang-undang, mereka merupakan pilihan rakyat pada ketika rakyat mempunyai hak untuk memilih dan akan terus menjadi wakil kepada penduduk kawasan mereka sehingga mereka meletak jawatan, meninggal dunia dan sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka tidak berupaya untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat ataupun sehingga PRU seterusnya. Oleh kerana dalam demokrasi rakyat seharusnya mempunyai "freedom of association", tiada sebabnya untuk mereka tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian. Semua ini merupakan hak mereka yang telah termaktub dalam Perlebagaan Malaysia.

Namun begitu, terdapat frasa dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang mengatakan bahawa untuk memecat Menteri Besar, perlu ada usul tidak percaya yang diberi undi majoriti dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Interpretasi secara literal ini tidak diikuti oleh kerajaan baru di Perak dan mungkin akan membawa krisis Perlembagaan. Hal ini berkaitan dengan "legality" dan perlu dirujuk kepada pakar-pakar undang-undang dan perlembagaan.

Negeri Perak Darul Ridzuan

Daripada sudut rakyat pula, rakyat tidak mempunyai "hak" undang-undang untuk memaksa pilihanraya diadakan andai isu undang-undang diatas telah diselesaikan. Rakyat boleh meminta untuk diadakan pilihanraya dan mendesak pihak berwajib untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat, tetapi hal ini bukanlah hal undang-undang. Konsep "legitimacy" adalah lebih releven disini dan ini merupakan satu penilaian moral. Rakyat telah memilih "wakil" mereka yang sah dalam pilihanraya yang lepas dan dari sudut undang-undang, "wakil" ini boleh melakukan apa-apa tindakan yang berada dalam hak undang-undang beliau. Tidak seharusnya dicampurkan kedua-dua konsep ini.

Keputusan ADUN untuk melompat parti ialah keputusan peribadi mereka yang sah dari sisi undang-undang. Keputusan itu boleh dinilai sebagai bermoral atau tidak yang akan mempengaruhi "
legitimacy" kerajaan baru yang dibentuk. Samada pilihanraya perlu dibuat adalah berdasarkan keputusan mahkamah. Rakyat tiada 'hak' undang-undang untuk memaksa pilihanraya diadakan kerana mereka telah menggunakan hak memilih mereka 10 bulan yang lepas dan terikat dengan undang-undang perlembagaan yang ada dalam negara sekarang. Terdapat pelbagai teori tentang mengapa rakyat perlu terikat dengan undang-undang negara dan tidak akan diterangkan disini. Bolehlah membaca "The Social Contract" oleh Rousseau, "Leviathan" oleh Thomas Hobbes ataupun "Second Treatise of Government" oleh John Locke untuk teori konvensional tentang perkara ini. Kesimpulan yang boleh diberi ialah penilaian yang dibuat perlulah jelas berdasarkan konsep-konsep yang wujud dalam demokrasi dan tidak seharusnya dicampur aduk hasil daripada emosi kita.

Memperkukuhkan Institusi Demokrasi

Sebelum mengakhiri artikel ini, penulis ingin mengajak semua pembaca untuk mengukuhkan institusi demokrasi di Malaysia. Demokrasi bukanlah sahaja mengundi pada hari PRU, tetapi turut memerlukan rakyat yang berilmu dan berpengetahuan yang mempunyai autonomi. Penulis menyokong apa yang saudara Wan Saiful katakan bahawa institusi pembangkang harus dikukuhkan. Dalam demokrasi yang berkesan, wakil rakyat seharusnya mengundi untuk apa-apa usul yang membawa faedah untuk kawasan yang diwakili beliau dan bukannya atas dasar parti. Pada penulis, parti politik merupakan platform ideologi dan tidak seharusnya lebih daripada itu. Rakyat juga seharusnya memainkan peranan dalam mendesak wakil rakyat mereka untuk membuat keputusan yang menguntungkan mereka, berperanan secara proaktif dan tidak membiarkan korupsi dan perbuatan yang tidak bermoral untuk berterusan.

