Socrates

Category: By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Selepas beberapa bulan
offline kerana menguruskan beberapa perkara selepas kembali ke London, penulis membuat keputusan untuk kembali ke alam siber untuk bercerita mengenai seorang tokoh falsafah Yunani.

Tokoh yang hendak diperkenalkan disini ialah Socrates, atas sebab-sebab yang akan dijelaskan pada penghujung
entry ini.

Socrates adalah antara ahli falsafah Yunani yang teragung. Menurut Wikipedia, beliau lahir pada tahun 469/470 sebelum Masihi di Athens. Sebagai seorang ahli falsafah, beliau tidak pernah menulis apa-apa, tetapi kita mengetahui mengenai hidupnya melalui dialog yang ditulis oleh anak muridnya Plato dan Xenophon. Tidak banyak yang diketahui mengenai hidup awalnya, kerana beliau tidak menulis apa-apa biografi, dan perincian kehidupannya juga tidak banyak diketahui.

Socrates

Mengikut ceritanya, beliau telah pergi ke
oracle di Delphi (sebuah bandar) untuk mengetahui siapakah manusia yang paling cerdik. Jawapan oracle di Delphi ialah Socrateslah manusia yang paling cerdik. Socrates tidak mempercayai jawapan ini dan bertanya soalan yang sama kepada oracle, dan sekali lagi beliau mendapat jawapan yang sama. Socrates masih tidak berpuas hati dengan jawapan ini, dan kembali ke Athens, yang merupakan seluruh dunia pada Socrates, untuk mengetahui kebenaran jawapan oracle itu.

Socrates seterusnya pergi dan menyoal sesiapa yang mengatakan bahawa mereka memiliki kepandaian dan kecerdikan atau pemahaman dalam sesuatu perkara dan cuba untuk memahami apa yang difahami oleh mereka. Dalam perbualan-perbualan yang berlangsung, Socrates menunjukkan, dengan cara menyoal individu-individu ini dengan soalan-soalan yang sukar, bahawa mereka sebenarnya tidak tahu apa-apa dan apa yang mereka sebenarnya percaya mempunyai banyak kontradiksi (baca:
Socratic method, metod Socrates). Setelah beberapa lama, Socrates menyedari bahawa memang benarlah kata-kata oracle bahawa beliau memanglah merupakan orang yang paling cerdik, bukan kerana beliau mengetahui banyak perkara, tetapi kerana beliau mengetahui betapa sedikitnya beliau tahu.

Namun begitu, tindakan beliau menyoal penduduk-penduduk di Athens telah menyebabkan golongan berpengaruh di Athens marah dengan Socrates. Penduduk Athens menangkap Socrates dan membicarakan beliau atas tuduhan merosakkan atau menkorup minda pemuda, kerana Socrates sering diikuti oleh pemuda Athens yang mahu melihat beliau berdebat dan menghancurkan hujah-hujah penduduk Athens yang berpengaruh. Di zaman itu, untuk seseorang yang dituduh untuk dibebaskan, beliau harus mahir dalam retorik, kerana keputusan dibuat oleh sekumpulan orang secara demokrasi. Socrates merupakan pakar logik, dan bukan pakar retorik. Maka beliau telah disabitkan dengan kesalahan mengkorup minda pemuda Athens.

Lukisan menggambarkan Socrates dihukum bunuh dengan meminum racun

Mereka kemudiannya menyuruh beliau keluar dari Athens sebagai hukuman, tetapi beliau tidak mahu keluar kerana Athens merupakan tanah tumpah darahnya. Mereka seterusnya menyuruh beliau berhenti dari menyoal penduduk Athens, tetapi beliau enggan kerana beliau mahu mencari kebenaran. Maka mereka kemudiannya mengarahkan beliau untuk meminum racun yang akan menyebabkan kematian sebagai hukuman, dan Socrates bersetuju.

Maka demikian tamatnya riwayat hidup seorang ahli falsafah agung Yunani.

Bukanlah niat penulis untuk mengagung-agungkan Socrates, jauh sekali dari itu, namun, penulis mengenali seorang bekas mahasiswa yang pernah dipanggil Socrates, dan isu yang penulis ingin bangkitikan ialah berkenaan dengan label yang kita selalu gunakan untuk orang lain.

Kelakar juga apabila difikirkan, kerana Socrates bukanlah seorang yang terkenal sebagai pakar dalam Falsafah Alam (baca:
Natural Philosophy), tetapi lebih dikenali dengan dialektiknya dengan orang kebanyakan. Apabila panggilan Socrates diberi kepada kenalan penulis yang bertukar jurusan daripada kejuruteraan kepada fizik dan lebih cenderung kepada ilmu-ilmu Tasawuf (pada pendapat penulis), terpanggil penulis untuk memberikan komen terhadap perkara ini kerana pada penulis, ianya sungguh tidak kena sekali.

Sudah tentulah perkara ini tidak begitu besar; ianya hanya nama panggilan, tetapi cara melabel yang begitu bersahaja ini sebenarnya boleh menyebabkan salah faham yang sangat besar di kalangan masyarakat. Mungkin niat asal melabel itu tidak salah, tetapi apabila kita meletakkan label tanpa sebarang justifikasi kukuh, seperti apa yang terjadi dengan kenalan penulis ini (diberi panggilan sedemikian hanya kerana berfalsafah, menurut seorang lagi rakan; seolah-olah falsafah hanya ada 1 cabang sahaja) tidak mustahil ianya akan memberi interpretasi yang salah terhadap label yang digunakan.

