'Sensitivity', Paranoia dan Realiti : Antara Kinrara dan Palestin
Petikan dari Utusan Online:
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Nazir Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Abdul Rahman Nasir mengesahkan pihaknya menerima petisyen bantahan mengenai penggunaan pembesar suara daripada 189 penduduk bukan Islam di kawasan tersebut.
Beliau berkata, petisyen yang diserahkan seorang lelaki itu antaranya menyentuh mengenai penggunaan pembesar suara sewaktu kuliah Subuh, Kuliah Maghrib dan bacaan al-Quran menggunakan kaset dan cakera padat sebelum sembahyang Subuh.
”Memang mereka tidak menyebut mengenai azan tetapi saya percaya petisyen yang dibuat pada Februari lalu ada kaitan dengannya.
”Penulis petisyen itu pandai, dia tidak akan sebut mengenai azan kerana tahu ia lebih sensitif,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini hari ini.
Pada 8 September lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mendedahkan wujud usaha pihak tertentu membuat petisyen membantah azan di Puchong dan Kota Damansara, Selangor.
Abdul Rahman berkata, petisyen tersebut kemudian diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Datuk Satim Diman dan ia tidak dihebahkan ke pengetahuan jemaah masjid bagi mengelakkan wujudnya perasaan tidak puas hati.
Katanya, pihaknya juga mengabaikan desakan dalam petisyen tersebut bagi mengelakkan Masjid Al-Ehsan menjadi bahan uji kaji pihak tertentu.
Sementara itu, beliau mendedahkan seorang pemimpin sebuah parti politik di Selangor telah menghubunginya semalam untuk mengadakan sidang akhbar menjelaskan isu petisyen itu.
Beliau bagaimanapun menolak cadangan tersebut kerana berpendapat isu berkaitan masjid tidak wajar dibincangkan menerusi platform politik.
Telah beberapa hari penulis berfikir dan berbincang mengenai berita ini, dan apa implikasi berita sebegini kepada pemikiran umat bukan Islam terhadap umat Islam, dan bagaimana pemikiran umat Islam yang sebegini boleh dilihat pada skala yang lebih luas.
Satu perkara yang merunsingkan penulis ialah bagaimana nazir itu seolah-olah mengetahui niat kesemua penanda tangan petisyen itu, dengan menyatakan bahawa yang beliau "percaya petisyen yang dibuat pada Februari lalu ada kaitan dengannya" (baca:azan). Beliau menambah bahawa ”Penulis petisyen itu pandai, dia tidak akan sebut mengenai azan kerana tahu ia lebih sensitif”. Pada fikiran penulis, pernyataan ini agak sombong dan sedikit kurang berhati-hati. Haruslah diingat bahawa petisyen itu ditandatangani oleh lebih 100 orang penduduk bukan Islam disekitar masjid tersebut, maka, apa yang ditulis oleh penulis petisyen itu dipersetujui oleh semua penduduk tersebut. Hebat sungguh nazir itu sehingga boleh percaya bahawa semua penanda tangan petisyen itu mempunyai agenda tersembunyi. Apa yang begitu 'pandai' dengan meminta kepada pihak masjid, setelah berbincang dengan pemimpin masyarakat disitu, untuk menurunkan kekuatan pembesar suara yang digunakan? Adakah umat Islam seharusnya bertindak atas perasaan 'saya percaya' ataupun reaksi paranoid yang merasakan bahawa semua umat bukan Islam tidak menyenangi apa yang umat Islam lakukan?
Jika saya menegur kawan saya mengatakan bahawa suara dari pembesar suara di biliknya mengganggu saya belajar, adakah itu salah, walaupun dia memasang ayat suci Al Quran? Azan hanya berlangsung selama 5-7 minit, tetapi ceramah agama boleh mengambil masa selama 30-45 minit. Andai seorang ibu mempunyai anak kecil yang mahu tidur pada ketika itu, tidakkah itu mengganggu ketenteraman umum? Apakah Islam mahu kita mengganggu ketenteraman umum? Apakah yang kita mahu capai dengan memasang pembesar suara dengan kuat? Kemungkinan orang lebih tidak mahu mendengar ceramah agama itu, dan menjauhkan diri dari masjid kerana mengganggu ketenteraman awam dari mendekatkan diri dari masjid.
