Kepelikan Masa

Category: , , , By imakubex
Bismillahirrahmanirrahim,

Tinta kali ini lebih kepada refleksi diri dan bukannya sesuatu yang lahir dari pemikiran kritikal terhadap dunia. Maka ianya mungkin lebih bersifat rintihan dan kurang bermanfaat kepada pembaca secara am. Oleh kerana penulisan ini tidak bertujuan untuk menerangkan idea-idea yang ditunjukkan secara spesifik, penulis amat mengalu-alukan penambahan atau pembetulan terhadap apa-apa yang ditulis.

Namun begitu, penulis memang telah lama memikirkan masalah masa, dan dengan tambahan ilmu daripada pembacaan penulis dalam bidang Fizik Kuantum, kepelikan masa hanya bertambah. Ingin sekali penulis berkongsi sedikit kepelikan masa dalam dunia kuantum menurut gambarajah Feynman. Menurut saintis, jika kita menggunakan gambarajah Feynman, kita boleh mendapati yang zarah yang bergerak menentang masa (dari masa sekarang ke masa lampau) boleh disamakan dengan anti zarah yang bergerak selari dengan "anak panah" masa. Masa yang mempunyai "anak panah" sesuatu yang pelik dalam bidang Fizik, kerana kebanyakan dan hampir kesemua hukum yang dijumpai menunjukkan kesimetrian masa, tetapi ianya tidak pernah mengalir dari masa hadapan ke masa lampau. Pelik, bukan? Mengapa simetri alam semesta yang sungguh hebat ini tidak dipatuhi masa? Atau adakah terdapat sesuatu yang kita tidak ketahui?

Masa yang pelik

Jika kita melihat eksperimen-eksperimen seperti dwi celah Young, Pemadam Kuantum dan Pilihan Lambat Wheeler (mungkin salah, dalam Bahasa Inggeris, Wheeler's Delayed Choice experiment), kepelikan masa bertambah-tambah. Andai eksperimen minda EPR menunjukkan seperti ada "spacial non-locality", eksperimen-eksperimen diatas seolah-seolah menunjukkan kemungkinan adanya "temporal
non-locality". Antara teori yang dikemukan oleh Feynman ialah 1 keputusan dari persamaan Maxwell yang menunjukkan bahawa "wave solution" yang terhasil boleh bergerak mengikut (retarded waves) dan menentang (advanced wave) aliran masa. Dan kerana teori Maxwell itu telah dibuktikan
boleh dipakai, maka keputusan ini hendaklah diambil sebagai 1 solusi yang mungkin berlaku.

Visualisasi idea Feynman (Copyright www.npl.washington.edu)

Apakah maknanya itu?

Maknanya, kewujudan sesuatu itu tidak semestinya lokal, iaitu berada di satu tempat dan masa secara spesifik, pada setiap masa dan tempat. Pelik, bukan?

Namun apa yang penulis ingin bawa disini bukanlah idea-idea Fizik yang abstrak, tetapi bagaimana peliknya dunia yang kita duduki ini. Mungkin kita memerlukan revolusi dalam cara kita berfikir tentang alam untuk memahami segalanya. Namun kebarangkalian kita selamanya tidak akan memahami alam semesta ini secara keseluruhannya. Terdapat satu ungkapan yang suka penulis kongsikan disini, yang mungkin agak pelik difikirkan kerana ianya datang dari salah seorang ahli Fizik terkemuka. Mungkin ungkapan ini menunjukkan betapa peliknya dunia ini sehinggakan seolah-olah kita tidak dapat memahaminya. Ianya berbunyi:

"Shut up and calculate. It is sheer arrogance that the rules should make sense"

Wallahua'lam

Rujukan:
[i] Nonlocality with Time Reversibility

[ii] Wikipedia
[iii] Fabric of the Cosmos, Brian Green
 

0 comments so far.

Something to say?