Demos kratos?

Kita semua harus membuang sikap "tidak mengapa asalkan aku dapat makan dengan cukup" dan berfungsi dalam masyarkat. Hanya dengan kewujudan institusi demokrasi yang mapan barulah pemerintahan negara demokratik boleh dijalankan dengan sempurna, insyaALLAH.

Wallahua'lam
 

...hAng tUah, hAng jEbat...

Category: , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Baru sahaja penulis pulang dari menikmati sushi (di kedai sushi halal di South Kensington!) berdekatan dengan stesen Tube South Kensington. Perbualan di kedai sushi itu, walau mungkin sedikit 'repetitive', memberikan penulis dengan bahan tinta baru untuk dikongsikan di sini.

Apa yang ingin disampaikan di sini mungkin merupakan ulangan kepada apa yang diketahui semua, namun ingin juga disampaikan untuk kongsian bersama.

Tinta kali ini ingin mengkaji secara objektif penghujung kisah Hang Tuah dan rakannya Hang Jebat, dan cuba untuk membuat konklusi yang berkatian dengan apa yang dialami oleh diri penulis, secara khasnya, dan untuk umum secara amnya (harap-harapnya begitulah). Namun begitu, penulis bukannya seorang yang amat mahir dalam sastera, maka kajian ringkas ini hanyalah bertujuan untuk mengkaitkan cerita itu kepada apa yang terjadi pada diri penulis.

Kisah kedua kawan karib ini memang popular di kalangan masyarakat Melayu, dan tidak ingin diceritakan disini. tetapi, secara ringkas, di penghujungnya Hang Jebat telah menderhaka kepada Raja kerana Raja telah 'membunuh' rakan karibnya, Hang Tuah, yang merupakan Laksamana pada ketika itu. Hang Tuah rupa-rupanya tidak dibunuh; sempat Bendahara melarikan beliau ke pedalaman Melaka. Namun, beliau tampil untuk bersemuka dengan Hang Jebat kerana tiada siapa dapat menewaskan Hang Jebat pada ketika itu. Hang Tuah kemudiannya bertempur dengan rakan sepermainannya itu, yang kemudiannya di bunuh oleh Hang Tuah. Maka tersohorlah nama Hang Tuah di kalangan rakyat kerana ketaatannya kepada Sultan, dan nama Hang Jebat akan selama-lamanya dikaitkan dengan penderhakaan, sesuatu yang dianggap sebagai dosa yang amat besar pada ketika itu.

Menariknya, apabila penulis cuba meletakkan diri penulis dalam situasi Hang Jebat, penulis sendiri merasa berbelah bahagi tentang apa yang patut penulis lakukan. Andai benar-benar terjadi, apakah patut penulis, sebagai rakyat bangkit untuk melawan tirani dan ketidakadilan yang amat jelas yang berlaku di hadapan mata kepala sendiri, ataupun duduk diam tanpa membuat apa-apa dan berserah kepada nasib; sistemnya sudah begitu...

Bagaimanakah penulis, yang merupakan seorang Muslim, menuntut hak keluarga rakan sepermainan penulis, sedang penulis sedar betapa dengan berbuat begitu, penulis akan dilabel sebagai penderhaka? Apa yang lebih penting, maruah diri, atau keadilan sosial?

Jawapan Hang Jebat pada persoalan-persoalan ini amat jelas; Sultan tidak adil, maka baginda tidak patut dituruti. Namun begitu, mentaliti masyarakat Melayu pada masa itu merupakan mentaliti yang tidak membenarkan penderhakaan, dan memandang perkara-perkara tersebut sebagai sesuatu yang melampaui batas. Hasil daripada itu, Hang Jebat digambarkan sebagai watak jahat dalam cerita ini. Tiada salahnya dalam membuat konklusi begini, namun, persoalannya, apakah mentaliti yang sama patut digunakan sekarang?

