Sajak oleh Rakan...
Penulis ingin berkongsi satu sajak yang ditulis oleh rakan baik penulis, Wan Aimran, untuk sama-sama kita hayati, insyaALLAH.
slouching towards medina
Aku ingin kembara
Mengimbas sejarah
Menelusuri kisah
Cerita yang mengatasi
segala cerita
Ingin ku selami satu persatu peristiwa
ingin ku perah setiap titis pengajaran
Semuanya kerana
Ku ingin bergerak
melangkah ke hadapan
Wadah ini dimulai
dengan sampaian salamku
ke bumi suci Mekah.
Berpaksikan Kaabah
Dipenuhi kasih Rasulullah
Masih ku dengari sayup-sayup
tapak kaki Baginda
Masih ku rasai
kesejatian kesetiaan para sahabat
Masih ku lihat
Lautan manusia mengerumuni
Menyahut seruan
Menyambut panggilan
Maha Pencipta yang tidak
punya sekutu.
Setelah iman dimantapkan
ikatan akidah diyakinkan
hubungan dengan Ilahi dieratkan
kini ku melangkah berhijrah
menjejak kaki di Madinah
Di sini ukhwah dibina
Di sini perselisihan diratakan
Di sini kekukuhan dilahirkan
Kepercayaan yang telah sekian lama
dicetus di dalam hati
Dikumpul, diusap dan dibentuk
hingga menjadi gagasan
umat Islam yang murni lagi terpuji.
Di sinilah tujuan dan matlamat dipaku
Di sinilah harapan dan cita-cita ditambat
Dan di sinilah
cahaya keIslaman mula dinyalakan
bara keImanan mula disemarakkan.
Persaudaraan yang telah disempurnakan
kemudiannya
memfokus azam membakar semangat
Islam mengorak langkah
melampaui batas sempadan
Ke barat
Amar Al-As merisik Mesir
lalu membawa khabar gembira
ke bandar Cairo.
Manakala ke timur
Khalid Al-Walid menundukkan Parsi
menyerap dan mengasimilasi
ilmu ketamadunan bangsa terdahulu.
Di utara pula
Umar Al-Khattab disambut Jerusalem
Lantas membuka pintu rahmat
ke tanah keramat para anbia’
Tempat agung bagi semua
yang bergurukan Nabi Ibrahim.
Akhirnya
apa yang bermula
di ceruk pedalaman Tanah Arab
telah berjaya memayungi
serata pelusuk dunia
Empayar demi empayar dibina
Di Damascus yang bersejarah
Di Baghdad yang bergemerlapan
Di Cordoba yang bertenaga
Di Isfahan yang berpendirian
Di Istanbul yang berkekalan.
Kesemuanya tunduk
kepada yang telah dibina
di kota Madinah
Setiap satu melaungkan bahawa
merekalah yang abadi!
merekalah yang unggul!
merekalah yang pasti!
merekalah yang tulen!
Sehingga kini
jerit teriak masih kedengaran
dari Kota Bharu ke Putrajaya
dari Turki ke Indonesia
malahan
London, Paris, Washington juga
ingin turut serta!
Masing-masing menyoal dan dipersoal
Setiap satu mengakui dan menyalahi
“Islamku lebih benar, lebih bagus dari Islammu!”
Ketauhidan yang dijulang
Hanya sekadar tempelan di hati
dan tidak disusuli
oleh tindak tanduk amal
Keadilan yang diwar-warkan
Hanya sekadar membasahi bibir
dan tidak disertai
oleh keberanian berakal
Kesejagatan ummah yang dikagumi
Hanya sekadar dipegang
asal kepentingan diri terpelihara
Islam yang seharusnya
universal, lengkap, terus-menerus
kini
banyak bersyarat
kerap berkonflik
pantang bersatu
liat bertindak.
Dimanakah pincangnya?
Kekalutan apakah yang menjangkiti?
Keserabutan apakah yang perlu diatasi?
Kezaliman apakah yang harus ditangani?
Kehilangan apakah yang cuba dikembali?
Adakah ia mengidami pemimpin yang maksum dan agung?
Adakah ia mengharapkan kesamaan pendapat dan mazhab?
Adakah ia mengingini panduan ulama yang tradisional namun liberal?
Adakah ia menanti kembalinya Imam Mahdi di akhir zaman?
Sesungguhnya
aku hanya musafir lalu
Sekadar ingin meneroka
sejarah kebangkitan jatuh bangun umat ini
Telah ku perhati
bagaimana sinar Islam
dan pelita Iman di hati umat ini
ditransformasi
dimanifestasi
menjadi kekuatan dan kebijaksanaan
yang kesannya melangkaui
batas dunia yang fana ini.
Ku yakin bahawa umat ini
akan kelak dapat merasai sekali lagi
nikmat dan kemanisan mengabdikan diri
kepada Yang Esa
Sejarah bakal menjadi peta mereka
Berkompaskan keImanan
dan Islam sebagai tongkat sandaran.
Ku fikir arah tujunya
sudah tersedia
Apa yang ku tunggu
hanyalah
kesediaan para ulama
keberanian para pemimpin
dan ketaatan ummah
untuk
menongkah arus mengganjak paradigma
menerajui reformasi Islam!
-wanaimran-
The good old days - jzkk Adam Tan & Shakirin
Penulis (kanan) dan Wan Aimran (kiri)
Wallahua'lam
P/S: Tips untuk belajar : link
Sumber: http://wanaimran.wordpress.com/2008/07/03/slouching-towards-medina/