Bendera Turki

Sebagai contoh, kita selalu mendengar label '
Islam Liberal' digunakan oleh setengah-setengah pihak untuk menjustifkasi satu fahaman agama. Masalahnya ialah, label itu mempunyai 2 suku kata, Islam dan Liberal, dan kedua-dua perkataan ini haruslah difahami dari segi ontologi dan epistemologi, kemudiannya baru digunakan. Selalunya apa yang penulis baca ialah golongan Islam Liberal ini mengatakan bahawa mereka ini progresif, dan interpretasi agama perlu dibebaskan dari 'cengkaman' ulama' ortodoks Islam. Terfikir penulis, adakah Islam itu betul-betul tidak liberal sehingga memerlukan label baru? Kerana liberal dalam konteks Malaysia dilihat sebagai konservatif di Turki, kerana liberal di Turki mahu memperjuangkan hak-hak beragama secara bebas yang dihalang di Turki. Maka, apabila kita mengatakan Islam Liberal, kita harus memberi definisi yang kukuh kepada frasa tersebut supaya kita betul-betul memahami apa yang dikatakan.

Chess gergasi :Gambar hiasan

Ini adalah kerana perkataan liberal itu datang dari ideologi liberalisme, yang selalunya dikaikan dengan liberalisme individualistik yang membawa konotasi negatif dalam masyarakat. Tetapi ia tidak bermaka yang perkataan itu seharusnya memberi konotasi demikian, definisi sebenar perkataan liberalisme bergantung kepada apa yang kita maksudkan dengan perkataan itu, dan apa skop yang mahu dibawa. Saudara
Wan Saiful merupakan seorang liberal, tetapi beliau merupakan ahli PAS. Sepertimana ideologi-ideologi lain, liberalisme ada beberapa tiang, salah satunya ialah kebebasan individu. Namun, haruslah diingat bahawa dalam diskusi falsafah, terutamanya falsafah moral, jarang sekali kebebasan individu bermakna kebebasan mutlak. Perbahasan falsafah mengenai kebebasan sangat menarik dan dinamik, dan tidak semestinya bermaksud kebebasan tanpa sebarang sekatan sepertimana yang difahami kebanyakan orang. Setelah memahami ideologi ini barulah kita boleh melihat apa kaitannya dengan Islam.

Islam sebagai sebuah agama mempunyai banyak persamaan dengan idea-idea pelbagai ideologi. Dan persoalannya ialah, apakah yang dimaksudkan dengan Islam dan sejauh manakah Islam itu liberal? Apakah sempadan antara Islam dan liberalisme yang ada dan bagaimanakah kita mengukur sesuatu itu masih dalam cara kerja (baca:framework) Islam? Menurut definisi apa kita harus melihat liberalisme dalam Islam? Persoalan-persoalan ini sangat sukar dijawab dan memerlukan seseorang yang mempunyai pengetahuan dalam kedua-dua bidang secara mendalam sebelum mencuba mencari jawapan. Maka, pada penulis, cara frasa Islam Liberal digunakan di Malaysia terutamanya adalah sangat mengelirukan dan memberi salah faham terhadap Islam dan ideologi liberalisme.

Gambar Hiasan

Samalah juga kesnya dengan frasa 'islamik', kerana ia memerlukan kepakaran yang tinggi untuk memahami apakah
worldview Islam. Dan tidak semestinya sesuatu yang mempunyai label Islam itu Islamik, dan apa yang tiada tidak Islamik. Persoalannya ialah bagaimana kita melabel sesuatu itu sebagai Islamik atau tidak. Dan andai ianya dilakukan secara bersahaja dan tanpa banyak berfikir, bolehkah kita memberi justifikasi terhadap label itu?

Secara peribadi, penulis tidak begitu gemarkan label-label yang diberikan. Ianya berguna, tetapi seringkali manusia menggunakannya tanpa berfikir mengenai apa erti sebenar label yang digunakan. Kita harus sentiasa cuba untuk berfikir tentang mengapa kita memberi label tersebut dan atas justifikasi apa.Oleh itu, walaupun penulis tidak menyeru pembaca untuk berhenti menggunakan label, tetapi menggunakan label dengan
disclaimer dan dengan lebih berhati-hati. Bak kata V dalam filem V for Vendetta,

"Words are the means to meaning".

Wallahua'lam

P/S:
Remember, remember,
The 5th of November,
The Gunpowder treason and plot....

References:
[1] http://en.wikipedia.org/wiki/Socrates
[2] http://www.liberalislam.net/
[3] http://storyspeaker.wordpress.com/2007/06/04/v-for-vendetta-v%E2%80%99s-introductory-speech-and-remember-remember-poem/
 

3 comments so far.

  1. Anonymous 5 November 2008 at 07:19
    Ah, akhirnya ada juga seseorang yang berfikir sama seperti saya dalam menghalusi idea Wan Saiful - mengkehendaki supaya dimaknakan Liberalisasi yang hendak dibawanya.

    nnydd
  2. Anonymous 7 November 2008 at 11:26
    assalammualaikum cek imran

    "one thing only i know and that is i know nothing"
    Socrates~~~

    blom tgk lagi V for Vendetta...fewww
  3. Anonymous 10 February 2009 at 16:50
    prof naquib al-attas sangat berhati-hati dalam makna perkataan. kerana itu setiap perkataan yang ingin digunakan harus difahami sebaiknya. itu antara sebab saya menukar pandangan dari menyokong PPSMI kepada membantahnya

Something to say?