Apa yang penulis maksudkan ialah pada penulis, cerita ini lebih merupakan sesuatu yang bersifat pilihan, dan pengajaran yang perlu diambil boleh dilihat dari pelbagai segi. Dalam konteks hari ini, mungkin kita boleh ambil pengajaran dari sudut mentaliti masyarakat pada masa itu, dan bagaimana kita patut menyesuaikan mesej yang dibawa untuk masyarakat secara umum.

Tinta ini merupakan, mungkin, respon kepada beberapa kejadian yang berlaku di negeri-negeri pembangkang baru-baru ini; pengharaman Islam Hadhari dan pemecatan jawatan penasihat agama di Perak. Bukanlah perkara ini salah, namun begitu, penulis merasakan bahawa tindakan yang diambil terlalu drastik, dan tidak mengambil kira faktor masyarakat secara menyeluruh.

Mungkin tindakan Hang Jebat pada masa itu merupakan satu kesilapan, mungkin juga keadaan masyarakat pada masa itu tidak membenarkan Hang Jebat untuk menuntuk hak keatas Sultan. Namun begitu, dengan menderhaka, pada penulis, bukanlah Hang Jebat secara automatik menjadi watak jahat. Adakah terlalu salah untuk meminta kematian rakan karibnya diadili? Abaikan cerita mengenai dayang-dayang Istana buat masa ini, dan fokus pada niat asal Hang Jebat. Pada penulis, tiada salahnya, mungkin caranya salah, tetapi niatnya tidak salah sama sekali. Akhirnya, sahabatnya rupanya masih hidup, dan beliau telah menderhaka kepada Sultan. Maka rakyat semua membencinya.

Samalah dengan apa yang berlaku di Perak
dan Selangor. Pada penulis, tiada salahnya berbuat demikian, namun dengan cara yang dilakukan, ianya tidak memberi impak positif yang menyeluruh kepada masyarakat.

Penulis akan mengambil contoh kedua, pengharaman Islam Hadhari. Mungkin pengharaman yang dimaksudkan ialah pengharaman aktiviti-aktiviti Islam Hadhari yang, setakat yang penulis tahu, banyaknya merupakan hiburan. 'Fair enough', pada fikiran penulis, kerana sepanjang 4 tahun Islam Hadhari, Hadharahnya (modennya) tidaklah begitu ketara pada pandangan penulis, apa yang nampak banyaknya ialah hiburan dan perbelanjaan pada perkara-perkara yang kurang penting. Namun begitu, bagaimana dengan masyarakat Melayu Muslim di Malaysia? Tidakkah perkataan 'Haram' itu membawa maksud sesuatu yang andai dibuat mendapa dosa? Bagaimana pula dengan masyarakat bukan Muslim? Sebelum Pak Lah, yang ada hanya 'Islam'. Kemudian tiba-tiba muncul 'Islam Hadhari'. Apa bezanya dengan Islam? Islam yang dahulu tidak maju dan modenkah? Sekarang Islam Hadhari pula diharamkan kerana ianya mungkin membawa kepada salah faham kepada Islam. Adakah 10 prinsip itu bertentangan dengan prinsip-prinsip dalam Islam? Jika tidak, mengapa perlu diharamkan?
Apa pula kata ahli parti pemerintah? Mungkin salah media perdana di Malaysia kerana mengambil perkara-perkara negatif sahaja. Andai begitu, maka haruslah wakil pembangkang lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan, tidakkah begitu?

Pada penulis, perkataan 'Haram' itu tidak sesuai digunakan. Lebih baik diterangkan bahawa aktiviti dibawah panji Islam Hadhari tidak boleh dilaksanakan di Selangor lagi kerana ianya membawa kepada kemaksiatan dan kemudiannya memberi penjelasan mengapa aktiviti-aktiviti Islam Hadhari itu perlu dihentikan. Masyarakat Malaysia amat sensitif dengan perkataan-perkataan Arab ini. Haram, khalwat, solat, khinzir semuanya memberi konotasi yang berbeza dengan 'ban', berseorangan, sembahyang dan babi, walaupun bendanya sama.