'Sensitivity' kita terlalu tinggi, dan kita juga seolah-olah paranoid bahawa umat bukan Islam akan merampas segala-galanya dari kita, an kita membiarkan unsur-unsur ini menular kepada persepsi realiti kita.
Tetapi, adakah ini kes terpencil? Bagaimanakah reaksi kita, umat Islam, secara umum terhadap apa yang kita anggap sebagai perkara yang tidak patut dipersoalkan lagi?
Sebagai contoh, andai seorang bukan Islam mempersoalkan mengapa Islam, menurut interpretasi kebanyakan ulama', perlu menghukum mati orang yang murtad, berapa ramai antara kita yang akan berusaha untuk menjelaskan cara berfikir dan membuat hukum dalam Islam, dan seterusnya sedikit tentang perdebatan fekah dalam Islam dan tidak hanya melenting dan mengatakan bahawa ianya memang termaktub dalam hadis, dan perkara itu ialah perkara sensitif yang tidak patut dibincangkan? Andai kita diberitahu bahawa terdapat unsur-unsur sekularisme dan liberalisme dalam ajaran Islam, berapa ramai antara kita yang sanggup untuk mempelajari definisi dan perdebatan ideologi-ideologi ini, dan tidak hanya mengatakan bahawa ianya mustahil, dan Islam itu sudah syumul dan tidak memerlukan semua perdebatan ini?
Mungkin agak sukar untuk melihat pertailan antara apa yang baru dikatakan oleh penulis dengan isu yang dibawa oleh berita tersebut, tetapi apa yang penulis cuba untuk sampaikan, ialah berapa ramai antara kita yang berani untuk mendepani cabaran-cabaran zaman moden, seperti pluralisme agama, dengan tidak mempertahankan 'sensitivity' dan paranoia kita, dan melihat kepada realiti dan keperluan semasa?
Seringkali penulis mendengar di radio, dan membaca di blog-blog bahawa Palestin itu hak milik umat Islam. Persoalannya, adakah ia hak milik mutlak umat Islam? Dan dengan pemikiran paranoid seperti ini, pemikiran yang semua persoalan tentang sebahagian perkara dalam agama tidak boleh dibincangkan kerana ianya sensitif, adakah kita yakin yang kita boleh mentadbir Palestin dan Jurusalem dengan adil? Andai orang Kristian mahu memperbesarkan kawasan Gereja 'The Holy Sepulcre' mereka, berapa ramai yang boleh mengatakan tiada masalah berbuat demikian? Adakah kita akan terus membenarkan orang Yahudi meneruskan ekskavasi dan kajian bawah tanah mereka? Dengan 'mindset' dan 'worldview' umat Islam yang begitu defensif, paranoid dan tidak proaktif, yakinkah kita bahawa kita boleh berlaku adil sedangkan di Malaysia kita tidak adil kepada masyarakat bukan Islam?
Maka, antara Kinrara dan Palestin terdapat 1 pertalian yang menghubungkan keduanya. Dan pada penulis, kita seharusnya mula membuang prejudis yang tidak rasional kita, dan cuba untuk membuka mata dan minda terhadap apa sebenarnya tuntutan Islam kepada umatnya. Kita sibuk berbicara tentang ketidak adilan keatas umat Islam di Palestin, tidak menyedari ketidak adilan yang dilakukan oleh orang Islam kepada orang bukan Islam di Kinrara. Bukanlah kita tidak patut kisah kepada Palestin, tetapi elok juga andai kita bermuhasabah tentang cara kita melihat dunia ini.
Wallahua'lam
bagaimanakah mahu mengubah ketidakfahaman masyarakat kita mengenai konsep berfikiran terbuka?
komentar yang bernas.
bolehkah berkongsi berapa banyak buku bahasa inggeriskah yang perlu saya baca untuk menulis dalam bahasa inggeris seperti saudara? (ini adalah soalan serius)
bagaimana saudara memantapkan penguasaan bahasa inggeris?