Oleh itu, penulis merasakan bahawa patutnya kerajaan pembangkang, secara spesifik, dan Muslims secara general, terutamanya Islamists, lebih berhati-hati dengan kenyataan-kenyataan dan tindakan-tindakan yang dibuat, kerana masyarakat Malaysia sangat mudah untuk salah faham dan menggunakan sesuatu itu sebagai alasan untuk memburuk-burukkan orang lain.

Wallahua'lam
 

Dimanakah kita? Kemanakah kita?

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Di dalam kehangatan membaca, berfikir dan bersembang dengan rakan-rakan Muslim dari Malaysia tentang isu-isu berkaitan dengan Islam dan masa hadapan Islam dan Muslim, penulis agak tersentak apabila penulis menyedari bagaimana realiti budaya masyarakat Muslim, terutamanya di Malaysia.

Apa yang
penulis maksudkan ialah sikap yang melihat dan membaca sejarah tanpa mempunyai keupayaan untuk menganalisa dan mengkaji sejarah secara objektif. Mungkin ada orang yang akan mengkritik penulis kerana mengatakan ini, dan mengatakan yang kita sepatutnya berbangga dengan warisan Islam yang telah ditinggalkan kepada kita, tapi apa yang penulis risaukan ialah kita melihat sejarah dengan kacamata yang berat sebelah. Kita melihat keagungan Islam di masa lampau sebagai usaha Muslim 100% dengan bantuan ALLAH s.w.t. dan tidak menghiraukan bahagian sejarah yang menunjukkan betapa Muslim pada masa itu sangat terbuka, tidak menolak sebarang idea dan merupakan manusia yang sama terpengaruh dengan keadaan semasa.

Sebelum
penulis meneruskan penulisannya ini, elok rasanya untuk penulis melakarkan senario yang ada masa kini pada pandangannya, dengan harapan supaya pembaca boleh memahami apa yang cuba disampaikan.

Lewat kurun ke 19 dan awal kurun ke 20 menyaksikan kebangkitan kuasa Barat, dan kelemahan serta kejatuhan Khilafah Islamiyah di Turki. Sepertimana kuasa-kuasa lain di dunia, kuasa-kuasa Barat mula meluaskan kuasa dan menjajah kawasan-kawasan di sekeliling dunia untuk menjaga kepentingan mereka dan rakyat mereka. Oleh kerana empayar Muslim pada masa itu sangat luas dan juga disebabkan kedudukan strategik tanah-tanah yang ditadbir oleh Muslim, kuasa-kuasa Barat ini menumpukan perhatian kepada tanah-tanah yang diduduli oleh masyarakat orang Islam. Pada awalnya kerajaan Islam agak terbuka dengan idea-idea yang datang dari Barat. Namun, dasar perluasan kuasa yang diamalkan oleh kuasa-kuasa Eropah menyebabkan Muslim menjadi defensif. Masyarakat Muslim di zaman ini melihat kedatangan dan kolonisasi Barat di zaman ini, dengan idea-idea liberalisasi dan sekularisme yang dibawa sebagai satu ancaman langsung kepada agama Islam.
Dan oleh kerana keadaan kerajaan Turki Uthmaniah yang lemah pada masa itu, banyak tanah yang majoriti penduduknya Muslim dijajah oleh kuasa-kuasa Barat ini.

Ini semua ditulis dalam buku-buku sejarah, dan
penulis yakin ramai antara kita tahu peristiwa-peristiwa yang menyusul, yang akhirnya membentuk dunia sebagaimana yang kita ketahuinya hari ini.

Apa yang
penulis ingin utarakan ialah kesannya kepada umat Islam pada hari ini, yang sepatutnya mempunyai paradigma yang berlainan dari Muslim yang ada pada zaman kejatuhan tersebut.

Hasil kolonisasi Barat, bangkit gerakan-gerakan Islam yang berusaha untuk menaikkan kembali Islam di muka bumi, dan kita dapat lihat kumpulan-kumpulan ini di dalam masyarakat.

Secara peribadi,
penulis sangat mengagumi pejuang-pejuang agama ALLAH ini, tapi selepas lebih kurang 100 tahun selepas kejatuhan khilafah, kita mesti bertanya kepada diri sendiri, sejauh manakah keberkesanan perjuangan ini dalam menaikkan martabat Islam dan Muslim di seluruh dunia?

Kita sering mendengar daie-daie menceritakan kehebatan dan keagungan tamadun Islam lampau, dan bagaimana Muslim berperanan sebagai 'Ustazatul 'alam'; menjaga dan mentadbir dunia ALLAH menurut hukum-hukum dan kehendakNya. Kita sering mendengar mereka bercerita dalam nada yang nostalgik dan mahukan zaman itu berulang kerana melihatkan kelemahan umat Islam pada zaman ini, dan mendengar kondemnasi terhadap apa yang Barat telah bawakan. Kutukan demi kutukan dibuat terhadap dasar-dasar sekularisasi dan capitalis Barat, dan bagaimana Barat telah merosakkan dunia ini dengan ideologi-ideologi mereka.

Namun begitu, kita jarang mendengar cerita tentang betapa terbukanya umat Islam di zaman lampau dengan idea-idea baru, walaupun setengah-setengahnya dianggap tidak sesuai dengan Islam. kita jarang sekali mendengar ustaz-ustaz bercerita tentang betapa dahulu kita juga mengambil contoh dari Rom Timur dalam urusan-urusan kerajaan, dan bagaimana amir-amir Islam dahulu sanggup untuk mendengar syarahan daripada paderi-paderi Kristian. Tidak selalu kita mendengar pertukaran ilmu antara empayar-empayar hebat yang wujud, bagaimana Khalifah menghantar gajah sebagai hadiah kepada Charlemagne, bagaimana amir-amir menghantar artisan-artisan Muslim kepada kerajaan buan Islam, dan bagaimana kerajaan Islam mengambil birokrasi kerajaan Rom Timur. Jarang, secara ringkas, kita mendengar cerita-cerita yang membayangkan keyakinan umat Islam di masa lampau dengan Islam, 'aqidah dan ideologi yang mereka ada.

Kita juga jarang sekali mendengar cerita-cerita masyarakat Islam dahulu kala. Bagaimana manusia yang bukan Islam dilayan seperti warganegara kelas kedua, bagaimana pertelingkahan berebutkan kuasa antara amir-amir yang ada, bagaimana dinasti Abbasid bermula dengan pengkhianatan dan pembunuhan beramai-ramai, bagaimana pernah segelintir umat Islam bertindak seperti perompak dan penyamun. Semua ini tidak diceritakan, yang diceritakan hanya kegemilngan. Tiada juga pendedahan dan kajian objektif yang dibuat tentang kelemahan dan kekuatan sistem beraja yang ada, walau ada antara orientalis boleh mengatakan bahawa ada terdapat unsur-unsur sekuralisma dalam pentadbiran Islam zaman dahulu kala.

Adilkah kita dalam membuat penilaian terhadap sejarah seperti ini? Apabila orientalis membuat kajian terhadap sejarah Islam dan berjumpa dengan elemen-elemen tidak menyenangkan, kita menuduh mereka anti Islam, walhal memang pun begitu kejadiannya. Sebagai Muslim, tanggungjawab kita bukanlah mempertahankan sejarah kita, tetapi menyatakan yang benar. Janganlah kita melabel orang sebagai anti Islam apabila kita sendiri tidak pernah mengkaji sejarah secara objektif. Ramaikah antara kita yang mengetahui mengenai Manzikert? Tentang Poitiers? Tentang Cordoba? Tentang Hattin? Jika ya, adakah kita melihat keadaan sosio-politik masyarakat pada ketika itu secara keseluruhan? Berapa ramai antara kita yang melihat Salehuddin Al-Ayubi sebagai seorang manusia, bukan lagenda? Kelemahan dan kekuatan beliau? Bukanlah beliau bukan seorang yang tidak hebat, tetapi mengapa beliau membuat perkara-perkara yang beliau buat dan dalam keadaan yang bagaimana.

Oleh itu, persoalan dimanakah kita dan kemanakah kita merupakan satu persoalan yang releven sekarang, kerana kita perlu sentiasa bermuhasabah apakah perkara yang kita buat ini telah mengambil kira sebanyak mana yang boleh, dan sejauh manakah tindakan kita berjaya dalam memajukan apa yang kita perjuangkan. Mungkin kita perlu mengkaji teori-teori hari ini, mengkaji sejarah dan teori-teori Islam masa lampau dan mencari jalan tengah antara keduanya, untuk menjadikan satu idea itu realistik dan berkesan di zaman ini.

Wallahua'lam

p/s: JZKK kepada Wan Aimran kerana membetulkan penulis

 

(malay)...posting politik pertama...

Category: By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

setelah berfikir beberapa ketika tentang tindakan Tun Dr. Mahathir meletak jawatan, penulis membuat keputusan untuk menulis mengenainya dalam blog yang tidak seberapa ini. namun begitu, penulis tidak ingin menganalisa tindakan Tun, motif beliau ataupun apa kesan tindakan beliau terhadap politik Malaysia, tetapi penulis ingin memberi komen dari respon ahli politik Malaysia yang berada di dalam Pakatan Rakyat, dan melihat bagaimana fokus yang diberikan oleh mereka berbeza.

penulis akan mengambil beritanya dari MalaysiaKini.com yang berbahasa Inggeris, kerana tidak berketemu dengan versinya dalam Bahasa Melayu.

respon dari YB Lim Guan Eng, MB Pulau Pinang:

"
DAP secretary-general and Penang Chief Minister Lim Guan Eng said Mahathir's resignation will be a "gigantic political earthquake besetting Umno after the political tsunami of March 8".

He said that the internal rivalry between Mahathir and Abdullah was part of the intense power struggle of disparate vested interests within Umno.

He added that the real issue for Umno is not so much how this power struggle will play out.

"The real challenge will be between undertaking reforms to institutionalise democracy, uphold rule of law and combat corruption - or persist in the tried and failed policies of mediocrity, crony capitalism and violation of basic human rights,” he said in a separate statement.

He added that the choice was between Umno moving Malaysia forward or the nation going backwards."

secara ringkas, YB Lim Guan Eng mengatakan bahawa keputusan Tun merupakan sesuatu yang tidak dijangka dan akan membawa impak yang besar pada politik di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas tsunami politik pada 8 Mac. namun isu yang lebih utama ialah bagaimana perebutan kuasa di dalam UMNO akan diselesaikan. menurut beliau, cabaran yang lebih utama ialah ialah bagaimana pembaharuan akan dilaksanakan, khususnya di dalam sistem demokrasi Malaysia dan bagaimana untuk menegakkan keadilan di Malaysia dengan menghapuskan kronism.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula mengatakan begini:

PAS president Abd Hadi Awang meanwhile said that Mahathir's decision was a radical one that only proved that Umno was in a dire situation.

"We feel that his decision only showed that Umno has become unqualified in leading the nation and being the saviours of the Malays," he said in a statement.

He added that PAS and its allies in Pakatan Rakyat had the experience to lead the country for the benefit of all races.

penulis bukanlah seorang yang arif tentang politik, dan bukanlah juga seorang yang 'alim dalam ilmu-ilmu keduniaan dan ukhrawi, namun begitu, penulis sedikit tersentak dan terkejut apabila membaca kenyataan dari dari Tuan Guru, pemimpin yang penulis amat-amat hormati dan kagumi.

mengapa begitu?

kerana apabila penulis membaca komen MB Penang yang bukan Muslim, penulis dapat merasakan kesungguhan YB dalam memperjuangkan hak dan pembangunan rakyat, dan membuang jauh sentimen politik yang selalunya merupakan trademark seorang politikus. pada penulis, beliau nampak apa yang silap dalam mentaliti UMNO, dan terus mengajukan isu-isu yang patut diberi perhatian di Malaysia kepada rakyat Malaysia

namun kenyataan Tuan Guru sedikit mengecewakan apabila dibandingkan. penulis merasakan bahawa terdapat terlalu banyak perhatian diberikan pada kehancuran UMNO, yang UMNO tidaklah lagi layak untuk membela nasib kaum Melayu. sangat sedikit isu yang disentuh berkenaan rakyat, hanyalah bahawa PR boleh mentadbir negara dengan adil dan baik untuk semua rakyat Malaysia. penulis mendapat impresi bahawa kenyataan itu lebih ditujukan kepada kaum Melayu Muslim, dan mesej yang dapat penulis dapat ialah kaum Melayu sepatutnya meninggalkan UMNO dan menyokong PAS. kurang sekali impak mesej beliau berkenaan dengan kemajuan rakyat dan isu-isu yang perlu ditangani oleh UMNO dan negara Malaysia

mungkin ini kelemahan MalaysiaKini.com kerana tidak melaporkan keseluruhan kenyataan Tuan Guru atau melaporkan apa yang sensasi, penulis tidak tahu. mungkin juga kerana kelemahan penulis tidak mengerti realiti politik di Malaysia; bagaimana sedikitnya perubahan undi orang Melayu Muslim pada pilihanraya yang lepas, dan bagaimana UMNO masih mengekalkan dominasi politik terhadap orang Melayu. mungkin juga kerana penulis sedikit naif untuk memberi analisa yang tepat terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

mungkin semua itu benar, namun begitu, penulis sentiasa berpegang pada konsep "Muslims always holding the higher moral ground". pada penulis, kehancuran UMNO itu ialah isu sekunder. yang paling penting, pada pandangan penulis, ialah kebajikan dan pembangunan rakyat. kritikan adalah norma manusia, begitu juga 'political survival'. namun begitu, pada penulis, apa yang lebih penting untuk dibuat ialah untuk 'move on' dan melihat cabaran-cabaran yang lebih besar yang ada. pada penulis, PR seharusnya lebih memberi tumpuan dalam membina kekuatan dalaman dengan mengukuhkan kerjasama dan biarkan sahaja perselisihan dalaman UMNO. pada penulis, andai rakyat melihat pembangunan 5 negeri yang ditawan pembangkang yang drastik, dan melihat kelemahan UMNO, tidak perlu lagi kenyataan-kenyataan seperti itu dikeluarkan. yang perlu diperjuangkan, pada pemikiran penulis, ialah kepentingan rakyat, bukan kepentingan parti.

ramai orang tidak akan bersetuju dengan penulis, namun, ini hanyalah pandangan peribadi. penulis memahami bahawa keadaan di Malaysia tidak kondusif untuk ideologi sebenar demokrasi diamalkan, tetapi perbezaan 2 kenyataan itu sedikit mengganggu pemikiran penulis tentang bagaimana berbezanya cara berfikir 2 orang ahli politik yang kedua-duanya penulis hormati.

apa-apa pun, ini hanyalah pandangan peribadi, dan bukanlah berniat untuk merendahkan sesiapa. hanyalah pandangan seorang insan yang merasakan ada sesuatu yang kurang enak di dalam kenyataan itu, dan ingin menambah pengetahuan daripada komen-komen pembaca.

wallahua'lam

p/s: jzkk kepada saudara Don kerana membetulkan saya pada kesilapan tarikh pilihanraya